GAMBAR HIASAN

SEORANG rakan kolej saya menceritakan masalah besar menimpanya apabila dia terlanjur bersama teman lelakinya.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana tidak mengandung hasil hubungan itu.

Kawan saya itu kini merasa amat bersalah dan menyatakan hasrat mahu lelaki itu menjadi suaminya selepas tamat pengajian kelak.

Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak menunjukkan minat untuk meneruskan hubungan, malah turut mengugut beliau untuk membayar RM3,000 atas alasan selama mereka berkenalan sudah banyak wangnya dihabiskan.

Bagaimana cara saya boleh membantu menerangkan cara terbaik menyelesaikan masalah beliau?

Beliau kini tidak bersemangat dan dalam keadaan sangat tertekan. Jadi hanya saya tempat beliau meluahkan segala masalah.

Beliau juga pernah menyatakan kebimbangan, sekiranya tiada jodoh dengan lelaki itu, bagaimana penerimaan bakal suaminya kelak apabila mendapat tahu beliau pernah terlanjur.

Amy

Serdang

Sebagai hamba Allah, kita dituntut untuk muhasabah diri, mengenali dan mengetahui apa kesalahan serta kesilapan yang dilakukan seterusnya membuat perubahan diri.

Apabila menyedari diri melakukan kesilapan, hendaklah segera bertaubat. Selagi mana iman masih di dada, akan terbit rasa penyesalan dalam diri dan tahu diri sudah melakukan sesuatu yang tidak betul.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan), mereka berkata (ketika orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Bertaubat atau kembali kepada Allah menuntut manusia memperbaiki dirinya, menyusun balik cara hidupnya dan menyambung kembali perhubungannya dengan Allah dalam bentuk yang lebih murni.

Sabda Rasulullah dalam satu hadis qudsi: “Telah berfirman Allah: Wahai anak Adam! Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Andai kata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni. Wahai anak Adam! Andai kata engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku, sedang engkau tiada menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula.” (Riwayat Tirmizi)

Sahabat pembaca tentunya melalui proses untuk kembali memperbaiki diri dan menyesal kesilapan yang dilakukan.

Ada ketikanya keadaan penyesalan itu memberi tekanan kepada diri pelaku dan menyebabkan dirinya tertekan.

Sebagai sahabat, kita perlu sentiasa meluangkan masa mendengar dan memberi nasihat membina kepadanya.

Ia adalah kaedah yang dicadangkan untuk membantunya menghadapi tekanan berkenaan.

Fokus membetulkan kesilapan itu tidak harus tertumpu kepada desakan kepada lelaki yang melakukan perbuatan maksiat terbabit untuk berkahwin dengan sahabat anda itu.

Perkahwinan adalah amanah dan mempunyai tanggungjawab besar. Jika ingin berkahwin, setiap pasangan wajib mempersiapkan diri memikul kewajipan perkahwinan.

Jika perkahwinan berlaku hasil tekanan dan desakan, dibimbangi mendatangkan masalah dan tekanan lebih buruk dan menzalimi salah satu pihak.

Tidak salah cuba berbincang dengan pasangan lelaki itu, namun sebaiknya perbincangan atau cadangan untuk berkahwin terhasil daripada persetujuan bersama dan daripada rasa tanggungjawab atas dosa yang dilakukan.

Namun, seandainya gagal mendapat persetujuan berkahwin dan sama-sama bertanggungjawab di atas kesilapan, bimbing sahabat itu dengan tindakan positif lain.

Perbaiki dahulu hubungan dengan Allah. Banyakkan ibadat dan bertaubat dengan taubat nasuha. Allah tidak sesekali mensia-siakan usaha hamba-Nya yang mencari keredaan-Nya.

Yakinlah Allah akan memberikan rahmat dan kasih sayang-Nya dalam pelbagai bentuk kepada hamba yang sentiasa kembali kepada-Nya.

Jodoh pertemuan juga kuasa dan ketentuan Allah. Sebagai hamba, kita wajib bergantung kepada Allah supaya mendapat kebaikan dunia dan akhirat.

Mungkin pasangan lelaki terbabit bukan suami terbaik untuk sahabat dan akan digantikan dengan lelaki lebih baik dan soleh yang mampu membimbingnya ke syurga.

Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Oleh itu, setiap pasangan suami isteri perlu melengkapi kekurangan masing-masing.

Sebaiknya, tidak wajar buka aib dan kesilapan yang sudah dilakukan kerana ia akan mendatangkan kerosakan pada perkahwinan yang bakal dan sudah dibina.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 11:38 AM