GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

APAKAH hukum seseorang tidur selepas masuknya waktu solat? Contohnya, seseorang itu tidur jam 2.30 petang tanpa menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu?

Tidur adalah perkara lumrah bagi setiap manusia normal. Tidur yang cukup diperlukan manusia bagi menjalankan aktiviti harian selain daripada makan dan minum.

Tidur juga tidak lari daripada hukum taklif yang lima iaitu harus, wajib, sunat, haram dan makruh. Ia bergantung kepada keadaan tertentu.

Mengenai hukum tidur selepas masuknya waktu solat fardu dan sebelum menunaikan solat, berikut kami nukilkan perkara itu daripada Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah yang bermaksud: “Jika seseorang itu tidur selepas masuknya waktu solat dan kuat sangkaannya bahawa dia akan bangun sebelum keluarnya waktu solat, maka tidak berdosa baginya walaupun terkeluar daripada waktu solat disebabkan tidur (yang dibina atas sangkaan dia mampu untuk bangun sebelum keluarnya waktu solat), tetapi hukumnya makruh kecuali jika seseorang itu sangat mengantuk dan dia tidak dapat mengatasi rasa mengantuknya itu.

“Jika seseorang itu tidak mempunyai sangkaan yang kuat dia mampu bangun untuk menunaikan solat (jika tidur selepas masuknya waktu solat), maka dia berdosa dan wajib bagi sesiapa yang mengetahui keadaannya untuk mengejutkannya pada waktu itu.” (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj - 2/407)

Kami juga menukilkan perkara seumpama itu daripada Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari Rahimahullah mengenai masalah tidur selepas masuknya waktu solat, maksudnya: “Makruh untuk tidur selepas masuknya waktu solat dan sebelum menunaikan solat tersebut jika dia mempunyai sangkaan pada kebiasaannya dia akan bangun sebelum tamatnya waktu atau dikejutkan oleh orang lain. Jika tidak, haram baginya untuk tidur (tidur yang menyebabkannya terlepas waktu solat).” (Rujuk
Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrat al-‘Ain bi Muhimmat al-Din - 1/89)

Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi Rahimahullah juga ada membincangkan mengenai hukum tidur selepas masuknya waktu solat.

Kami nukilkan sebahagian daripadanya iaitu: “Adapun tidur selepas masuknya waktu solat, jika dia mengetahui akan terlepas waktu solat disebabkan tidur itu, maka haram baginya untuk tidur dan dia melakukan dua dosa, iaitu dosa disebabkan meninggalkan solat dan dosa disebabkan tidur.

“Jika dia bangun sebelum berakhirnya waktu solat yang mana berbeza dengan sangkaan awalnya, maka dia tidak berdosa disebabkan meninggalkan solat, namun tetap berdosa kerana tidur.

“Maka, dosa tidur itu tidak terangkat melainkan dengan beristighfar. Jika kuat sangkaannya dia akan bangun sebelum keluarnya waktu solat, maka tidak berdosa baginya walaupun terkeluar daripada waktu solat disebabkan tidur (yang dibina atas sangkaan bahawa dia mampu bangun sebelum keluarnya waktu solat), tetapi hukumnya makruh kecuali jika seseorang itu sangat mengantuk dan tidak dapat mengatasi rasa mengantuknya itu.” (Rujuk Kasyifah as-Saja Syarh Safinah an-Naja - hlm 191)

Asas kepada hukum itu adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidaklah tidur itu sia-sia, sesungguhnya yang sia-sia itu adalah sesiapa yang tidak menunaikan solat sehingga datangnya waktu solat lain.” (Riwayat ibn Hibban - 1460, Syeikh Syuaib al-Ar-nout menghukumnya sahih atas syarat Imam Muslim.

Kesimpulannya, makruh tidur selepas masuknya waktu solat sebelum menunaikan solat berkenaan jika seseorang itu yakin mampu untuk bangun sebelum berakhirnya waktu solat.

Jika tidak yakin untuk bangun sebelum tamat waktu solat, maka haram baginya untuk tidur sehinggalah dia menunaikan solat.

Jika seseorang mahu tidur sebentar disebabkan keadaan seperti terlalu letih dan mengantuk, maka diharuskan tidur sebentar dengan syarat berusaha untuk bangun selepas itu seperti mengunci jam di telefon bimbit dan sebagainya atau meminta ahli keluarga dan rakan-rakan mengejutkannya.

Namun, yang terbaik adalah menunaikan kewajipan solat terlebih dahulu sebelum melaksanakan perkara lain termasuk tidur dan sebagainya.

Rasulullah SAW ditanya, apakah amalan paling utama? Nabi SAW bersabda bermaksud: “Solat pada awal waktu.” (Riwayat Abu Daud -426)

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 8:23 AM