GAMBAR hiasan.
Suriany Awaludin

SAYA minta suami untuk lafaz taklik. Suami bersetuju melafazkan kandungan taklik itu antaranya, sekiranya suami masih berjudi dan menonton video lucah, maka akan jatuh talak satu.

 Kemudian suami mengatakan, dia ada melanggar syarat taklik berkenaan. Bagaimanapun, suami memberitahu talak itu tidak jatuh kerana ketika lafaz itu disebut, dia langsung tidak berniat untuk menceraikan saya.

Dia sekadar mahu melayan tuntutan saya dan tidak mahu kami bergaduh. Adakah benar dakwaan suami bahawa talak itu tidak sah kerana tanpa niat yang betul?

Ingin Tahu

Johor Bahru

Lafaz cerai secara taklik adalah salah satu daripada jenis cerai. Taklik adalah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan taklik berkenaan.

Taklik bermaksud menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Sekiranya kau pergi ke tempat tertentu, maka kau tertalak.”

Sekiranya berlaku perlanggaran pada syarat taklik, maka berlakulah perceraian.

Dalam syarak, talak termasuk dalam perkara serius yang memberi kesan terhadap hukum perkahwinan.

Sebagaimana pandangan masyhur yang merujuk kepada hadis Nabi SAW diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh iaitu nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). Taklik yang menyebabkan jatuhnya talak hendaklah memenuhi syaratnya iaitu:

Suami: hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata taklik. Taklik hendaklah ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.

Isteri: Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah). Ulama bersepakat, talak akan jatuh sekiranya pelafaz (suami) memenuhi syarat yang ditetapkan.

Syarat yang sudah disepakati ulama adalah seperti berikut:

1. Ada pertalian nikah.

2. Sempurna akal.

3. Dengan kehendak sendiri (pilihan bukan paksaan).

Syarat pertama iaitu suami dalam masalah pembaca minggu ini, tiada keraguan mengenai kedudukannya sebagai suami yang sah.

Bagi syarat kedua pula, suami berada dalam keadaan sempurna akal, tidak mabuk, tidak pengsan atau seumpamanya yang diklasifikasikan sebagai tidak sedar atau tidak waras.

Syarat ketiga iaitu tiada paksaan. Dalam konteks taklik talak itu perlu dilihat syarat yang dinyatakan suami itu berbentuk sebagai maksud bersumpah dengan taklik talak atau suami bertaklik talak.

Taklik yang dibuat bertujuan untuk bersumpah iaitu pelafaz bermaksud untuk bersumpah tanpa inginkan balasan (jatuh talak), tetapi disebut syarat dan balasan bertujuan supaya dijauhi kedua-dua perkara berkenaan.

Tujuan sumpah taklik adalah untuk mencegah perbuatan itu dan menakutkannya dengan sumpah.

Tidak bermaksud jatuhnya talak jika melanggar sumpah itu seperti: Seorang lelaki berkata kepada isterinya, “Jika kau keluar kau tertalak” dengan niat untuk mencegahnya dan menakutkannya tanpa niat untuk mentalakkannya.

Jika suami melafazkan taklik talak, perlu jelas maksud suami sama ada dia membuat taklik itu berlakunya talak jika syarat dilanggar.

Atau suami hanya bersumpah kerana tidak mengharapkan balasan (jatuh talak). Taklik yang dibuat bertujuan untuk menjatuhkan talak pula adalah pelafaz benar-benar inginkan balasan (jatuh talak) sekiranya syarat itu dilanggar walaupun dia membenci syarat itu berlaku atau membenci balasan itu berlaku atau kedua-duanya (benci syarat dan benci balasan).

Contohnya: “Sekiranya kau berzina atau mencuri, maka kau tertalak.” Contoh lain, “Sekiranya kau sakiti aku lagi, maka kau tertalak.”

Bentuk taklik talak yang dibuat ini (inginkan balasan jatuh talak) akan mengakibatkan jatuhnya talak jika berlaku syarat atau sifat itu.

Ia adalah bentuk taklik talak sempurna, bukannya berbentuk sumpah. Oleh itu, antara rukun lafaz talak pula perlu dilihat kepada al-qasd iaitu tujuan talak dilafazkan.

Al-qasd adalah rukun ketiga dalam bab talak. Ia berkait rapat dengan sighah atau bagaimana dilafazkan talak itu.

Ibnu Taimiyyah berpendapat, sekiranya seseorang melafazkan taklik talak, kita perlu melihat atau meneliti maksud (niat) pelafaz berkenaan.

Jika maksud pelafaz hanya untuk bersumpah, maka talak tidak jatuh sekiranya dilanggari syarat berkenaan.

Sumpah itu mestilah mengandungi dorongan kepada menegah sesuatu, menyuruh atau untuk menyakinkan dan mendustakan sesuatu.

Lafaz taklik talak yang dibuat tanpa ada sebarang maksud akan mengakibatkan jatuhnya talak sekiranya syarat taklik itu dilanggar.

Walau bagaimanapun, suami atau isteri perlu hadir di mahkamah untuk membuat pengesahan berhubung lafaz taklik dan perlanggaran yang berlaku.

Suami perlu memberi keterangan tentang apa yang dilafazkan. Isteri pula tidak wajar berdiam diri sekiranya wujud keraguan.

Penulis adalah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 8:30 AM