KESAN dosa dan maksiat juga akan menghalang rezeki. Semakin banyak dosa, maka semakin berat rezeki dan masalah menimpa. FOTO hiasan
Laman Nurani

KITA perlu sentiasa berasa bimbang seandainya dosa yang dilakukan selama ini masih belum diampunkan Allah SWT.

Sekiranya Allah SWT mahu mempamerkan semua dosa itu dengan menghitamkan wajah, sudah pasti akan hitam legam wajah kita semua.

Begitu juga seandainya dosa manusia itu dizahirkan dengan mengeluarkan bau busuk, sudah pasti segenap tempat yang kita duduk akan berbau busuk dan tiada siapa yang mahu mendekati diri kita.

Bagaimanapun, setiap dosa itu Allah SWT tutup aibnya supaya orang di sekeliling tidak mengetahuinya.

Dalam satu riwayat menyatakan, seorang yang bercakap bohong walau keluar satu perkataan dusta daripada mulutnya, malaikat akan menjauh daripadanya.

Daripada Saidina Ibnu ‘Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang hamba Allah berdusta, malaikat akan menjauhkan diri daripadanya (si pendusta tersebut) satu mil (jarak) kerana tidak senang dengan bau busuk yang diakibatkan oleh dusta tersebut.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Ahmad)

Mungkin ada dalam kalangan kita pernah melakukan dosa lebih teruk daripada itu terutamanya pernah berzina, berjudi, meminum arak dan dosa besar lain.

Namun, Allah SWT tetap menutup aib itu dan menunggu hamba-Nya meminta keampunan di atas dosa yang dilakukan.

Kesan perbuatan dosa itu sebenarnya dapat dilihat dalam hidup kita. Antaranya, ia menghalang ilmu meresap ke dalam jiwa.

Jika dilihat pada diri kita yang sudah lama menuntut ilmu ini, berapa banyak ilmu yang ‘lekat’ atau diamalkan dalam kehidupan seharian?

Contohnya, amalan mudah seperti membaca surah seringkas al-Ikhlas, sudah semestinya kita semua mampu menghafaznya dengan baik.

Kita semua mengetahui kelebihan membaca surah itu seperti dinyatakan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 kali Surah al-Ikhlas siang dan malam, maka Allah memberinya sebuah istana dalam syurga.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Imam Adarimi)

Daripada hadis itu, Allah SWT menawarkan bukan ganjaran yang biasa, tetapi sebuah istana di dalam syurga!

Namun, adakah kita konsisten mengamalkannya? Itu semua adalah kesan serta tanda dosa yang kita lakukan.

Selain itu, kesan dosa dan maksiat juga akan menghalang rezeki. Semakin banyak dosa, maka semakin berat rezeki dan masalah menimpa.

Namun, terdapat perbezaan antara rezeki yang diperoleh hasil keberkatan dan istidraj.

Keberkatan rezeki itu dinilai walaupun tidak banyak, tetapi sentiasa dirasakan cukup. Apabila mendapat keberkatan akan bertambah kebaikan yang dapat dilihat bagaimana hubungan seseorang itu dengan Allah SWT.

Mereka yang diberikan istidraj pula menyebabkan ibadatnya sering culas dan hubungannya dengan Allah SWT semakin jauh.

Seterusnya, maksiat akan mewujudkan jarak seseorang dengan Allah SWT. Orang yang jauh dengan Allah, hatinya akan menjadi gersang dan gelisah.

Diriwayatkan, pada satu hari Nabi SAW menaiki unta bersama Abdullah bin Abbas yang ketika itu masih kecil.

Daripada Abdullah bin Abbas RA berkata: “Aku berada di belakang Nabi SAW lalu Baginda bersabda yang bermaksud: ‘Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajar kamu beberapa kalimah (ajaran agama): Jagalah Allah, (nescaya) Dia akan jaga kamu. Jagalah Allah (nescaya) kamu akan dapati Dia di hadapan kamu...” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Menjaga Allah itu adalah melaksanakan perintahNya dengan bersungguh-sungguh, bukannya dalam keadaan sambil lewa.

Contohnya, orang yang menjaga Allah akan menunaikan solat pada awal waktu, secara berjemaah serta berusaha mendapat-an saf yang paling hadapan.

Itu perbezaan antara orang yang ‘buat’ solat serta menjaga solat. Orang yang menjaga Allah juga bukan setakat melakukan perkara wajib semata-mata, malah berusaha meningkatkan amalan sunat.

Ingatlah, sekiranya seseorang istiqamah melakukan amal kebaikan, maka dia akan meninggal dunia dalam kebaikan.

Diriwayatkan, seorang sahabat meninggal dunia ketika menunaikan haji. Ketika meninggal, dia masih berpakaian ihram.

Rasulullah SAW kemudiannya meminta sahabat mengkafankan orang itu dengan pakaian ibadat berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kafankan beliau dengan pakaiannya, sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiyyah (lafaz talbiah haji yang memuji Allah SWT).

Sebaliknya, jika terus- menerus melakukan kemungkaran, dibimbangi seseorang itu akan mati dengan perbuatan yang biasa dilakukan itu.

Imam Ibn al-Qayyim di dalam kitab Madarij al-Salikin menyatakan: “Adapun sekiranya seseorang itu (setelah melakukan ibadat) masih berasa seronok dengan dosa, ketahuilah bahawa ia adalah (tanda-tanda) amalan tidak diterima sekalipun dia melakukan amal kebajikan selama 40 tahun.”

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 7:31 AM