GAMBAR hiasan.
Khuzama Ab Rahaman dan Farah Adibah Mohd Apandi

SETIAP umat Islam yang berkemampuan tanpa mengira jantina, pangkat dan usia apabila cukup syarat, mereka wajib menunaikan rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 196 yang bermaksud: “Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”

Berkemampuan ber-maksud mampu dari segi kesihatan, tenaga dan jiwa. Paling utama adalah kemampuan dari segi kewangan.

Selain persediaan mental, fizikal serta ilmu berkaitan ibadat haji, simpanan wang untuk membiayai perbelanjaan ke Tanah Suci Makkah dan Madinah juga perlu dirancang sejak awal.

Umum mengetahui, kos menunaikan haji mencecah hampir RM10,000 seorang walaupun menggunakan subsidi Tabung Haji.

Justeru, umat Islam hari ini diseru menabung dan sebaiknya mendaftarkan diri bersama Tabung Haji seawal mungkin.

Sekiranya nama sudah terpilih, buat persediaan rapi bagi memastikan perjalanan ibadat haji sentiasa dipermudahkan.

Rebutlah peluang menjadi tetamu Allah dengan memperbanyakkan ibadat.

Ini kerana perjalanan menunaikan ibadat haji tidak sama dengan perjalanan lain yang bersifat peribadi seperti bekerja atau melancong.

Perjalanan ibadat haji dibalas dengan ganjaran pahala oleh Allah. Ia bukan perjalanan jasad ke kota Makkah atau Arafah semata-mata.

Terdapat beberapa tip yang boleh membantu kita menguruskan kewangan ketika berada di Makkah dan Madinah.

Antaranya, digalakkan membuat persediaan awal dengan mencari maklumat dan memahami jadual aktiviti ibadat di sana.

Lakukan perbandingan harga antara pengurup wang sebelum menukar wang ke mata wang asing.

Sebaiknya, sediakan bajet perbelanjaan harian supaya tidak berbelanja melebihi bajet.

Sentiasa pertimbangkan hasrat hati ketika mahu berbelanja. Elakkan membeli-belah terutama jika barangan itu sudah ada di Malaysia.

Bagi mengelakkan kes kecurian atau kehilangan ketika beribadat, jangan bawa wang tunai terlalu banyak.

Gunakan kemudahan kad kredit atau debit untuk berbelanja. Bagaimanapun, jemaah haji masih boleh melakukan pengeluaran wang melalui mesin pengeluaran wang di sana dengan syarat kad itu sudah diaktifkan.

Banyak perkara tidak diduga boleh berlaku ketika bermusafir walaupun perancangan teliti sudah dibuat.

Namun, kita tetap tidak dapat menolak sebarang kemungkinan akan berlaku seperti kemalangan atau kehilangan nyawa.

Sebab itu, jemaah haji disaran mencari alternatif bagi meminimumkan kadar risiko yang bakal berlaku.

Sekurang-kurangnya dengan membuat penyertaan dengan mana-mana Takaful dapat mengurangkan risiko sepanjang jemaah beribadat.

Pelbagai produk baru diperkenalkan pengendali Takaful khususnya buat jemaah haji atau umrah.

Ambil peluang untuk mengetahui pelan Takaful yang disediakan kerana terdapat banyak pilihan yang memberi jaminan perlindungan diri dan harta jemaah haji sepanjang tempoh musafir mereka.

Perlindungan Takaful boleh disertai diri sendiri, pasangan dan juga anak mereka.

Terdapat juga tawaran pampasan diberikan kepada peserta Takaful atau penama sekiranya berlaku kecederaan, hilang upaya kekal atau kematian disebabkan kemalangan di luar jangkaan, perbelanjaan perubatan yang ditanggung akibat kemalangan, kesulitan perjalanan dan bantuan perjalanan bagi perjalanan haji atau umrah.

Dapatkan pelan perlindungan Takaful sebelum memulakan perjalanan bagi menampung kos perubatan atau kerugian sekiranya berlaku kecemasan atau kemalangan.

Jika berlaku perkara tidak diingini sepanjang tempoh perjalanan itu, peserta tidak perlu bimbang kerana manfaat takaful akan dibayar bagi mendapatkan pampasan.

Malah, bayaran rawatan perubatan juga disediakan sekiranya berlaku kematian atau kecederaan kepada diri dan keluarga bergantung kepada syarat dinyatakan di dalam sijil penyertaan.

Semua tawaran perlindungan biasanya akan dijelaskan dari awal penyertaan dan peserta juga sudah jelas mengenainya.

Kesimpulannya, menunaikan ibadat haji menjadi impian setiap umat Islam dan menuntut pengorbanan terakhir dalam kehidupan kerana ia berkait dengan pengorbanan masa beribadat yang panjang serta pengorbanan wang ringgit.

Maka, setiap umat Islam wajib berusaha menunaikannya sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Penulis dari Jabatan Syariah dan Perundingan Perniagaan, Takaful Ikhlas Keluarga Berhad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 8:26 AM