LANTAI seramik memberi permukaan rata untuk jemaah tidur lebih selesa.
PERGERAKAN puluhan ribu jemaah haji menggunakan bas dipantau dengan aplikasi Hajj Mobiliti.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


KELANCARAN operasi dalam menguruskan segala urusan bermula dari tanah air seterusnya di Tanah Suci hinggalah jemaah haji pulang ke Malaysia sememangnya menjadi keutamaan Tabung Haji (TH).

Namun, dengan bilangan jemaah seramai 30,200 berbanding hanya 640 petugas yang menguruskan pelbagai sektor, kelancaran operasi yang diharapkan nampak bagaikan mustahil andai dilihat mata kasar.

Sebagai pengendali haji, kelancaran operasi musim haji adalah perkara penting yang sentiasa dititikberatkan dan menjadi keutamaan TH.

Pengurus Besar Kanan (Haji) merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Musim Haji 1440H, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, demi kelancaran operasi haji, TH saban tahun komited memperbaiki perkhidmatan walaupun beroperasi di negara orang dan kos haji yang terus meningkat.

Katanya, bermula dari tanah air lagi, pelbagai langkah diambil bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan jemaah dapat menunaikan fardu haji sebaik-baiknya.

“Bagi musim haji 1440H ini, selain memperkenalkan beberapa pendekatan baharu, TH juga meneruskan dan menambah baik perkhidmatan sedia ada.

“Tahun ini, kami mengekalkan prapelepasan iaitu perkhidmatan yang diberikan kerajaan Arab Saudi untuk jemaah haji Malaysia yang melalui imigresen Malaysia dan imigresen Arab Saudi.

“Ini bermakna apabila jemaah sampai di Jeddah atau Madinah, mereka tidak perlu menunggu lama di terminal untuk urusan imigresen sebaliknya boleh terus menaiki bas ke hotel,” katanya.

Penggunaan dua syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines (MAS) dan Flynas kata Syed Saleh nyata memudahkan perjalanan jemaah pergi dan balik.

“Buat kali pertama, kedua-dua syarikat penerbangan yang digunakan jemaah tahun ini menggunakan kapal yang sama dengan konfigurasi dalam pesawat yang sama.

“Ini bermaksud, kami boleh menempatkan 439 penumpang setiap penerbangan dengan jumlah penumpang yang sama dan secara tidak langsung memudahkan TH menguruskan jemaah bukan saja perjalanan mereka tetapi juga kemasukan mereka ke

hotel apabila sampai di Tanah Suci nanti,” katanya.

Terbaru, TH juga akan memperkenalkan sajian secara sedia untuk dimakan yang akan dilakukan secara projek perintis dan dimulakan secara berperingkat ketika masyair nanti terutama di Arafah dan Mina.

“Menerusi kaedah ini, kami dapat mengubah penyediaan makanan yang kini intensif, meningkatkan tahap kebersihan makanan selain dapat mengurangkan pelbagai kemungkinan seperti kebakaran di khemah jemaah.

“Kami juga dapat menyelaraskan rasa sajian yang sama sebab ada pek yang sama dan dapat memastikan hanya menyediakan makanan secukupnya kepada jemaah haji sekali gus tidak berlaku pembaziran,” katanya.

Cuaca di Tanah Suci sepanjang musim haji ini dijangka panas dan dianggarkan suhu boleh meningkat sehingga 50 darjah Celsius.

Justeru kata Syed Saleh, perkhidmatan pendingin hawa kepada jemaah akan diteruskan sekali gus mengurangkan ketidakselesaan.

UNIT Kaunseling TH melakukan ziarah dari bilik ke bilik.

“Wukuf di Arafah adalah ibadat penting yang harus dilaksanakan jemaah. Dengan adanya keselesaan yang sedikit ini, sekurang-kurangnya ia membolehkan jemaah fokus kepada ibadat mereka,” katanya.

Perkhidmatan sedia ada terutama penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam menguruskan jemaah haji terus dipertingkat bagi kelancaran operasi haji 1440H ini.

Antaranya, penggunaan Sistem Maklumat Kesihatan (Sihat) bagi memudahkan pengurusan kesihatan jemaah haji dan memberi akses maklumat jemaah kepada lain-lain unit operasi dengan pantas dan terkini.

Sistem Kamar pula diperkenalkan bagi memudahkan pembahagian bilik hotel kepada jemaah di Makkah dan Madinah.

Kata Syed Saleh, sistem aplikasi Hajj Mobiliti yang dimuat turun di telefon pintar bagi memudahkan petugas menjalankan tugas ketika operasi di Tanah Suci seperti carian maklumat jemaah haji dan petugas, laporan pergerakan bas sewaktu operasi Masyair serta kiraan jemaah juga sangat membantu dalam kelancaran operasi.

“Kami ada 30,200 jemaah dan memerlukan lebih kurang 600 bas dengan setiap bas memuatkan 50 jemaah. Dengan aplikasi Hajj Mobiliti, kami dapat memantau setiap pergerakan bas jemaah,” katanya.

TH dengan pihak IT turut membangunkan Talian Ibadat yang beroperasi 24 jam sehari terutama waktu kemuncak bagi membolehkan jemaah menghubungi pusat panggilan untuk mendapatkan khidmat bimbingan secara dalam talian daripada pembimbing TH.

Ada juga talian kaunseling yang dipanggil Peka iaitu satu daripada cara TH menyampaikan kaunseling secara awalan kepada jemaah terutama bagi jemaah yang tidak selesa untuk berjumpa dengan kaunselor di pejabat pada peringkat awal.

Mereka boleh membuat panggilan terlebih dahulu dan apabila perkara itu perlu kepada susulan, barulah mereka ke pejabat kaunseling.

Banyak lagi aplikasi dan lain-lain perkara yang dibangunkan bersama pihak IT khusus bagi menguruskan jemaah haji demi melancarkan kerja dan operasi.

Secara tidak langsung, kelancaran operasi haji dengan adanya penambahbaikan yang sentiasa ditingkatkan setiap tahun, ia dapat memberikan keselesaan kepada jemaah seterusnya membolehkan mereka beribadat dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 9:18 AM