GAMBAR Hiasan
Fadly Samsudin

DALAM satu hadis sahih, Abu Hurairah RA berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya.”

Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka janganlah kamu menundanya hingga tiba nyawamu berada di halkum. Lalu kamu berkata, yang ini milik si polan dan yang itu milik si polan. Padahal harta itu sudah menjadi milik si polan (ahli warisnya).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis itu, Nabi SAW menyatakan, sedekah terbaik adalah ketika diri kita dalam keadaan sihat dan kedekut.

Sedekah dalam keadaan kedekut bermaksud ketika memberi, seseorang itu mencabar dirinya untuk bersedekah biarpun berkira-kira dan berat melakukannya.

Itu sedekah yang cukup besar ganjarannya. Selain bersedekah, pada masa sama dia melawan sifat mazmumahnya iaitu kedekut.

Bersedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang, bahkan semakin bertambah dan terus bertambah.

Perkara itu juga dinyatakan dalam satu hadis yang bermaksud: “Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”

Maka, kita perlu letakkan keyakinan pada kalimat akan bertambah rezeki pada sedekah yang diberikan terhadap orang lain.

Bukan itu sahaja, amalan bersedekah sebenarnya dapat memperkayakan hati, membersihkan harta serta memanjangkan usia manusia.

Seterusnya, dalam hadis berkenaan dinyatakan, sedekah itu lebih afdal bagi golongan yang bercita-cita ingin bertambah kaya namun dalam hal bersedekah dia tetap utamakan.

Selain itu, sedekah dalam situasi seseorang takut menjadi miskin dan berkurang hartanya, namun urusan sedekahnya tetap dititikberatkan.

Nabi SAW turut berpesan, sekiranya hendak bersedekah, jangan ditunggu sehingga nyawa berada di hujung halkum.

Masa itu baru teringat untuk sedekahkan kepada anak yatim, bahagian ini kepada pembinaan masjid dan surau manakala bahagian itu pula kepada orang susah dan sebagainya.

Ketika malaikat maut sudah bersedia untuk mencabut nyawa, pada masa itu mereka merayu supaya kematiannya ditangguhkan kerana ingin bersedekah.

Namun, perancangan dan rayuan itu tidak akan didengar lagi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Munafiqun, ayat 10-11)

Ayat berkenaan menyatakan kepada kita bahawa betapa sedekah itu begitu besar kesannya kepada manusia.

Al-Quran tidak mengatakan, manusia yang hendak meninggal dunia minta masa seketika untuk melaksanakan solat atau membaca al-Quran, tetapi mereka merayu kepada Allah SWT untuk bersedekah sebanyak-banyaknya.

Dalam ayat itu juga, Allah SWT membalas, Dia tidak sesekali akan memberi tempoh walaupun sesaat apabila tiba masanya.

Sebab itu, bagi menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan manusia hari ini, sedekah adalah jalan penyelesaiannya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 133-134 mengenai bersedekah yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Setiap apa yang diperintahkan Allah SWT pasti besar manfaatnya. Apa yang pasti, sekecil-kecil perkara sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta, buah fikiran dan keringat yang disalurkan di jalan Allah pasti akan menjadi pelaburan menguntungkan di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman dalam Surah Saba’, ayat 39 yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya, Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkan baginya. Dan apa saja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.”

Oleh itu, segeralah bersedekah selagi hayat dikandung badan.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 8:07 AM