Gambar Hiasan
Fatimah Syarha Mohd Noordin

AIDILADHA mengingatkan kita kisah keluarga yang luar biasa, keluarga Nabi Ibrahim a.s.

Ia kisah ketaatan, pengorbanan, kesabaran, sangka baik dan kasih sayang. Ikatan hati yang terbina menumbuhkan rasa percaya dan memudahkan usaha untuk sama-sama mentaati Allah SWT.

Bagaimana kita mahu pulang menyambut Aidiladha dengan membawa misi mengikat hati dan mengajak kaum kerabat kita kepada Tuhan?

Di sinilah Islam mengajar kita strategi dakwah fardiyyah. Dakwah fardiyyah adalah salah satu (bukan satu-satunya) kaedah dakwah yang dilakukan dengan sasaran berusaha mengubah seseorang daripada suatu keadaan kepada keadaan lain yang lebih baik dan diredai Allah SWT.

Matlamat akhirnya supaya insan yang diajak memiliki sifat seorang hamba Allah SWT yang teguh dan iltizam dengan kebenaran dalam segala aspek kehidupan.

Caranya, dekati orang, hiasi lisan dengan ingatan kepada Tuhan dan buktikan dalam perbuatan.

Firman Allah SWT: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh sambil berkata: “Sesungguhnya Aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat, ayat 33)

Keistimewaan dakwah fardiyyah adalah ia fokus pada dakwahnya kerana tertumpu kepada seseorang yang disasarkan sahaja. Jadi, peluang itu dapat digunakan untuk berinteraksi dengan lebih akrab dan mengikat hati.

Bukan semua orang berani mengungkap permasalahan dalam sebuah majlis ilmu berbentuk umum, bahkan ada yang tidak pernah menghadiri majlis ilmu atas pelbagai halangan.

Apabila kita mendekati mereka yang disasarkan dan menghulurkan persahabatan, sudah tentu dia berasa dihargai lalu sanggup berkongsi permasalahan hidup, seterusnya menghargai setiap pesanan kita.

Saat itulah kita berpeluang merebut tawaran Nabi SAW yang bermaksud: “Demi Allah, sungguh satu orang saja diberi petunjuk (oleh Allah) melalui perantaraanmu, maka itu lebih baik daripada unta merah.” (Riwayat al Bukhari no 2942 dan Muslim no 2406, daripada Sahl bin Sa’ad)

Dakwah Fardiyyah juga mempunyai banyak kelebihan. Antaranya, ia sesuai untuk semua keadaan, kepada sesiapa sahaja, di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja boleh dilaksanakan.

Kaum kerabat atau bukan, hari raya atau biasa, orang sihat atau sakit, di bandar atau kampung, dalam kereta atau kapal terbang, saat mesyuarat atau bersukan, ia relevan dan bersesuaian.

Antara kelebihan dakwah fardiyah juga ialah berlaku ikatan hati yang istimewa. Seseorang yang mendapat perhatian pasti mudah terkesan.

Membina kasih sayang saudara seagama atau sesama manusia bukannya susah. Hanya perlu memberikan sedikit komitmen bagi menunjukkan betapa diri seseorang itu bernilai dan dihargai.

Ziarah, beri hadiah, bertanya khabar, pujian dan jalan-jalan. Saat itu, terbinalah ikatan persaudaraan dan kesatuan yang erat.

Pastikan niat kita sentiasa terarah mendapatkan reda Ilahi, bukan menurut nafsu sendiri.

Dakwah fardiyyah turut mempunyai impak besar kepada diri kita sendiri. Jika kita ingin membantu orang menjadi baik, kita akan menjadi lebih serius membantu diri sendiri menjadi lebih baik terlebih dahulu.

Kita mudah terdorong menunjukkan akhlak terbaik kepada indivdu yang disasarkan.

Kita mudah memuhasabah diri dan mengikis keaiban diri daripada terus bersebati dalam tabiat harian kita.

Kita mudah rasa malu untuk terus melakukan dosa walaupun kecil. Kita mudah berusaha meningkatkan diri menjadi lebih baik agar tidak terpantul imej buruk daripada cerminan akhlak kita.

Kehidupan lebih bermakna saat kita jujur memajukan diri sendiri dan orang lain.

Dakwah secara fardiyyah juga menghantar kita kepada situasi di mana kita dirujuk dengan pelbagai persoalan.

Saat itulah, Allah SWT mengilhamkan kepada kita berasa seronok menambah ilmu dan menyampaikan ilmu.

Kita mula berasa satu keperluan untuk mempunyai kefahaman mendalam mengenai ilmu terutamanya ilmu fardu ‘ain mahupun kifayah.

Sudah tentu kita mengimpikan akhir hayat nanti sebagai insan yang dinaikkan darjat dengan ilmu.

Dakwah fardiyyah juga akan menghadiahkan pengalaman terutamanya berkaitan dengan kemahiran interpersonal atau hubungan kemanusiaan.

Kita akan belajar cara memulakan hubungan yang baik, cara bergaul, cara memenangi hati, kreativiti untuk memberi kefahaman kepada orang lain, mengenali dan memahami jiwa orang lain, seterusnya mencungkil bakat dan membangunkan potensi orang lain.

Dakwah cara itu juga yang mula-mula mengikat hati sahabat Nabi di Makkah, seterusnya menjalar sehingga mengikat hati masyarakat Madinah.

Islam datang ke negara bertuah ini juga dengan dakwah hati ke hati, hubungan dagang yang harmoni, perkahwinan pemimpin dan masyarakat memilih Islam tanpa paksaan.

Semoga kita semua menjadi penerus legasi Rasul mengikat hati manusia, seterusnya rahmat bagi sekalian alam. Pulang berziarah kali ini, contohi kesungguhan peniaga.

Kejayaan perniagaan itu terletak kepada sifat, cara dan kesungguhan peniaga mempromosikan barangan dijualnya.

Kita mempunyai aset Islam yang terlalu berharga, bagaimana cara kita mempromosikannya kepada orang lain terutamanya kepada insan yang kita sayangi?

Letakkan sasaran kita dalam ziarah raya kali ini. Hadiahkan daging korban dengan cinta dan usaplah hati mereka dengan kata-kata yang baik.

Memilih untuk melaksanakan dakwah fardiyyah juga ibarat berjual beli dengan Allah SWT. Banyak duit dan harta yang perlu kita sedekah dan hadiahkan untuk memenangi hati orang lain mengenal Tuhan.

Penulis pendakwah dan Jawatankuasa Perundingan Wanita Rahmah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Mawar Yadim)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 9:16 AM