GAMBAR hiasan
Fadly Samsudin

NAMIMAH atau perihal mengadu domba termasuk dalam kategori dosa besar.

Apabila adanya individu berperangai ‘batu api’, pastinya ia akan menyebabkan banyak pihak terluka dan bersengketa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.” (Surah al-Ahzaab, ayat 58)

Pengadu domba boleh digambarkan sebagai seorang yang menyampaikan sesuatu bicara daripada seseorang kepada orang lain bertujuan untuk merosakkan hubungan antara mereka.

Sehubungan itu, kita perlu sentiasa berdoa supaya tidak tergolong dalam kalangan manusia berperangai buruk berkenaan.

Apabila ada dua pihak berkelahi akibat perbuatan mengadu domba, ia amat sukar untuk berbaik semula.

Ia boleh terjadi kepada suami isteri, sahabat dengan sahabat serta antara majikan dan pekerja.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah- belahkan orang ramai).” (Surah al-Qalam, ayat 10-11)

Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin menyatakan, membocorkan rahsia orang lain serta menjejaskan kehormatan diri orang itu dengan cara membuka rahsianya dianggap perbuatan mengadu domba dan fitnah.

Kita dilarang membuka rahsia orang lain. Dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Imam al-Ghazali menyenaraikan beberapa adab yang perlu dilakukan ketika menerima sesuatu berita fitnah.

Antaranya, tidak mudah percaya dengan fitnah berkenaan, melarang orang yang membawa berita fitnah itu berhenti memfitnah kerana tidak mahu bersekongkol selain perbuatan itu turut mengundang dosa besar.

Selain itu, tidak berprasangka buruk kepada orang yang diberitakan terbabit, tidak menyebarkan fitnah serta tidak pula menceritakannya.

Ulama mengatakan, ciri utama golongan pengadu domba adalah mereka gemar bersumpah. Selain itu, semua orang dilihat tidak kena pada pandangannya.

Apa yang keluar daripada mulut seseorang sebenarnya menentukan keadaan dan keperibadian dirinya.

Kita perlu sentiasa berusaha menghalang diri dengan tidak mengeluarkan perkataan buruk atau cuba menyakiti hati orang sekeliling.

Jika mulut tidak dikawal, ia sangat mudah untuk menghamburkan kata-kata buruk dan keji.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh seorang hamba mengucapkan satu kalimat yang mendatangkan keredaan Allah, namun dia menganggapnya ringan kerana sebab perkataan itu Allah meninggikan darjatnya. Dan sungguh seorang hamba mengucapkan satu kalimat yang mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia menganggapnya ringan dan kerana sebab perkataan itu dia dilemparkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita juga perlu sentiasa beringat dengan ancaman terhadap orang yang akan menyesal pada hari akhirat kelak apabila pahala kebaikannya boleh ‘berpindah milik’ kepada
orang lain gara-gara tidak menjaga lidahnya.

Rasulullah SAW kerap memohon kepada Allah SWT supaya diperbaiki akhlaknya. Aisyah meriwayatkan, Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, sebagaimana Engkau menciptakanku dengan baik, maka perbaikilah akhlakku.” (Musnad Imam Ahmad)

Rasulullah SAW juga pernah menasihatkan Muaz bin Jabal supaya menjaga lidah dan tutur katanya dengan menunjukkan lidah.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Tahanlah (lidah) kamu ini.”

Muaz bertanya: “Wahai Nabi Allah! (Apakah) sungguh kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita katakan?”

Baginda menjawab: “Moga ibumu kehilanganmu wahai Muaz! Tidaklah manusia itu disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan).” (Sahih Sunan al-Tirmizi)

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 10:48 AM