PETUGAS TH yang bertugas untuk menyantuni jemaah haji diberikan latihan berterusan untuk memastikan operasi haji lancar.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Ketabahan dan kesabaran mereka sememangnya sesuatu yang cukup mengagumkan. Walau perlu bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa cuti dan perlu sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan, mereka tetap menjalankan tanggungjawab sebaiknya demi menyantuni Dhuyufurrahman.

Amalan menyantuni tetamu Allah yang bertujuan memudahkan urusan jemaah mengerjakan Rukun Islam Kelima itu adalah semulia-mulia pekerjaan dan sudah dapat dilihat pada zaman Rasulullah SAW lagi.

Rasulullah pernah membentuk satu kumpulan jemaah yang membantu memberi makan dan minum kepada jemaah lain.

Pendekatan yang sama itu diteruskan Tabung Haji (TH) dalam setiap aspek operasi haji pada setiap musim.

Namun, tanggungjawab yang digalas sebagai petugas haji dalam menyantuni jemaah yang juga Tetamu Allah, bukan sesuatu yang mudah.

Ini kerana dengan bilangan petugas yang sedikit, mereka perlu mengendalikan ribuan jemaah Malaysia yang datang dari seluruh pelosok tanah air dengan latar belakang yang berbeza.

Kerenah dan ragam setiap jemaah juga pastinya pelbagai, sekali gus memerlukan kesabaran yang tinggi dalam memastikan jemaah sentiasa dalam keadaan yang baik.

Justeru, dalam memastikan petugas haji sedia membantu dan memberi khidmat bakti kepada tetamu Allah SWT sepanjang berada di tanah air dan Tanah Suci, mereka perlu menghadiri pelbagai kursus yang dikendalikan TH.

Pengurus Besar Kanan (Haji), Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata, bagi memastikan petugas haji mampu untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam menyantuni jemaah, mereka menganjurkan pelbagai kursus dari awal tahun ini lagi.

Katanya, antara sesi kursus yang diikuti petugas haji termasuklah kursus kefahaman, ibadah, kem bina semangat, kem latihan fizikal dan bengkel bagi sektor tertentu supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada gerak kerja masing-masing.

“Petugas juga akan mengikuti bengkel ISO di mana segala gerak kerja di tanah air dan tanah suci adalah berdasarkan kepada perkhidmatan ISO 9001:2015.

“Sepanjang kursus, kita akan menekankan kepada mereka bahawa kerja sebagai ibadah dan mereka perlu bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa rehat serta waktu pejabat juga agak panjang dari 7 pagi hingga 10 malam.

“Mereka juga perlu bersedia memberikan perkhidmatan di luar waktu rasmi kerana segala hal berkaitan jemaah seperti kebajikan, kesihatan, ibadah, makan minum perlu diuruskan petugas haji ini, sekali gus menuntut komitmen yang tinggi dari mereka,” katanya.

Selain kursus, TH turut memberi penekanan kepada petugas dari segi menghadapi pelbagai kerenah dari jemaah kerana setiap tahun, ada saja ragam tersendiri jemaah yang perlu dilayani dan disantuni.

Syed Saleh berkata, kalau dilihat kepada profil jemaah, ia sedikit sebanyak memberi kesukaran kepada petugas dalam memberi perkhidmatan kerana kebanyakan mereka sudah lanjut usia, punya masalah kesihatan, tidak dapat bergerak dengan pantas dan memerlukan bantuan kerusi roda untuk bergerak.

“Perkhidmatan juga perlu banyak kepada kesihatan kerana segelintir jemaah yang tidak sihat hanya mahu berehat di dalam bilik dan tidak mahu pergi ke klinik, sekali gus menuntut petugas haji perlu ke bilik dan membawa mereka berjumpa doktor.


PETUGAS TH melafazkan ikrar sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Kita lihat juga jemaah haji majoritinya pertama kali ke Tanah Suci dan tak pernah melakukan haji atau umrah serta mungkin juga tak pernah ke luar negara.

“Ini juga satu cabaran yang perlu kita hadapi, sekali gus memerlukan petugas-petugas kita sentiasa membuat persediaan yang sewajarnya,” katanya.

Selain menjaga kebajikan jemaah, petugas juga hendaklah menjaga kesihatan kerana mereka juga tidak cukup tidur dan terdedah kepada cuaca panas.

Tahun ini seramai 640 petugas haji bertugas menyantuni Dhuyufurrahman. Jumlah keseluruhan petugas ini dipecahkan kepada dua iaitu rombongan kebajikan dan kesihatan perlu mengikuti kursus yang ditetapkan mengikut kesesuaian tugasan yang digalas.

Bagi petugas rombongan kebajikan yang terdiri daripada kakitangan TH, anak syarikat TH, pembimbing, Kor Agama Angkatan Tentera dan Jabatan Pendaftaran seramai 380 petugas, mereka akan memastikan segala yang berkaitan dengan kebajikan jemaah terjaga.

Bagi petugas rombongan kesihatan seramai 260 orang terdiri daripada doktor pakar dan pegawai kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia pula, mereka akan sentiasa memastikan jemaah mendapat rawatan sebaiknya sepanjang berada di Tanah Suci.

Kata Syed Saleh, bilangan petugas haji ini sememangnya tidak mencukupi untuk menjaga lebih kurang 30,200 jemaah kerana kesemua petugas ini tidak semuanya duduk dalam satu tempat.

“Setiap mereka mempunyai tugasan masing-masing serta dibahagikan dan ditempatkan di lokasi berlainan mengikut tugasan yang digalas, sekali gus menyebabkan banyak bebanan kerja yang perlu dipikul.

“Dengan bilangan petugas yang sedikit, kemudian dibahagi-bahagikan mengikut tugasan dan tempat, semakin kecil jumlah petugas berbanding jemaah yang ramai perlu dijaga,” katanya.

Bagaimanapun, kata Syed Saleh, pihaknya membuat persiapan dari segi nisbah petugas yang berpengalaman dan yang baru.

Bagi rombongan kebajikan, nisbahnya adalah 60 berpengalaman dan 40 yang baru. Manakala rombongan kesihatan pula, nisbahnya 40 berpengalaman dan 60 yang baru.

“Gabungan petugas berpengalaman dan baru ini dilihat sedikit sebanyak dapat membantu kelancaran operasi. Kalau kita ambil semua petugas baru saja, mereka mungkin tidak dapat memahami kerana kita dalam suasana operasi bukan suasana dalam pejabat.

“Selain itu, dalam operasi ada kala hanya seorang petugas yang bertugas atau mengendalikan serta membuat sesuatu keputusan. Jadi, kena ada gabungan baru dan lama dan ini sedikit sebanyak memberi komitmen kepada petugas untuk menjalankan tugasan dengan amanah, ikhlas dan sebaik mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 8:15 AM