GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

ISLAM yang dibawa Nabi Muhammad SAW bertujuan memandu manusia supaya hidup dalam suasana aman, tenteram dan kondusif.

Bayangkan, bagaimana Baginda SAW dapat mengubah paradigma pemikiran masyarakat Arab Quraisy dahulu yang hidup dalam kejahilan dan kegelapan kepada suatu corak baharu yang lebih bersistematik.

Ajaran Islam adalah satu panduan bagi manusia menjalani kehidupan berteraskan kerukunan dan keharmonian.

Hal itu dapat dihayati melalui syariat yang dianjurkan Islam seperti solat berjemaah. Ia adalah lambang kehidupan sesebuah masyarakat yang saling bersatu hati.

Itu falsafah yang ingin dijelmakan melalui syariat solat berjemaah. Masyarakat Muslim yang sentiasa menjaga dan mengutamakan solat berjemaah adalah sebuah masyarakat yang hati mereka berpadu dalam satu kesepaduan tauhid yang kukuh.

Solat berjemaah juga menyelitkan makna Islam menolak sebarang fahaman yang menitik beratkan kedudukan status sosial, darjat keturunan mahupun aspek warna kulit dan amalan budaya.

Semua jemaah yang hadir berada dalam saf dan menghadap muka ke arah yang satu tanpa sebarang bentuk ketidakadilan atau diskriminasi.

Di samping itu, masyarakat Islam juga dididik dengan sikap menjunjung tinggi dengan sepenuh hati erti kepatuhan kepada kepemimpinan.

Setiap perbuatan imam akan disertai dengan penuh taat. Sebarang pelanggaran memberi makna solatnya tidak sah. Demikian juga dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, kita sewajarnya menumpahkan sepenuh taat setia kepada negara tanpa menimbulkan suasana yang tidak stabil.

Demikian juga syariat berzakat yang membawa maksud Islam adalah agama yang mengajak umatnya tidak mementingkan diri sendiri.

Menerusi zakat, seseorang dididik dengan sikap hati yang sentiasa mahu membantu insan lain. Kekayaan dan kemewahan dikurniakan Allah tidak dikecapi hanya untuk diri sendiri.

Sebaliknya, sikap keprihatinan dan cakna terhadap golongan lemah dan miskin akan terjelma. Berzakat adalah lambang sikap masyarakat yang penyayang.

Bagaimana pula dengan syariat ibadat haji? Sebagaimana perintah solat berjemaah dan zakat, syariat ibadat haji juga sebenarnya sarat dengan elemen kesepaduan ummah.

Status sosial, budaya, warna kulit, bahasa serta pangkat kedudukan akan disamaratakan melalui perintah ibadat haji. Bayangkan, bagaimana lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Tanah Suci semata-mata mahu menunaikan perintah Allah itu.

Hati mereka disatukan di satu kawasan sama. Tidak ada lagi sikap individualistik dan sempadan negara kerana semuanya berhimpun dengan satu tujuan iaitu mengharapkan keredaan Allah.

Begitu indahnya Islam mengajar umatnya bersatu hati. Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang kita seakan-akan memisahkan amalan syariat dengan amalan bermasyarakat dan bernegara.

Impaknya, sudah sekian lama kita bermusuhan dan berkonflik sesama sendiri. Kita bersatu hati hanya ketika di dalam rumah Allah dan di Tanah Suci sedangkan apabila di luar kita berperangai yang ditegah Allah.

Dalam masjid kita menadah tangan berdoa kepada Allah dengan pelbagai permintaan mohon dikabulkan-Nya namun selesai sahaja kita masih menghimpunkan banyak sifat yang dilarang Allah.

Demikian juga ketika berada di Tanah Suci, kita begitu dahagakan keredaan dan kerahmatan Allah. Maka, kita akan laksanakan setiap rukun dalam ibadat haji dengan penuh taat dan teliti.

Malah, di Padang Arafah yang dikatakan antara tempat paling dimakbulkan setiap doa jemaah kita akan menitiskan air mata. Hati kita tidak sedikit pun dicampurkan dengan hal keduniaan.

Tetapi mengapakah kesatuan hati, kepatuhan kepada Allah dan semangat persaudaraan ummah boleh terhakis sedikit demi sedikit tatkala pulang dari Tanah Suci?

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 8:49 AM