GAMBAR hiasan.
Fadly Samsudin

SESEORANG yang melakukan dosa di dunia dan tidak sempat bertaubat, maka itu sudah cukup untuk mendatangkan azab kubur buatnya.

Ada satu kisah masyhur, Saidina Uthman Ibn Affan RA berjalan melintasi sebuah kawasan perkuburan.

Tiba-tiba beliau berhenti melangkah dan terdiam, kemudian air matanya mengalir sehingga membasahi janggutnya.

Melihat Saidina Uthman menangis teresak-esak di tepi kubur itu, seorang sahabat bertanya: “Wahai Amirul Mukminin, engkau selalu menyebut syurga dan neraka serta segala penderitaan di hari akhirat, tetapi aku tidak pernah melihat engkau menangis semasa engkau memperkatakannya. Tetapi, hari ini apabila engkau berjalan di tepi kuburan, engkau menangis. Apa sebabnya wahai Amirul Mukminin?”

Saidina Uthman menjawab: “Kerana Nabi SAW pernah bersabda, ‘Kubur ini tempat pertama dari tempat-tempat akhirat dan tempat terakhir dari tempat-tempat dunia. Sesiapa yang selamat dari kubur itu, maka apa yang sudahnya adalah lebih ringan. Dan sesiapa yang tidak selamat darinya, maka apa yang berlaku sesudahnya akan lebih berat lagi.”

Di akhirat kelak, setiap orang beriman akan melalui proses timbangan amal. Ia berbeza dengan orang kafir, syirik dan munafik kerana mereka akan terus diseret ke neraka!

Dalam satu hadis dinyatakan, salah satu sebab manusia di azab di alam barzakh adalah tidak membersihkan kotoran dengan betul selepas membuang air kecil.

Perkara itu ada dinyatakan dalam satu hadis daripada Saidina Ibnu Abbas RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melewati kebun Madinah atau Makkah.

Lalu Baginda mendengar suara dua orang yang sedang diazab di dalam kubur. Nabi SAW bersabda bermaksud: “Kedua-duanya sedang diazab, tidaklah kedua-duanya diazab disebabkan perkara yang besar.”’

Kemudian Baginda bersabda, “Yang pertama (diazab) kerana tidak bersih dari kencingnya dan yang lain kerana suka ke sana sini dengan tujuan adu domba.”

Lalu Baginda menyuruh supaya diambil pelepah (tamar) dan membelah ia kepada dua bahagian.

Kemudian Baginda meletakkan di atas setiap satu bahagian pada kedua-dua kubur. Baginda ditanya, “Wahai Rasulullah, mengapakah tuan melakukan sebegini?

Baginda menjawab: “Mudah-mudahan kedua-duanya ini diringankan daripada (azab kubur) selama kedua-dua pelepah ini masih basah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi mereka yang tidak beriman atau ragu-ragu dengan adanya azab kubur, mereka menganggap semua kisah itu sengaja untuk menakut-nakutkan

Sehubungan itu, jangan sesekali kita bertangguh memohon maaf kepada orang yang pernah kita lakukan kesalahan serta jangan anggap remeh dengan dosa kecil.

Hanya amalan soleh yang dibawa sebagai bekalan menempuh ‘alam’ seterusnya.

Setiap orang beriman perlu sedar dan tidak memandang ringan keadaan dan perihal yang bakal mereka tempuhi apabila tiba masanya untuk ‘menghuni’ alam kubur satu masa nanti.

Berhati-hati dalam setiap tindakan yang lakukan di dunia ini supaya terhindar daripada mendapat pengakhiran yang buruk.

Abu Darda berkata: “Tiga perkara yang membuat aku ketawa dan menyebabkan aku menangis. Antara tiga perkara itu ialah orang yang mengejar dunia, padahal kematian sedang mengejarnya, individu yang ketawa terbahak-bahak, tetapi dia tidak tahu adakah Tuhannya reda kepadanya atau memurkainya dan individu yang lalai padahal Allah tidak pernah lalai kepadanya.”

Antara amalan yang dapat menyelamatkan diri orang beriman daripada diazab adalah dengan mengamalkan membaca al-Quran dari surah al-Mulk dengan penuh keyakinan.

Rasulullah SAW menyatakan: “Sesiapa yang membaca surah al-Mulk setiap malam, surah itu menjadi pembela daripada seksa kubur kepada mereka yang membacanya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Begitu juga bagi golongan yang meninggal dunia pada waktu baik seperti pada hari Jumaat. Mereka pasti terselamat daripada menghadapi azab kubur.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat diselamatkan daripada fitnah dan ujian kubur.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Selain itu, sentiasa melazimi doa seperti yang diajarkan Rasulullah bagi memohon perlindungan daripada azab kubur yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kelemahan, malas, penakut, pelupa, bakhil dan aku berlindung dengan-Mu daripada seksa kubur dan fitnah hidup dan mati.” (Hadis Riwayat Muslim)

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 8:35 AM