GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

KITA boleh saksikan bagaimana perubahan zaman dibawa oleh dunia banyak menghakis budaya masyarakat setempat yang sebelum ini cukup harmoni, penuh tertib dan beradab.

Budaya asing yang ditiru dan diamalkan itu dirasakan suatu keperluan dan ‘wajib’ ada pada sesebuah masyarakat bagi membolehkan mereka dianggap maju.

Manakala, budaya setempat yang sudah sekian lama tertanam dalam jiwa anggota masyarakat dikatakan ketinggalan zaman dan bersifat kolot.

Anak-anak kini juga sudah semakin kurang adab dan kesopanannya sama ada terhadap orang tuanya sendiri serta kepada insan lain seperti guru mereka.

Rasa hormat kepada orang tua semakin hari semakin luntur dan menghilang. Jika diimbas pada zaman persekolahan dahulu, guru adalah insan paling disanjungi dan hormati.

Kini, keadaan itu seakan-akan mula menipis. Banyak insiden yang berlaku akhir-akhir ini mempamerkan sikap buruk anak-anak murid terhadap guru mereka.

Tidak cukup dengan itu, kejadian buli di asrama juga kerap dilaporkan yang mana semua itu mesti ada sebabnya.

Paling mudah untuk kita buat teori adalah semua insiden yang berlaku itu diakibatkan oleh pengaruh budaya liar yang semakin meresap dalam jiwa anak-anak.

Begitu juga dalam hal ehwal rumah tangga. Kes perceraian rumah tangga juga kerap dilaporkan. Cukup menakutkan apabila statistik yang dikeluarkan juga menunjukkan peningkatan ketara.

Perkara seumpama itu penting untuk kita jadikan peringatan kerana punca keruntuhan sesebuah rumah tangga banyak diakibatkan oleh kurangnya pemahaman terhadap ajaran Islam.

Ia boleh berlaku akibat sikap panas baran suami, isteri tidak prihatin terhadap kebajikan suami serta pelbagai sebab lain yang meninggalkan kesan kepada kerukunan rumah tangga.

Begitu juga bagaimana sikap kita terhadap alam sekitar. Adakah kita mengamalkan apa yang diperintah Allah dalam memelihara dan menjaga alam sekitar menurut kaca mata yang sebenarnya?

Berpandukan keadaan semasa, maka kita pasti menggeleng kepala kerana ramai dalam kalangan kita kurang prihatin terhadap memelihara alam sekitar dengan sewajarnya.

Makin lama makin banyak peristiwa buruk berlaku disebabkan kelalaian serta kecuaian masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar.

Alam yang cukup indah kurniaan Allah ini memberi manfaat besar buat kehidupan manusia.

Bagaimanapun, ia kini semakin ‘gondol’ tanpa menghitung kepentingan dan keperluan generasi anak serta cucu kita pada masa akan datang.

Sungai juga sudah hilang kedamaiannya. Yang ada kini hanya tinggalan sungai yang kotor dan penuh sampah hinggakan hidupan di dalam air turut menjadi mangsa keadaan.

Lebih menderita akibat perbuatan tangan manusia ini menyebabkan berlaku banjir yang merencatkan kehidupan.

Itu harga yang perlu dibayar selepas manusia sendiri ‘mengkhianati’ amanah Allah.

Jiwa yang beramanah sudah mula terhakis dan kini lahir manusia berjiwa duniawi sahaja.

Pandangan sempit mengenai pengertian takwa membuatkan kehidupan manusia mudah tersasar jauh daripada kehidupan sebagai hamba.

Allah dan Rasul-Nya menunjukkan jalan kehidupan yang sebenar menerusi kitab al-Quran dan as sunah, tetapi manusia mengabaikannya tanpa dijadikan sumber rujukan dalam menjalani kehidupan.

Jadi, munasabahlah pelbagai musibah ditimpa ke atas manusia itu adalah sebagai natijah perbuatan yang menentang perintah Allah.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 8:30 AM