GAMBAR hiasan
Qira’ah Fatwa

ADAKAH seseorang boleh berniat berpuasa enam sekiranya tiada jemputan rumah terbuka?

Berlalunya Ramadan tidak bermakna umat Islam sepi daripada melaksanakan ibadat puasa.

Kesinambungan daripada bulan Ramadan yang mulia, umat Islam berjaya menahan lapar, dahaga serta seluruh anggota tubuhnya.

Maka, junjungan Rasulullah SAW menganjurkan pula enam hari puasa pada bulan Syawal seperti yang disabdakan Baginda SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berpuasa di dalam bulan Ramadan kemudian diikuti enam hari di dalam bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis itu menyatakan, di sisi Mazhab al-Syafie, hukum puasa adalah sunat kerana sangat jelas perintah untuk melakukannya.

Selain itu, paling afdal ialah puasa enam hari berturut-turut. Namun, bagi mereka yang berpuasa berasingan dan melewatkan sehingga ke akhir Syawal tetap mendapat pahala kerana meneruskan puasa pada bulan Syawal sebagai kesinambungan daripada Ramadan. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim

8/56)

Dalam menjawab persoalan ini, perlu difahami perkara serta syarat berkaitan dengan niat puasa sunat.

l Puasa sunat tidak disyaratkan untuk al-Tabyiit iaitu menetapkan niat puasa pada malam hari.

Namun, diberi keluasan sehingga sebelum tergelincir matahari. Hal itu berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah, beliau berkata maksudnya: Pada suatu hari, Rasulullah SAW berkata kepada aku, “Wahai Aishah, adakah kamu mempunyai sesuatu (untuk dimakan)?” Aishah berkata, “Wahai Rasulullah, kita tidak mempunyai apa-apa.” Baginda bersabda: “Maka sesungguhnya aku berpuasa.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menyatakan hadis itu menjadi dalil sahnya puasa sunat sekiranya diniatkan pada siang hari sebelum tergelincir matahari. (Lihat al-Majmu’ - 8/35)

Imam Ibn Qudamah pula mengingatkan, melewatkan niat sehingga waktu siang dikira sah selagi dia belum menjamah apa-apa makanan. (Lihat al-Mughni - 3/98)

l Seseorang itu hendaklah menjazamkan niat supaya sah niat itu. Jazam adalah perkataan bahasa Arab bermaksud menetapkan tanpa keraguan.

Sesuatu niat hendaklah ditetapkan tanpa wujud sebarang unsur keraguan. Antaranya disebutkan oleh Syeikh Muhammad Zuhaili: “Sekiranya seseorang itu meletakkan taaliq di dalam niatnya dengan menyebut: InsyaAllah di dalam hati atau melafazkannya bertujuan untuk mendapat keberkatan atau untuk benar-benar merealisasikan puasa yang diniatkan itu dan berharap dipanjang-
kan umur sehingga selesai puasanya itu, maka taaliq itu tidak memberi kesan kepada puasanya. Sekiranya bertujuan untuk mentaaliqkan (menambah sesuatu perkara di dalam niat puasa) dan keraguan (untuk berpuasa atau tidak), tidak sah puasanya kerana tidak ditetapkan niatnya.”

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami nyatakan niat puasa sunat secara umumnya atau khususnya niat puasa enam Syawal tidak boleh ditaaliqkan atau ditambah keraguan yang menunjukkan ketidaktetapan sama ada mahu berpuasa atau tidak.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 8:54 AM