GAMBAR hiasan.
Suriany Awaludin

SAYA suri rumah berusia 36 tahun dan sudah enam tahun mendirikan rumah tangga.

Belum memiliki anak, tetapi mempunyai empat anak tiri. Suami suka tuduh yang bukan-bukan terhadap saya.

Lebih mengecewakan, dia pernah menuduh saya mempunyai abang angkat dan membawa lelaki itu masuk rumah.

Sudah bermacam-macam dia kata kepada saya. Dia tidak percaya dan minta saya supaya tidak berpura-pura baik. Saya tidak tahu apa yang mempengaruhi fikirannya.

Saya sangat sedih, apatah lagi dia menuduh tanpa bukti.

Suami juga menyuruh saya balik rumah ibu bapa saya kerana dia selalu berasa tidak senang jika saya berada di rumah.

Maka, saya keluar rumah lalu menumpang di rumah kawan kerana tidak mahu masalah kami ini membabitkan orang tua saya.

Selama lima hari saya cuba mencari ketenangan. Atas nasihat kawan, dia meminta saya pulang ke rumah.

Apabila pulang ke rumah, kami buat hal masing-masing. Suami tidak memberi nafkah termasuk makan minum.

Adakah patut saya terus berdiam diri atau meneruskan cara membuat hal masing-masing?

Ima

Kuala Lumpur

Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia seperti ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup dan keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang.

Allah berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Berkahwin menjadi wajib apabila seseorang itu berkemampuan fizikal dan mental serta bimbang diri terjerumus ke lembah maksiat dengan melakukan zina.

Perkahwinan boleh menjadi sunat apabila seseorang itu yakin tidak terjebak zina dan maksiat.

Namun, pada masa sama dia tidak ragu untuk berkahwin kerana mampu menyediakan keperluan asas dan menjaga kebajikan isteri dengan baik.

Makruh melangsungkan perkahwinan seandainya seseorang itu bimbang melakukan kezaliman terhadap isteri seperti tidak mampu menyediakan keperluan asas.

Kebimbangan itu tidak cenderung kepada yakin, tetapi sedikit ragu saja. Individu diharamkan berkahwin ialah yang mempunyai kesanggupan berkahwin, tetapi menimbulkan bahaya kepada bakal isterinya seperti lelaki yang berkahwin bertujuan menyakiti bakal isterinya.

Maka, perkahwinan itu hukumnya haram. Itu hukum berkahwin yang digariskan syarak.

Apabila sudah berkahwin, maka setiap pihak terikat dengan hukum yang ada dalam perkahwinan itu sendiri iaitu yang membabitkan hak dan tanggungjawab suami terhadap isteri serta isteri terhadap suami.

Tanggungjawab dipikul itu akan memberi kesan kepada imbangan amalan yang menjadi bekalan kepada kehidupan abadi
di akhirat kelak.

Komunikasi, berkasih sayang, bermesra antara satu sama lain adalah satu keperluan dalam perkahwinan.

Apabila keperluan itu terlaksana, maka akan memudahkan setiap pasangan mencapai matlamat perkahwinan.

Kehidupan dan kebahagian di dunia akan dirasai dan dinikmati walau apa ujian yang menimpa.

Namun, apabila ciri-ciri kebahagiaan dan keperluan dalam perkahwinan itu gagal ditunaikan, ia memberi kesan kepada kedua-dua pihak.

Sepertimana puan alami ketika ini, ketiadaan komunikasi yang harmoni, kemesraan dan belaian kasih sayang tertera daripada sikap dan layanan suami terhadap puan.

Perbuatan buruk sangka dan tuduhan negatif itu adalah merupakan percikan hasutan syaitan yang tidak mahu melihat umat Nabi mendirikan sunahnya.

Jika keadaan sedemikian dibiarkan, ia boleh menyebabkan kegagalan perkahwinan mencapai matlamatnya.

Akhirnya menyebabkan keruntuhan rumah tangga. Lebih buruk lagi, jika berlaku kezaliman dan pengabaian tanggungjawab suami atau isteri yang dipersoalkan di akhirat nanti.

Justeru, keadaan sedemikian tidak wajar dibiarkan dan berterusan dengan masing-masing membuat hal sendiri.

Puan dan suami perlu mengambil masa khas untuk menyelesaikan masalah itu.

Pasti setiap tindakan mempunyai punca yang hanya diketahui kedua-dua pihak. Ibu bapa atau keluarga adalah orang asing yang tidak tinggal bersama dan sudah pasti tidak mengetahui apa yang berlaku.

Cari masa sesuai seperti bercuti ke suatu tempat tanpa gangguan juga tanpa anak-anak.

Dalam usaha penyelesaian dan perdamaian, tiada salahnya untuk meletakkan ego dan memohon maaf.

Sebagai suami isteri mungkin ada beberapa sikap atau perbuatan yang tidak disenangi pasangan.

Oleh itu, mohon kemaafan terlebih dahulu, akui sebarang kesilapan serta perbaiki diri masing-masing. Langkah perdamaian itu adalah perkara baik yang disukai Allah.

Mohon doa supaya niat untuk membuat kebaikan iu dipermudahkan dan dilembutkan hati kedua-duanya.

Pembabitan orang ketiga pada peringkat ini belum diperlukan kerana masalah yang berlaku adalah masalah dalaman yang hanya diketahui pasangan suami isteri.

Jika usaha perdamaian tetap gagal, puan boleh merujuk masalah ke Bahagian Kaunseling di mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri.

Di sana kaunselor menjalankan sesi kaunseling dan cuba menyelesaikan masalah puan supaya perkahwinan dapat dipertahankan dan matlamat perkahwinan dapat diteruskan.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 7:45 AM