GAMBAR hiasan
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

UMAT Islam memanifestasikan rasa gembira dan syukur selepas berjaya mengharungi tarbiah pada bulan Ramadan lalu.

Pada bulan Syawal ini, pelbagai cara dan panduan diberikan Rasulullah SAW dalam menyambutnya.

Sesuatu permainan atau hiburan adalah diharuskan jika ia tidak melalaikan daripada kewajipan tugas yang perlu dilaksanakan.

Syarat umum itu mesti dipatuhi. Permainan atau hiburan itu hendaklah tidak menjurus kepada perkara yang dilarang seperti meminum minuman beralkohol, perjudian, percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram ataupun yang boleh menimbulkan pergaduhan.

Hiburan yang tidak menepati syariat hukumnya jelas haram walaupun hukum asalnya harus (rujuk Bayan Linnas Siri Ke-23: Adab Berhari Raya Dan Kesilapannya)

Dalam bergembira menyambut hari raya, kita perlu ingat bahawa Aidilfitri bukanlah perayaan yang merujuk kepada amalan budaya dan tradisi sesuatu bangsa atau kaum semata-mata, tetapi ia satu ibadat yang disambut di seluruh dunia oleh segala lapisan bangsa.

Hari Raya Aidilfitri disambut umat Islam yang terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan Dusun, Orang Asli dan lain-lain.

Itulah keindahan Islam agama sejagat. Orang Islam masing-masing mempunyai cara tersendiri mengikut budaya bangsa tersendiri untuk menyambut hari mulia ini.

Muslim di Malaysia mempunyai hidangan makanan istimewa seperti rendang, lemang dan ketupat. Masyarakat Turki dengan roti puding manakala orang Arab dengan manisan baklava.

Hari Raya Aidilfitri menjadi medan terbaik bagi memupuk serta meningkatkan suasana muhibah sesama insan dan menguatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Ia juga menjadi wadah khas untuk mengajak masyarakat bukan Islam memperlihatkan imej Islam yang sebenar.

Islam menerima kepelbagaian budaya dalam Islam yang dipraktikkan oleh semua bangsa manusia.

Saban tahun, perayaan ini terus menonjol dan mengeratkan silaturahim masyarakat majmuk. Ini boleh dilihat melalui budaya kunjung-mengunjung yang biasanya dilakukan ketika diadakan rumah terbuka.

Rumah terbuka menjadi medan terbaik untuk masyarakat majmuk di Malaysia bukan hanya untuk menikmati makanan yang serba lazat, tetapi lebih penting dapat berinteraksi dan mengeratkan lagi hubungan dengan rakan atau jiran tetangga daripada pelbagai bangsa.

Jangan pula dalam keseronokan menyambut hari raya yang berlarutan sehingga sebulan ini kita terlepas peluang untuk menunaikan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Tidak ketinggalan juga mereka yang pertama kali berpuasa tahun ini sudah tentu juga buat julung kalinya menyambut Aidilfitri.

Tahniah kepada mereka yang berjaya memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadan dan dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai seorang Muslim dengan hati penuh kesyukuran.

Ramadan mendidik kita membuang segala sikap prejudis, dengki, bermusuhan dan benci- membenci antara sesama manusia.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali pernah menyebut: “Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baru tetapi hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.”

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:49 AM