GAMBAR hiasan
Dr Nurkhamimi Zainuddin

SEIRING berlalunya Ramadan yang penuh dengan kemuliaan, maka sejauh mana momentum kebaikan, kebajikan dan amal ibadat yang pernah dilakukan dalam bulan Ramadan dapat diteruskan?

Adakah ia akan berakhir begitu sahaja setelah bergemanya takbir hari raya? Atau Ramadan berhasil meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita?

Semua persoalan itu penting untuk dijadikan sebagai renungan kepada diri kita. Kehadiran Syawal bukan sekadar bulan kemenangan, kegembiraan dan kemeriahan, tetapi ia bulan kesinambungan ibadat dan amalan kebaikan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Jika amalan dan tingkah laku yang dipamerkan sebagaimana berlaku dalam bulan Ramadan, bermakna kita berjaya dengan tarbiahnya.

Sekiranya berlaku sebaliknya, kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Momentum kebaikan yang dilatih selama sebulan itu perlu diteruskan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!” (Surah Muhammad, ayat 33)

Oleh itu, demi memastikan tarbiah Ramadan kekal sepanjang masa, kita perlu meletakkan kefahaman yang jelas segala amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan itu adalah kerana tanggungjawab kita sebagai hamba bukannya kerana bulan atau perayaan tertentu.

Dengan itu, segala rutin yang dilalui sepanjang Ramadan akan terus berlanjutan pada bulan seterusnya.

Kita juga boleh meneruskan kesinambungan ibadat itu dengan beberapa amalan kebaikan. Antaranya, mengamalkan puasa enam hari dalam bulan Syawal.

Hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Ayyub Al-Ansari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian dia melanjutkan dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, nilainya sama dengan dia berpuasa selama setahun.”

Walaupun ia amalan sunat namun tidak wajar kita mengambil ringan amalan berkenaan. Sangat rugi jika kita terlepas mengamalkannya pada bulan Syawal ini.

Selain itu, berusahalah melazimi tadarus al-Quran dan menghadirkan diri ke majlis ilmu seperti kuliah agama dan ceramah.

Program itu dapat memberi motivasi dan menyegarkan fikiran serta memberikan semangat kepada kita melakukan kebaikan.

Imam Ibnu Qayyim dalam bukunya Ighathatul Lahfan menyatakan: “Duduk dalam majlis-majlis orang yang soleh akan merubah kamu daripada enam perkara kepada enam perkara. Daripada keraguan menjadi yakin. Daripada sikap riyak menjadi ikhlas. Daripada lalai menjadi orang yang sentiasa berzikir. Daripada orang yang cinta kepada dunia menjadi orang yang cinta kepada akhirat. Daripada orang yang takbur menjadi orang yang tawaduk. Daripada orang yang sentiasa berniat buruk menjadi orang yang memberi nasihat.”

Seterusnya, jangan lupa memohon pertolongan daripada Allah SWT. Kehidupan kita sebagai manusia tidak dapat dipisahkan daripada pertolongan Allah SWT.

Doa adalah senjata bagi umat Islam selepas berusaha bersungguh-sungguh. Di saat kita tidak mampu melakukan sesuatu setelah habis berusaha, maka mohonlah kepada Allah SWT supaya diberikan hidayah dan taufik-Nya secara berterusan.

Dengan usaha dan kekuatan doa itu kita pasti dapat meneruskan amalan kebaikan dan kebajikan yang dilakukan.

Antara doa yang boleh diamalkan seperti di dalam Surah Ali Imran ayat 8: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Jika kita boleh meraih dan memelihara pahala pada bulan Ramadan, maka begitu juga sepatutnya kita lakukan pada bulan seterusnya.

Berusahalah untuk mempertahankan nilai takwa yang sudah dipupuk sepanjang Ramadan. Kebaikan itu perlu ditambah supaya nilai pahalanya tetap berterusan.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 8:40 AM