Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

Ilmuwan terkemuka Islam, Ar-Rafii’ pernah mengungkapkan: “Seandainya aku diminta untuk menghimpun kandungan falsafah Islam, maka dua kata cukup untuk mewakilinya iaitu keteguhan akhlak.”

Beliau menekankan keutamaan akhlak baik sebagai teras kepada ajaran Islam yang selari dengan sabda Rasulullah SAW yang meletakkan dirinya yang mulia itu diutuskan untuk membawa rahmat dan pembina akhlak buat sekalian umat manusia.

Firman Allah dalam Surah al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”

Imam Abu Daud, Imam Ahmad dan At-Tirmizi ada meriwayatkan sebuah hadis, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.”

Sejak awal penyebaran Islam, Baginda bersama-sama sahabatnya, kemudian disusuli usaha dakwah yang semakin progresif dilaksanakan umat Islam pada zaman pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin, penekanan kepada pembentukan akhlak baik tetap dijadikan elemen pokok.

Ramai dalam kalangan masyarakat Arab Quraisy yang dahulunya menentang keras usaha dakwah, akhirnya terpikat dengan keelokan peribadi penganut Islam.

Begitu juga halnya ketika penaklukan tentera Monggol ke atas Kota Baghdad.

Pada peringkat awal, mereka memusnahkan segala-gala yang ada di dalam kota berkenaan.

Begitu ramai umat Islam menjadi mangsa kekejaman tentera zalim itu. Namun, takdir Allah mengakhirinya dengan babak penerimaan Islam oleh mereka, malah mereka kemudian menjadi perintis kepada pembukaan kawasan atas nama Islam.

Semua itu adalah impak hidayah Allah hasil keunggulan akhlak yang sentiasa dipamerkan masyarakat Islam ketika itu.

Contoh lain yang membuktikan bagaimana akhlak Islam mampu ‘menjinakkan’ hati golongan yang menentang Islam berlaku ketika pembukaan Kota Konstantinopel oleh Sultan Mehmet ke-11 yang menunjukkan akhlak panglima agung itu selari dengan apa yang kehendaki Islam.

Keadaan itu juga membawa kepada terpikatnya masyarakat kota keagungan kerajaan Rom Timur menerima agama Islam.

Bahkan, tentera Kerajaan Turki Uthmaniyyah pimpinan Sultan Mehmet terus menguasai banyak tempat di wilayah Balkan dan Eropah Timur.

Sehingga kini, kesan peninggalan sejarah berbentuk artifak dan monumen bersama masyarakat Islam tempatan menjadi bukti jelas.

Ia adalah hasil akhlak yang dipamerkan dalam kehidupan umat Islam Turki ketika itu hingga menarik perhatian masyarakat bukan Islam.

Seandainya kita mahu terus menyusuli kisah sejarah Islam, tentu banyak sekali kita disajikan kisah yang menunjukkan Islam disebarkan ke seluruh alam menerusi usaha dakwah bersendikan akhlak yang baik.

Seperti sejarah kedatangan Islam ke bumi Nusantara ini, keadaan masyarakat ketika itu rata-ratanya masih dibayangi unsur agama Hindu dan Buddha.

Namun pedagang dan pendakwah Islam berjaya menambat hati masyarakat tempatan yang akhirnya mereka mengenali Islam menerusi akhlak mulia penganutnya.

Penulis juga teringat satu paparan berita akhbar ini yang disiarkan tahun lalu bertajuk Tertarik

akhlak abang.

Kisah menarik itu menceritakan titik permulaan seorang masyarakat Orang Asli suku Selata memeluk Islam selepas melihat akhlak abangnya yang terlebih dahulu memeluk Islam.

Dia memberitahu, dirinya tertarik dengan akhlak dan cara hidup ditunjukkan abangnya sehingga membuatkan hatinya terbuka untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup.

Dia turut mendedahkan, abangnya tidak pernah memaksa atau berdakwah secara terang-terangan kepadanya supaya masuk Islam, sebaliknya akhlak ditonjolkannya menjadi daya penarik untuknya mengucap dua kalimah syahadah.

Maka, terbukti usaha dakwah Islam mampu menjadikan usaha syiar Islam diterima dengan baik. Akhlak peribadi umat Islam adalah akar tunjang kepada kejayaan untuk meninggikan maruah dan imej agama suci ini.

Penulis pensyarah Politeknik MuadzamShah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 9:24 AM