GAMBAR hiasan.
Suriany Awaludin

ADAKAH boleh jatuh talak terhadap isteri sekiranya saya bertemu dua kawan lalu bercerita masalah saya kepada mereka dengan mengatakan: “Kalau ikutkan hati memang nak cerai je. Kalau balik ini, dia (isteri) bising-bising lagi, memang aku akan ceraikan dia.”

Wan

Putrajaya

Apabila perceraian berlaku dalam kalangan umat Islam, ia membuka ruang berlakunya kerosakan hidup manusia sekiranya tidak mempunyai persiapan dan benteng iman yang teguh.

Pelbagai kisah permusuhan bekas suami isteri, perebutan anak, malah tidak terkecuali rosaknya diri anak-anak yang menerima tekanan akibat perceraian.

Justeru, sebelum memikirkan untuk bercerai atau menanam hasrat untuk bercerai, suami dan isteri perlu mempunyai persiapan diri.

Kebanyakan kes wujudnya masalah berpanjangan selepas bercerai kerana tiada persiapan seperti dinyatakan.

Mereka hanyut melayan hasutan dan bisikan jahat iblis dan syaitan. Perceraian dalam Islam berlaku sama ada dengan lafaz talak, fasakh, khulu’ atau taklik.

Semua kaedah perceraian itu mempunyai rukun dan syaratnya. Jika rukun dan syarat dipenuhi, maka sahlah perceraian dan perkahwinan itu dibubarkan.

Bagi perceraian yang berlaku dengan talak, elemen utama adalah apakah lafaz talak itu sah dan memenuhi kehendak rukun dan syarat talak.

Sebagaimana penulisan sebelum ini berkaitan tajuk talak, rukun talak terdiri daripada lima perkara iaitu sighah (lafaz talak), mahal (orang yang ditalak atau isteri), wilayah (kekuasaan), qasad (niat) dan mutallaq (pentalak).

Setiap satu rukun perlu diperhalusi dan disiasat sebelum memutuskan sama ada sesuatu lafaz talak itu jatuh dan mengurangkan baki talak.

Rukun sighah (lafaz talak) menjadi isu dalam persoalan pembaca. Lafaz yang diucapkan kepada kawan-kawan seperti dinyatakan dalam soalan pembaca lafaz itu mengandungi perkataan cerai, tetapi didahului dengan perkataan akan.

Dalam konteks bahasa Melayu akan itu bermaksud belum berlaku atau dibuat pada masa akan datang.

Jenis lafaz talak terbahagi kepada dua jenis iaitu lafaz yang jelas (sarih) atau tidak jelas (kinayah).

Lafaz yang jelas itu disepakati oleh ulama tentang kesannya akan menggu-
gurkan talak apabila dilafazkan oleh suami.

Lafaz sarih menggunakan perkataan cerai atau talak itu sendiri atau dengan lafaz yang membawa maksud cerai.

Lafaz kinayah adalah afaz yang membawa maksud talak dan juga maksud selain talak. Bagaimanapun, kemungkinan makna talak adalah lebih kuat daripada makna lain.

Pensabitan gugurnya talak dengan lafaz kinayah itu memerlukan kepada niat suami. Jika suami mengeluarkan lafaz membawa maksud cerai dan berniat untuk menceraikan isterinya, maka sabitlah gugurnya talak.

Persoalan mengenai lafaz akan ceraikan isteri seperti lafaz di atas termasuk dalam jenis lafaz kinayah dan memerlukan penjelasan daripada suami.

Adakah suami maksudkan akan menceraikan isteri dengan lafaz yang lain atau apakah sebenarnya maksud bising-bising yang disebutkan dalam lafaz berkenaan?

Penjelasan perkara itu hanya dalam pengetahuan dan niat suami dan perlu dijelaskan jika perkara itu dibawa dan didengar di mahkamah.

Rukun lain iaitu rukun mahal (isteri), perlu ditentukan isteri yang mana dimaksudkan jika suami memiliki lebih daripada seorang isteri.

Jika hanya seorang, maka tiada isu berkaitan mahal. Rukun wilayah iaitu kekuasaan bermaksud seorang suami itu berkuasa penuh untuk menjatuhkan talak ke atas isterinya.

Kekuasaan juga membawa maksud tidak dipengaruhi atau dipaksa ma-
na-mana pihak dengan apa-apa ugutan atau ancaman.

Seterusnya, rukun qasad dan mutallaq dilihat tiada sebarang isu. Pentalak iaitu suami adalah suami yang sah dan qasad juga tertakluk kepada niat suami yang perlu dijelaskan dalam rukun sighah.

Oleh itu, penjelasan perlu didengar terlebih dahulu dan diperhalusi sebelum dapat mengesahkan lafaz yang dibuat itu menyebabkan gugurnya talak dan menyebabkan kurangnya jumlah talak.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 8:13 AM