GAMBAR hiasan.
Fadly Samsudin

SUDAH menjadi tradisi, Syawal menjadi bulan paling meriah dengan majlis rumah terbuka dan amalan kunjung mengunjungi.

Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang berkongsi rezeki bagi menjamu tetamu yang hadir.

Amalan kunjung-mengunjungi sangat dituntut dalam Islam. Ia bagi mencapai matlamat merapatkan hubungan antara jiran tetangga, sahabat handai serta saudara-mara.

Daripada Abi Hurairah RA berkata: Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah ia menyakiti jirannya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sudah pasti jadual setiap hujung minggu pada Syawal ini sentiasa padat dengan jemputan rumah terbuka.

Suasana itu biasanya berterusan sehingga minggu akhir Syawal.

Penganjuran majlis rumah terbuka dalam masyarakat kita pada hari ini adalah satu perkara baik dan wajar diadakan terutama bagi mereka yang berkemampuan.

Jika dilaksanakan mengikut panduan ditetapkan Islam, ia mampu menjadi ibadat yang memberi manfaat besar buat tuan rumah dan tetamu.

Sekiranya kita menerima jemputan, jangan pula diabaikan pelawaan itu.

Sebaiknya, setiap jemputan perlu dipenuhi kecuali kita benar-benar ada urusan penting.

Bagaimanapun, dalam kemeriahan majlis rumah terbuka, pastikan adab bertamu dipelihara serta majlis tidak disulami perkara dilarang Allah.

Antaranya, kita perlu menjaga mata supaya tidak ‘meliar’ melihat atau dengan bebas masuk ke ruang atau bilik tuan rumah yang berkemungkinan tidak sempurna.

Begitu juga, jaga adab supaya tidak ‘sibuk’ bertanyakan hal berkaitan barang perhiasan di dalam rumah yang kita kunjungi itu.

Sebagai tetamu walau baik atau rapat dengan seseorang sekalipun, kita tetap tidak dibenarkan masuk campur hal urusan orang lain.

Pastikan sebagai tetamu kita duduk hanya ditempat yang dikhaskan buat tetamu.

Selain itu, turut hangat dibincangakan ketika ini adalah sebilangan ibu bapa tidak mengawasi pergerakan anak-anak terutama yang masih kecil ketika mereka membawa berkunjung ke rumah kenalan atau saudara-mara.

Anak kecil yang masih belum dapat membezakan baik buruk sesuatu perkara tidak dibiarkan terlalu bebas bergerak sehingga boleh menyebabkan barangan berharga rosak atau musnah.

Perkara itu sudah pasti tidak menyenangkan hati tuan rumah. Pada awalnya, mereka menjemput dengan perasaan gembira, namun apabila berlaku perkara sedemikian, suasana bertukar sebaliknya.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu tegas dengan segera menegur jika anak mereka bertindak di luar batasan.

Seterusnya, bagi mereka yang tinggal di kawasan taman perumahan, sekiranya ingin mengadakan majlis yang agak besar seperti perlu memasang khemah dan mengambil ruang kawasan rumah jiran, pastikan minta kebenaran terlebih dahulu daripadanya.

Menjamu makanan kepada tetamu ini amat besar ganjaran pahalanya di sisi Allah.

Maka, lebih baik kita merancang kewangan daripada awal iaitu mengumpul wang secukupnya sebelum mengadakan sesuatu majlis.

Jangan ada yang terpaksa berhutang semata-mata mahu mengadakan majlis rumah terbuka.

Begitu juga dengan penyediaan makanan. Buat perancangan sewajarnya supaya tidak berlaku pembaziran makanan.

Waktu berziarah pula, biasanya tuan rumah memilih waktu pada hujung minggu untuk meraikan tetamu.

Hadkan masa supaya tidak terlalu lama kerana tetamu yang dijemput mungkin ramai. Beri peluang juga kepada tetamu lain untuk mengambil tempat.

Apabila selesai menjamu selera, maklumkan kepada tuan rumah untuk pulang sambil mengucapkan terima kasih kepadanya.

Buat mereka yang berkemampuan mengadakan majlis rumah terbuka sempena Syawal ini, zahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah kerana memberikan kita kelebihan rezeki.

Akhir sekali, sebelum pulang jangan lupa mendoakan tuan rumah supaya dia dilimpahi kebaikan dan segala amalannya sepanjang Ramadan lalu diterima Allah.

Penulis wartawan
Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 9:14 AM