IZZ Abdul Salam (dua dari kiri) bersama dua rakan melawat makam sahabat Rasulullah SAW seperti Amir Al-Jarrah, Shurahbil bin Hasanah, Amir bin Abi Waqas dan Muaz bin Jabal di pinggiran Yarmouk,Jordan.
hmdigital

IZZ Abdul Salam Abdul Jamil, 28, tidak pernah mengimpikan untuk melihat makam sahabat Rasulullah SAW melainkan berniat untuk melihat makam Baginda.

Namun, kesempatan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda Syariah Fiqh dan Usul di Universiti Al-Bayt Masraq, Jordan pada 2015 hingga 2009 memberinya peluang untuk melawat makam sahabat Baginda.

“Mereka adalah Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abu Thalib dan Abdullah bin Rowahah. Makam mereka terletak di Mazar, Mu’tah, Jordan,” katanya seperti yang diceritakan kepada wartawan, Mohamad Fahd Rahmat.

Kami juga berpeluang menziarahi makam dikatakan milik Abu Hurairah di Damaskus, Syria.

Dari tempat kami di Mafraq ke Damaskus, ia mengambil masa satu jam setengah dan tambang RM150 sehala dikenakan jika menaiki teksi.

Pada mulanya kami tidak mengetahui akan berpeluang menziarahi makam yang dikatakan milik Abu Hurairah.


IZZ Abdul Salam bergambar di hadapan Masjid Sultan Abdullah di Amman, Jordan.

Tetapi, selepas berjalan di sekitar perkampungan di sana, ada warga setempat memaklumkan terdapat makam Abu Hurairah di sebuah masjid yang terletak dalam kawasan pasar dikenali Suq Hamidiah.

Kami terus bergegas ke lokasi berkenaan. Kami dimaklumkan, jika ada batu nisan tertulis perkataan Dhorih, ia bermaksud terdapat jasad dalam kubur berkenaan.

Pertama kali melihat makam dikatakan milik sahabat Rasulullah SAW ini, perasaan saya terasa hiba.

Sebelum ini, saya hanya mendengar nama Abu Hurairah yang disifatkan rapat dengan Rasulullah SAW kerana beliau antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis.

Makam berkenaan terletak di bucu masjid dan rupa makamnya tidak tumpah seperti makam Sultan Muhammad Al-Fateh.

Dalam keadaan sebak, kami menghadiahkan al-Fatihah selain berdoa supaya Allah SWT mengurniakan semangat perjuangan sama seperti sahabat Rasulullah SAW dalam mengembang serta mempertahankan agama Islam.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 9:39 AM