PRINSIP berfikiran positif menjadi elemen peribadi yang sangat perlu ketika menuntut ilmu.
Mohd Rizal Azman Rifin

TERDAPAT banyak ayat al-Quran dan pesanan daripada Nabi Muhammad yang membawa mesej bertemakan fikiran positif.

Islam tidak pernah membiarkan umatnya tanpa membuat sebarang tindakan berubah ke arah lebih baik.

Melakukan perubahan dalam diri, sekali gus mengangkat kedudukan lebih baik adalah antara sari pati falsafah agama Islam.

Allah tidak sesekali mengubah kedudukan untung nasib kita, selagi kita tidak bertindak mengubahnya.

Allah juga memerintahkan hamba-Nya berusaha terlebih dahulu dan tidak hanya berserah sepenuhnya tanpa sebarang usaha dengan alasan untuk menghidupkan jiwa dengan sikap tawakal kepada Allah.

Tepat sekali peribahasa orang-orang dahulu, “Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang” yang mahu mendidik masyarakat supaya menekuni sesuatu pekerjaan dengan sebaiknya.

Komited dengan sesuatu pekerjaan adalah asas kejayaan. Lihat sahaja kepada kejayaan golongan petani memperoleh pendapatan lumayan berkat ketekunan mereka.

Pembabitan golongan seperti itu tentu tidak datang begitu sahaja, sebaliknya daripada kesedaran diri berusaha dengan penuh minat.

Sesiapapun yang rajin berusaha untuk mencapai misi dan visi dalam melakukan sesuatu pekerjaan, insya-Allah akan dilimpahkan keberkatan dan kejayaan yang terbaik.

Demikian juga prinsip berfikiran positif menjadi elemen peribadi yang sangat perlu ketika menuntut ilmu.

Anak-anak yang berada di bangku sekolah perlu dididik supaya jiwa mereka kental serta bersedia untuk melakukan usaha mempelajari sesuatu ilmu.

Semua nilai positif hendaklah disemai dalam diri anak-anak. Maka, ibu bapa perlu membimbing serta menasihatkan mereka.

Pemupukan nilai positif tidak wujud dengan sendiri. Sebaliknya ia perlu ditanam dan diasuh.

Mungkin ada yang berpandangan anak mereka yang tidak ‘berapa cerdik’ itu adalah kerana Allah sudah tetapkan begitu kepadanya.

Maka dibiarkan sahaja anak tanpa diberikan sokongan moral dan nasihat untuk memperbaiki diri. Ingatlah, belakang parang jika diasah acap kali, akhirnya tajam juga.

Jadi, kita perlu bersikap positif dan tidak sesekali menyalahi ‘takdir semasa’ sebaliknya wajib untuk mengubahnya kepada ‘takdir baru’ yang lebih baik dengan syarat kita hendaklah berusaha keras dan tidak berputus asa.

Mana tahu berkat kesungguhan berdoa kepada Allah dan sentiasa berusaha tanpa jemu, nasib anak pada masa akan datang terserlah dengan kualiti hidup cemerlang.

Seandainya kita memperhatikan peristiwa agung penghijrahan Rasulullah dan umat Islam dari Kota Makkah ke Yahtrib (Madinah) dahulu juga mempamerkan sikap positif untuk mengubah landskap dan ekosistem dakwah Islam di bumi Allah ini.

Baginda tidak sesekali menyalahkan ‘takdir semasa’ ketika mana yang jelas menunjukkan sikap tidak menerima dan menolak ajakan dan dakwah Baginda, sebaliknya apa yang dilakukannya adalah melakukan tindakan positif dengan mengubah Islam Map di bumi Madinah.

Berkat sikap dan pegangan positif itu, Islam akhirnya berjaya dikembangkan. Penerimaan ajaran Islam semakin diterima masyarakat yang bukan sahaja berlaku di bumi Hijaz, tetapi turut mempengaruhi masyarakat luar seperti di Turki, Afrika dan kawasan Asia Tengah.

Apa akan jadi seandainya umat Islam pada masa itu bersikap sekadar menerima sahaja ‘takdir semasa’ tanpa berusaha membentuk ‘takdir baru’?

Kita boleh saksikan betapa tingginya sikap berfikiran positif dalam kalangan umat Islam terdahulu dalam mengubah nasib ummah.

Contoh lain ialah misi membuka Kota Konstantinople daripada tangan Rom Timur (Byzantine).

Bukan sekali dua tentera Islam cuba menguasainya kerana sejak pemerintahan khalifah pertama kerajaan Bani Umayyah iaitu Muawiyah bin Abi Suyan lagi sudah dihantar misi ke sana.

Kemudian diikuti banyak lagi misi dengan tujuan sama, namun semuanya menemui jalan buntu dan kota itu tetap kebal daripada dikuasai Islam.

Hingga era pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah di bawah pimpinan Sultan Mehmet al-Fateh, kekebalan yang digahkan Rom Timur akhirnya runtuh dan bermula dari situ, cahaya Islam mula menjalar ke segenap bumi Eropah Timur dan negara Balkan.

Sehingga kini, kesan artifak dan monumen bersejarah era itu masih kekal sekiranya kita berkesempatan mengunjungi Kota Istanbul, Turki.

Itu antara contoh menunjukkan tahap kesungguhan dan berfikiran positif tinggi dalam kalangan umat Islam terdahulu.

Mereka mampu mengubah ‘takdir semasa’ kepada ‘takdir baru’ yang lebih gemilang. Jelas, sentiasa berfikiran positif akan membawa sikap hidup berdaya dinamik.

Prinsip hidup untuk bangun mengubah nasib diri itu seharusnya ada dalam diri setiap umat Islam.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 8:09 AM