GAMBAG hiasan.
Fadly Samsudin

RASULULLAH SAW pernah ditanya perkara yang menyebabkan paling banyak orang masuk ke dalam syurga.

Nabi SAW menjawab, takwa kepada Allah SWT dan akhlak mulia. Nabi juga ditanya sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk neraka, maka Nabi menjawab, mulut dan kemaluan. (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Sehubungan itu, kalimat yang seharusnya keluar daripada mulut orang Mukmin hanya perlu berkisar kepada bertanya khabar, menyampaikan maklumat dan nasihat yang penting, berdoa, berzikir serta membaca al-Quran.

Untuk selamat daripada neraka kelak, manusia perlu sentiasa memelihara lisan dan kemaluannya daripada perkara yang diharamkan Allah SWT.

Di dunia ini jangan sesekali kita berasa selesa mengata dan memalukan orang, tarik muka, tidak membalas senyuman dan menyakiti hati orang lain.

Malah, apabila ada orang berada di belakang kita memberi salam namun kita tidak membalas ucapan itu, ia tetap akan dituntut pada hari akhirat kelak.

Nabi SAW ketika diutuskan, Baginda membawa peringatan kepada umatnya mengenai dua perkara.

Pertama, berita gembira mengenai syurga dan kelebihan orang melakukan kebaikan ketika hidup mereka.

Perkara kedua adalah peringatan atau ancaman kepada orang yang melakukan kemaksiatan dan melanggar perintah Allah SWT.

Neraka adalah satu perkara yang selalu diceritakan Nabi SAW kepada sahabat Baginda.

Bayangkan, sahabat Baginda dapat mendengar secara langsung cerita mengenai neraka daripada Nabi SAW.

Allah SWT memberi kelebihan kepada Nabi SAW dapat melihat neraka dan syurga. Sebab itu, ada dalam kalangan sahabat pengsan apabila berbicara mengenai neraka.

Itulah nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada sahabat apabila dapat duduk bersama Nabi SAW.

Apabila solat, Nabi SAW pernah terganjak ke hadapan dan belakang. Maka, sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW kenapa terjadinya perkara itu?

Nabi SAW berkata, ketika Baginda membaca ayat-ayat tentang syurga, terasa ibarat buah-buahan syurga itu berada di depan mata dan ingin sahaja dipetiknya.

Begitu juga apabila Baginda membaca ayat-ayat mengenai neraka, Baginda berasa api seolah-olah menjulang di depan mata.

Semua itu berlaku kerana Nabi SAW pernah melihat kenikmatan syurga dan juga kedahsyatan api neraka.

Di akhirat kelak, apabila seseorang menerima buku amalannya dengan tangan kiri, maka dia akan menjadi ahli neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adapun orang yang diberikan menerima kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan kitab amalku. Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku. Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi). Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun. Kuat kuasaku (dan hujah-hujahku membela diri) telah binasa dan hilang lenyap daripadaku.

“(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia.

“Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahim.” (Surah Al-Haaqqah, ayat 25-31)

Semua keluhan daripada ayat-ayat itu akan terjadi kepada ahli neraka. Di neraka, ahlinya akan dibakar sehingga kulit mereka hangus lalu diganti dengan kulit baru.

Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisaa’, ayat 56 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Tubuh manusia yang ingkar kelak akan dibakar sehingga nampak hati lalu tumbuh semula. Itulah yang akan berulang kali berlaku dan berterusan buat selama-lamanya.

Diriwayatkan juga, Salman al-Farisi apabila mendengar ayat Allah SWT mengenai neraka, beliau akan lari selama tiga hari kerana dirinya berasa takut yang luar biasa.

Kemudian apabila beliau dibawa bertemu Rasulullah SAW, Salman berkata, “Wahai Rasulullah, telah turun ayat ...dan sesungguhnya Jahanam itu benar-benar tempat yang diancam kepada mereka iaitu pengikut-pengikut syaitan semuanya. Demizat yang mengutus engkau dengan kebenaran, sesungguhnya itu sudah menghiris-hiris hatiku.” (Hadis Riwayat Sa’labi RA)

Maka, Allah SWT menurunkan ayat iaitu daripada Surah al-Mursalat, ayat 41 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di tempat teduh (yang dipenuhi pelbagai nikmat) dan yang berdekatan dengan mata airmata air (yang mengalir).” (Surah al-Mursalaat, ayat 41)

Bagaimana dengan kita? Sekiranya kita merasakan banyak dosa, maka itu tanda kita masih mempunyai iman.

Jika berlaku sebaliknya, dibimbangi kita termasuk dalam kelompok dinamakan ‘ghafilin’ iaitu orang-orang yang lalai.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 8:47 AM