GAMBAR hiasan
Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin

ALLAH SWT menyuruh manusia mencari bekalan sebanyak mungkin untuk dibawa pulang ke akhirat.

Sebaik-baik bekalan adalah ketakwaan kepada Allah SWT. Maka, kita disuruh beramal dan melakukan kebajikan sebanyak yang mungkin.

Bagaimanapun, bukan satu perkara pelik jika dikhabarkan terdapat golongan manusia kelak membawa pahala amal kebajikan selama mereka hidup di dunia, namun semuanya diberikan kepada orang lain.

Lebih dahsyat, dia terpaksa pula menanggung dosa dilakukan orang lain. Golongan itu digelar oleh Rasulullah SAW sebagai golongan yang muflis di akhirat.

Dalam satu hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW pernah bertanyakan kepada sahabat: “Tahukah kamu semua siapakah orang-orang yang muflis?”

Lalu sahabat menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah mereka yang tidak memiliki wang dan juga harta.”

Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia.

“Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.”

Bayangkan, pada asalnya, banyak pahala dibawa ke akhirat termasuk solat, puasa, zakat dan sebagainya, namun sayang semuanya habis diberikan kepada orang lain disebabkan dosa yang dilakukan terhadap mereka.

Setiap manusia akan menuntut semula pembalasan di atas setiap kezaliman yang pernah dilakukan seseorang itu di dunia dahulu.

Antara dosa paling banyak dilakukan sesama manusia adalah disebabkan lidah. Lidah yang tidak bertulang ini kadang- kala disalahgunakan untuk memaki-hamun, mencela, memfitnah dan menuduh orang lain dengan tuduhan jahat. Begitu juga amalan mengadu domba, mengumpat dan seumpamanya.

Selain itu, ada juga yang mengambil hak milik orang lain tanpa kebenaran atau dengan cara salah serta zalim.

Ini termasuk dengan cara mencuri, menipu, merampas, meragut, menyamun dan sebagainya.

Walaupun nilai diambil itu mungkin sedikit, ia tetap akan dituntut oleh tuannya di akhirat kelak.

Barangkali ada manusia ketika di dunia mereka terlepas daripada hukuman, tetapi di akhirat dia tidak ada ruang untuk melepaskan diri daripada menerima hukuman daripada Allah SWT.

Begitu juga buat mereka yang bersekongkol atau merelakan kezaliman berlaku juga tidak akan terlepas daripada mendapat balasan.

Keadilan wajib ditegakkan, lebih-lebih lagi apabila kita mempunyai kuasa ketika di dunia ini.

Oleh itu, jangan sekali-kali membiarkan diri kita tergolong dalam kalangan mereka yang bersekongkol dengan sebarang bentuk kezaliman.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cenderung (memihak atau bersekongkol) dengan orang-orang yang berlaku zalim, maka (jika kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Surah Hud, ayat 113)

Kesimpulannya, Allah SWT mengharamkan kezaliman berlaku dalam klangan makhluk-Nya. Jika seseorang dizalimi, pasti dia akan dibela oleh Allah SWT sekalipun tiada seorang manusia pun yang mahu membela dirinya.

Sudah tentu pembelaan daripada Allah SWT lebih mulia dan doa orang dizalimi juga tidak akan ditolak oleh-Nya.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 8:55 AM