GAMBAR hiasan
AL-FIQH

1. Seorang makmum mengerjakan solat fardu secara berjemaah. Adakah diharuskan dia mengulangi solat fardu itu dengan imam dan jemaah yang sama atau disyaratkan jika dia hendak mengulangi solat fardu itu mestilah dengan imam lain dan bersama jemaah lain?

Harus mengulangi solat fardu yang dikerjakan secara berjemaah walaupun dengan imam, jemaah dan tempat yang sama.

2. Bagaimana jika seorang makmum bermazhab Syafi’i solat di belakang imam bermazhab Hanafi? Adakah dapat pahala jemaah atau tidak? Adakah yang demikian itu dikira makruh? Sekiranya dihukum sebagai makruh, adakah setiap perbuatan makruh itu ada pahalanya?

Pahala jemaahnya tetap dapat walaupun antara imam dan makmum berlainan mazhab sepertimana yang dihukumkan oleh Ashab bahawa mengikut imam bagi solat jemaah yang sedikit bilangan makmumnya lebih baik daripada mengikut imam bagi solat jemaah yang ramai makmumnya sekiranya terdapat perbezaan pendapat antara imam dan makmum pada perkara yang membatalkan solat pada iktikad makmum.

 Mengikut pendapat Kamal Ibn Abi Syariff, itulah yang akrabnya walaupun ia termasuk dalam hukum makruh kerana setiap yang makruh tidak menafikan fadilat dan kelebihannya.

3. Ada pendapat mengatakan, tidak sah seorang qari yang fasih membaca al-Quran mengikut imam ummi iaitu orang yang sebutan bacaannya boleh merosakkan surah al-Fatihah sehingga boleh mengubah maknanya.

Pendapat itu juga mengatakan, sekiranya imam berkenaan membaca secara berlagu yang boleh mengubah makna Surah al-Fatihah, maka makmum tidak perlu mufaraqah pada ketika itu sehinggalah imam rukuk sekiranya mereka tidak tahu ketika hendak memulakan solat imam itu seorang ummi.

Masalah pertama ialah tidak sah mengikut imam sekiranya makmum mengetahui sejak mula solat lagi imam itu seorang ummi. Atau apakah perbezaannya?

Bezanya ialah masalah pertama memang tidak sah mengikut di belakang imam yang diketahui makmum sejak mula lagi dia seorang yang ummi.

Adapun pada masalah kedua ialah makmum tidak mengetahui sejak awal imam itu adalah seorang ummi, maka dalam keadaan demikian adalah sah mengikutnya.

Namun, apabila imam itu rukuk tanpa mengulangi semula bacaan al-Fatihahnya yang rosak dengan bacaan yang betul, maka dengan rukuk itu batallah solatnya kerana bacaan al-Fatihahnya dikira tidak betul.

4. Seorang makmum datang lewat lalu mengangkat takbiratulihram di saf kedua sedangkan di kiri dan kanan saf yang pertama masih ada ruang kosong. Adakah dia mendapat fadilat berjemaah?

Luput baginya kelebihan saf pertama, tetapi tidak luput fadilat jemaahnya.

Sumber: Kitab Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 11:21 AM