GAMBAR hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

ALLAH SWT mencipta alam semesta ini mengikut bahagian yang sewajarnya secara kuantitatif dan kualitatif.

Perkara itu dinyatakan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang ditentukan).” (Surah al-Qamar, ayat 49)

Dalam satu lagi firman-Nya yang bermaksud”... Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya dengan kadar yang tertentu.” (Surah ar-Ra’d, ayat 8)

Islam menekankan kepentingan melindungi alam sekitar dengan meminta pengikutnya tidak menebang pokok, mencemarkan sungai dan udara.

Nabi Muhammad SAW juga mengajar umatnya sentiasa melindungi haiwan dan tumbuhan.

Daripada Anas, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim pun yang menanam pokok atau mengusahakan pertanian lalu burung, manusia atau binatang memakan daripadanya kecuali akan menjadi sedekah untuknya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Alam semesta ini wujud kepelbagaian yang amat besar dalam bentuk dan fungsi bagi memenuhi kebajikan manusia serta menjadi bukti kebesaran Allah.

Allah SWT menentukan dan mengatur sesuatu dan semuanya meraikan dan memuji-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepada-Nya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semula jadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memuji-Nya dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.” (Surah an-Nur, ayat 41)

Setiap perkara diciptakan Allah SWT menjadi tanda yang menakjubkan, penuh bermakna serta menunjukkan kemuliaan-Nya.

Di dalam Surah Taha, ayat 53-54, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Dialah Tuhan) yang menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang dan Ia juga menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanpaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya. Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu, sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah bagi orang-orang yang berakal fikiran.”

Allah SWT tidak menciptakan alam semesta ini sia-sia.

Semua perkara yang diciptakan adalah untuk ‘berkhidmat’ kepada Tuhan Yang Esa yang memberi kelestarian selain mengawal kitaran hidup dan mati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan daripada menyembah-Nya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutu-Nya)?” (Surah al-An’am, ayat 95)

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 7:15 AM