GAMBAR hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

KEHIDUPAN aman dan harmoni masyarakat majmuk di Malaysia sudah wujud sekian lama sejak sebelum merdeka lagi.

Malaysia memberi contoh yang baik kepada negara lain bagaimana kesederhanaan dan budaya hidup ramah serta saling menerima membuahkan hasil yang dapat kita rasai pada hari ini.

Perkara itu menjadi isu hangat di setengah negara lain kerana masing-masing tidak dapat menerima kewujudan bersama orang Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara.

 Kewujudan bersama atau al-ta’ayush yang juga dikenali sebagai co-existence. Masyarakat terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam dapat hidup bersama dalam sebuah negara yang diiktiraf sebagai warganegara berdaulat dan merdeka.

Hubungan baik antara orang Islam dan bukan Islam dinamakan sebagai muwatanah (kewarganegaraan) yang mana masing-masing mendapat perlindungan sebagai seorang rakyat di bawah satu perlembagaan.

Ketegangan antara agama dan kaum di beberapa negara menjadi iktibar kepada kita bahawa Islam memimpin manusia untuk hidup saling kasih mengasihi.

Seperti perintah Allah SWT di dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

 Konflik berpanjangan antara agama dan etnik akan membawa sikap benci-membenci dan jika tidak diurus dengan baik akan mencetuskan perselisihan malah peperangan saudara.

Ini sudah tentu melenyapkan kesejahteraan alam. Syeikh Muhammad bin Hasan al-Syarif dalam bukunya bertajuk ‘al-Taqarub wa al-Ta’ayush Ma’a Ghayr al-Muslimin’ menyebut: “Adapun maksud ta’ayush ialah (kehidupan) antara kita dan bukan Islam yang menetap di sekeliling kita daripada kalangan ahli zimmah yang dinamakan sekarang sebagai warganegara dan juga kehidupan antara golongan bukan Islam yang ada perjanjian (mu’ahad) yang masuk ke negara kita dengan perjanjian aman iaitu yang dinamakan sekarang sebagai visa.”

Beliau menyatakan, konsep al-Ta’ayusy bukan bermaksud mengkompromikan kedudukan Islam sebagai satu agama kebenaran.

Menurutnya, apa yang dikehendaki daripada al-taqarub (merapatkan) dan al-ta’ayusy adalah memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam dan mengajak kepadanya.

Jika mereka tidak menerimanya sebagai agama sekalipun, maka ketika itu hendaklah kita meletakkan kaedah bagi mengelakkan pertumpahan darah, menjamin manusia melakukan aktiviti di atas muka bumi, meninggikan keadilan dan saling menolong pada perkara yang boleh dilakukan bersama.”

Islam adalah agama kedamaian yang memberikan panduan dan prinsip jelas untuk menguruskan kehidupan.

Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik. Baginda menunjukkan kaedah dan prinsip al-ta’ayush dalam membina kehidupan orang Islam serta orang bukan Islam dalam keadaan aman dan harmoni.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 8:15 AM