GAMBAR HIASAN
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

SEKARANG kita berada pada awal bulan Zulhijah. Semua orang tahu bulan ini termasuk dalam bulan haji kerana terdapat dalam kalangan saudara atau kenalan kita sekarang sedang menunaikan ibadat haji di Tanah Suci.

Bagi yang berada di tanah air pula, ada yang sedang menguruskan hajat menyembelih binatang korban pada Aidiladha nanti.

Pendek kata, semua orang sedang berusaha melaksanakan ibadat yang disyariatkan Islam. Begitulah kebesaran Allah SWT yang membuka peluang kepada semua hamba-Nya melakukan ibadat.

Ada orang dikurniakan rezeki menunaikan haji di Makkah. Ada pula dikurniakan rezeki menyembelih binatang sebagai menyahut seruan melakukan ibadat korban.

Sebab itu, bulan Zulhijah difahami sebagai bulan yang membuka ruang kepada setiap orang Islam beribadat.

Jika Ramadan dikenali dengan kelebihan sepuluh malam terakhirnya, bulan Zulhijah dikenali dengan kelebihan menggandakan amalan pada sepuluh hari awalnya.

Justeru, peluang berada pada sepuluh hari awal bulan Zulhijah perlu dimanfaatkan sebaiknya. Tempoh masa ini dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran menerusi firmanNya yang bermaksud: “Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).” (Surah al-Fajr, ayat 1-2)

Terdapat perbincangan dalam kalangan ulama mengenai makna sepuluh malam sepertimana dinyatakan pada permulaan ayat Surah al-Fajr.

Ibn Kathir antara ulama yang merujuk makna sepuluh hari itu kepada hari pada permulaan bulan Zulhijah.

Kata Ibn Kathir dalam tafsirnya: “Yang dimaksudkan dengan ‘malam yang sepuluh’ adalah sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn ‘Abbas, Ibn az-Zubair, Mujahid dan lainnya daripada kalangan ulama salaf dan khalaf.”

Dengan penjelasan mengenai kelebihan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijah, setiap umat Islam dianjurkan melakukan amalan soleh sepanjang berada pada tempoh masa sekarang ini.

Tempoh masa ini bukan bermakna kita tidak perlu melakukan ibadat pada masa lain, namun tempoh ini boleh dijadikan titik bermulanya proses mendidik diri melakukan pelbagai amal kebaikan pada masa lain.

Terdapat sebuah hadis menjelaskan keutamaan melakukan amal soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijah. Daripada Ibn ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada harihari yang pada waktu itu amal soleh lebih dicintai oleh Allah melebihi sepuluh hari pertama (pada bulan Zulhijah).”

Sahabat Nabi bertanya: “Wahai Rasulullah, juga (melebihi keutamaan) jihad pada jalan Allah?” Baginda SAW bersabda: “(Ya, melebihi) jihad pada jalan Allah kecuali seorang yang keluar (berjihad pada jalan Allah) dengan jiwa dan hartanya kemudian tidak ada yang kembali sedikit pun.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hadis itu menunjukkan ganjaran besar bagi orang yang memperbanyakkan amalan soleh pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah.

Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari: “Sebab yang menjadikan istimewanya sepuluh hari (pertama) bulan Zulhijah adalah kerana padanya terkumpul ibadat-ibadat besar (dalam Islam) seperti solat, puasa, sedekah dan haji, yang (semua) ini tidak terdapat pada hari-hari yang lain.”

Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya Zad alMa’ad menyatakan kelebihan sepuluh hari awal bulan Zulhijah menukilkan: “Sedangkan sepuluh hari pertama Zulhijjah lebih utama ditinjau daripada hari (siangnya) kerana di dalamnya terdapat hari al-Nahr (korban), Hari Arafah (9 Zulhijah) dan terdapat hari at-Tarwiyah (8 Zulhijah).”

Oleh itu, ambillah peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan amalan soleh. Lakukanlah apa sahaja amalan dengan ikhlas dan mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Antara amalan yang boleh dilakukan ialah memperbanyakkan bacaan al-Quran, sedekah, iktikaf di masjid, puasa sunat dan sebagainya.

Semua amalan itu sememangnya boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun jika dilakukan dalam tempoh sepuluh hari awal bulan Zulhijah, pasti pahalanya digandakan sesuai dengan kelebihan tempoh waktu itu seperti mana yang dijelaskan Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat ke-
jahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)

Selain itu, antara amalan sunat yang dianjurkan Rasulullah SAW ialah puasa sunat Hari Arafah pada tanggal 9 Zulhijah iaitu sehari sebelum Aidiladha.

Rasulullah SAW bersabda berkenaan puasa sunat Hari Arafah menerusi sabdanya: “Aku berharap kepada Allah, puasa ini menggugurkan (dosa-dosa) pada tahun yang lalu dan tahun berikutnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 2:36 PM