GAMBAR hiasan
Prof Madya Dr Ali Salman

PERKEMBANGAN teknologi hari ini semakin mendedahkan kecanggihannya. Teknologi baharu dicipta bagi memenuhi keperluan kehidupan masyarakat yang semakin berminat bersaing menggunakan alat canggih itu bagi mendapatkan berita dan maklumat mengenai pelbagai isu di sekeliling mereka.

Media sosial muncul antara platform paling popular. Ciri-ciri interaktif media sosial yang unik dan meluas membolehkan setiap orang tidak hanya terhad berkongsi maklumat melalui teks, tetapi mereka boleh mengakses serta memuat turun video, foto, audio dan permainan.

Secara tidak langsung, ia membentuk serta mengubah cara hidup, keperibadian dan identiti manusia.

Mengikut Kajian Pengguna Internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), peratusan pengguna Internet pada tahun lalu berada pada 87.4 peratus.

Sementara itu, tinjauan menganggarkan ada lebih 24 juta pengguna media sosial. Berdasarkan maklumat itu, masyarakat Malaysia mengalami pelbagai situasi di mana mesej sensitif serta ‘radang’ yang boleh mengancam keharmonian disebarkan melalui media sosial.

Mesej itu termasuk berbentuk propaganda dan fitnah membabitkan agama, bangsa dan bahasa dengan tujuan untuk menimbulkan konflik antara rakyat berbilang agama dan kaum.

Jika tidak dibendung, ia akan membawa kerosakan imej dan reputasi. Maklumat dalam media sosial tidak semestinya tepat dan benar. Oleh itu, penting bagi pengguna mengesahkan apa yang disebarkan di media sosial.

Satu kajian dijalankan Nur Azira Rameli dari Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap 200 pemuda Malaysia yang memberi respons kepada soal selidik mengenai penggunaan media sosial dan tabayyun mendedahkan, konsep itu adalah elemen penting dalam mengesahkan maklumat daripada media sosial dalam konteks Malaysia.

Menurut ulama abad ke-14, Ibn Kathir, tabayyun adalah proses pemantauan berita atau peristiwa sebelum disebarkan.

Konsep tabayyun memerlukan individu lebih berhati-hati membuat kesimpulan. Ia adalah konsep Islam yang bermaksud pengesahan.

Konsep Islam tabayyun termasuk mengesahkan watak dan kredibiliti pembawa maklumat. Istilah tabayyun melampaui makna linguistik untuk mengambil makna yang berakar dari al-Quran.

Tabayyun dibentangkan dalam al-Quran diikat dengan watak pembawa maklumat. Pembawa maklumat perlu menjadi individu yang boleh dipercayai untuk penerimaan maklumat berkenaan.

Amalan tabayyun relevan dan perlu untuk penyebaran maklumat di media sosial. Golongan pemuda yang disoal selidik bersetuju, “Konsep tabayyun harus difahami dan disebarkan kepada masyarakat dalam menghadapi isu-isu baru dalam masyarakat.”

Golongan itu juga perlu berhati-hati mencari maklumat atau berita di media sosial. Selain itu, tabayyun di media sosial mencatat tahap hubungan paling rendah dengan tingkah laku remaja.

Terlalu banyak maklumat terdapat di media sosial kredibilitinya boleh dipertikaikan. Dari mana maklumat dan berita itu ditemui, siapa sumber dan sejauh mana kesahihan maklumat dipaparkan di media sosial selalu menjadi tanda tanya.

Oleh itu, amalan tabayyun di media sosial menjadi aspek penting dalam memperoleh dan menyebarkan sebarang maklumat.

Amalan menyelidik dan mengkaji setiap maklumat diterima dengan memastikan sumbernya sah, membolehkan orang ramai mendapat maklumat lebih tepat sambil mengelak salah faham serta fitnah.

Kajian juga mendapati, tahap kesedaran dalam kalangan belia mengenai kepentingan tabayyun di media sosial agak tinggi. Kesedaran itu membolehkan belia untuk berhati-hati, terutama mendapatkan serta berkongsi maklumat mengenai media sosial.

Dengan mengamalkan tabayyun, belia dapat membantu mengekalkan kestabilan dan keharmonian masyarakat dan negara selain mengelak fitnah.

Walaupun belia dalam kajian itu bersetuju kepentingan tabayyun, mereka masih kurang pengetahuan komprehensif mengenai konsep itu.

Bagi mengurangkan penyebaran maklumat salah dalam media sosial, literasi media khususnya media sosial dan penguatkuasaan undang-undang sangat penting.

Pihak berkuasa perlu membentuk modul literasi media untuk sekolah dan kempen komunikasi melalui media bagi mewujudkan kesedaran tabayyun.

Selain itu, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu dalam bentuk denda yang berat, perkhidmatan komuniti dan penjara.

Penulis Pensyarah Pengajian Komunikasi Taylor’s University

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 8:25 AM