GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Qira’ah Fatwa

ANTARA berkahwin atau membayar hutang yang dipinjam oleh bapa, mana yang lebih utama untuk dilakukan?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba berjumpa dengan Allah - selepas dosa-dosa besar lain yang dilarang keras oleh Allah SWT - ialah seseorang yang mati dalam keadaan mempunyai hutang yang belum dijelaskan sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk melunaskan hutangnya tersebut.” (Riwayat Abu Daud - 3342)

Hal hutang turut ditegaskan melalui sabda Baginda SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah RA yang bermaksud: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).” (Riwayat Ibnu Majah - 2413), al-Tirmizi - 1079) dan al-Baihaqi - 6891)

Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadis itu bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang daripada kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193 dan Mir’at al-Mafatih, 8/152)

Daripada Maimunah binti al-Harith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dan Allah tahu bahawa dia ingin menunai dan melangsaikannya, nescaya Allah memudahkan baginya.” (Riwayat Ahmad - 25840)

Merujuk kepada persoalan di atas, oleh kerana dia adalah ayah dan beliau dalam keadaan sukar untuk menyelesaikan kesulitannya sedangkan kita mempunyai kemampuan, maka sewajarnya anak membayar bagi pihak bapa kerana itu termasuk dalam bir al-walidain.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya yang bermaksud: Bahawa seorang wanita datang kepada Nabi SAW seraya bertanya: “Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk melaksanakan ibadat haji sedangkan dia mati sebelum menunaikannya. Adakah aku perlu berhaji untuknya?” Jawab Nabi SAW: “Ya. Lakukanlah haji untuknya. Apa pandanganmu jika kamu dapati ibu kamu ada hutang, adakah kamu melangsaikannya? Jawab perempuan tersebut: “Ya.” Maka sabda Nabi: “Tunainailah hutang Allah kerana Allah lebih berhak hutangnya dilangsaikan.” (Riwayat al-Bukhari - 7315)

Imam al-Munawi berkata: “Hak Allah yang mesti bagi kamu terdiri daripada perkara yang fardu dan lainnya.

Maka, Allah lebih berhak kita tunaikan termasuk masalah iman, taat dan menunaikan kewajipan.” (Lihat Faidh al-Qadir, 2/70)

Ia juga termasuk dalam bab menggembirakan hatinya yang membawa kepada keredaan. Semoga ia juga termasuk nas sepertimana diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah pada keredaan kedua-dua ibubapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat al-Tirmizi - 1900) dan Ibn Hibban - 2026)

Kami berpendapat, sekiranya anak mampu, maka membayar hutang bapa seharusnya menjadi keutamaan.

Bagaimanapun, kami syorkan jika anaknya ramai seperti lima orang, maka anak-anak perlu berbincang untuk meringankan beban bapa dan beban anak-anak itu sendiri.

Sekiranya masing-masing menyumbang jumlah tertentu serta mengikut kadar kemampuan masing-masing, maka ia akan membawa sikap kebersamaan dan memupuk kasih sayang sesama keluarga selain hilang perasaan tidak puas hati kepada satu-satu anak.

Yakin dan percayalah, membantu ibu bapa adalah salah satu punca kebahagiaan seorang anak dan membuka pintu rezeki.

Satu kisah berlaku di Arab Saudi, seorang anak sangat berbakti kepada orang tuanya. Anak itu membayar hutang bapanya berjumlah lebih 1 juta Riyal Saudi.

Dia menjual rumah yang dimilikinya bagi tujuan melunaskan hutang berkenaan. Akhirnya pemiutang itu mengetahui usaha dan inisiatifnya untuk membantu bapanya.

Beliau sangat tersentuh dengan tindakan anak itu lantas memulangkan kembali semua wang itu sebagai hadiah kepadanya.

Semoga kita tergolong dalam kalangan anak seperti itu.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 9:19 AM