GAMBAR hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

NERAKA adalah tempat yang Allah SWT cipta buat manusia yang ingkar perintah-Nya.

Manusia berdosa yang tidak memohon keampunan Allah SWT juga adalah golongan menempah ruang ke neraka.

Kealpaan manusia beriman kepada Allah SWT dan kegagalan mematuhi perintah-Nya menunjukkan betapa manusia mengharapkan keampunan daripada-Nya.

Hanya dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT sahaja yang boleh menyelamatkan manusia daripada termasuk dalam golongan ahli neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Ayat itu jelas menunjukkan Allah SWT memiliki sifat Maha Mengasihani (Ar-Rahim) kepada hamba-Nya.

Setiap dosa akan diampuni Allah SWT sekiranya diri hamba yang melakukannya itu kembali bertaubat.

Mana-mana hamba Allah SWT yang tidak memperoleh keampunan daripada-Nya adalah golongan yang tidak mengiktiraf keesaan-Nya.

Maka, layaklah mereka menjadi penghuni neraka yang disediakan untuk membalas perbuatan melampaui batas itu.

Neraka juga disediakan untuk hamba yang mengaku beriman kepada Allah SWT namun tidak kembali bertaubat menyesali perbuatan dosa yang dilakukannya.

Sedangkan pintu taubat dibuka seluas-luasnya untuk mereka bertaubat dan meninggalkan perbuatan jahat ketika hidup di dunia.

Gambaran neraka dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran. Ia sangat menggerunkan jiwa yang memiliki iman.

Neraka digambarkan sebagai seburuk-buruk tempat tinggal. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk.” (Surah al-Furqan, ayat 66)

Neraka juga disebut sebagai seburuk-buruk tempat dengan gambaran seksaan yang terdapat di dalamnya.

Padanya terdapat api marak menjulang. Hal itu dinyatakan Allah SWT pada ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah melaknat orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang.” (Surah al-Ahzab, ayat 64)

Bahan bakar api neraka pula terdiri daripada manusia dan batu-batu yang asalnya adalah berhala sembahan manusia di dunia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 24)

Manakala makanan yang disediakan buat penghuni neraka adalah makanan yang buruk lagi mendatangkan keazaban.

“Tiada makanan bagi mereka (di neraka) selain daripada pokok-pokok yang berduri. (Makanan) yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.” (Surah al-Ghasyiyah, ayat 6-7)

Ibnu Kathir membawakan huraian daripada Ibnu Abbas menyatakan, pokok-pokok yang dinyatakan dalam ayat itu adalah pohon dari neraka.

Manakala Sa’id bin Jubair menyatakan, pokok itu adalah az-Zaqqum yang berduri. Begitulah dahsyatnya azab yang terdapat dalam neraka.

Minuman dalam neraka pula amat kotor dan panas. Minuman biasanya menyegarkan dan menghilangkan dahaga sebaliknya minuman dalam neraka menambah azab yang ditanggung penghuninya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum daripada air danur (yang keluar daripada tubuh ahli neraka). Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas daripada azab seksa itu); dan selain daripada itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.” (Surah Ibrahim, ayat 16-17)

Banyak lagi gambaran neraka yang dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran. Tujuan gambaran ini diberikan adalah untuk memberi keinsafan kepada manusia.

Dengan memahami gambaran neraka, orang yang ingin melakukan dosa dapat menghentikan keinginannya.

Orang yang melakukan dosa pula dapat segera kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat.

Semua gambaran neraka yang terdapat dalam al-Quran dan yang dijelaskan Rasulullah SAW bukan bertujuan mempromosikan tempat itu untuk diduduki, sebaliknya dijauhi sejauh-jauhnya.

Begitulah sayangnya Allah SWT kepada hamba-Nya agar neraka itu dijauhi dan syurga didekati dengan melakukan amal ibadat supaya akhirnya kita dapat menjadi penghuni di syurga.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:52 AM