GAMBAR hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

MENYAMBUNG tali persaudaraan sesama Muslim menjadi satu kewajipan buat setiap umat Islam.

Apabila tali kasih sayang bertaut, maka hubungan kekeluargaan, persaudaraan serta persahabatan dapat dibina dengan baik.

Menyedari kepentingan serta besarnya manfaat silaturahim, maka dalam Islam seorang Muslim tidak dapat dikira sempurna imannya apabila dia tidak menghubungkan tali kasih sayang.

Bahkan, Allah mengancam tidak akan masuk syurga kepada sesiapa saja yang memutuskan silaturahim.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan).” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam satu riwayat, Abu Ayyub menceritakan, seorang Arab Badwi bertanya kepada Nabi Muhammad mengenai amalan yang mendekatkan dirinya dengan syurga serta mengenai apa yang menjauhkan dirinya daripada neraka.

Lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Engkau beribadat kepada Allah, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, menunaikan zakat dan menghubungkan kekeluargaan.”

Begitu pentingnya bagi kita menjaga silaturahim dalam Islam. Malah, Allah menjanjikan ganjaran besar untuk orang yang sentiasa menjaga hubungan berkenaan.

Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah dia menyambungkan tali silaturahim.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun mengetahui kewajipan menyambung tali silaturahim antara sesama Muslim, namun pada hakikatnya masih ada ramai umat Islam enggan berbuat demikian.

Mereka tidak mahu menyambung tali persaudaraan, bahkan ada yang sengaja memutuskan tali persaudaraan kerana berlaku hal seperti perbezaan pendapat, ‘menganut’ fahaman politik kepartian, perebutan harta atau pun lain-lain perkara berkaitan hal keduniaan.

Menjaga silaturahim adalah tanda-tanda seseorang itu beriman kepada Allah. Sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah ia menyambung hubungan silaturahim. Menjalin silaturahim juga adalah salah satu cara meningkatkan akhlak terpuji.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mereka takut kepada Rabbnya dan takut kepada hisab yang buruk.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 21)

Bersempena Aidilfitri tahun ini, mari kita mengetepikan segala persengketaan, perselisihan faham dan ideologi politik masing-masing bagi menghubungkan semula tali silaturahim sesama kita.

Teruskan budaya dan amalan kunjung mengunjungi serta mengambil peluang untuk saling bermaaf-maafan supaya kita dapat melupakan segala silap dan salah dengan penuh ikhlas.

Contohi akhlak mulia Rasulullah dalam menjaga peribadi diri serta cara Baginda menonjolkan diri ketika berinteraksi sesama manusia.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 7:00 AM