GAMBAR hiasan.
Kembara Mukmin

ANTARA sifat penghuni syurga adalah mereka yang memiliki sifat memaafkan orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “... dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah (Ali ‘Imraan, ayat 134)

Memaafkan memang sangat sukar dilakukan. Biasanya apabila seorang itu dizalimi atau disakiti, pasti dia mahu membalasnya.

Tidak ada yang boleh melakukan sifat pemaaf kecuali mereka yang mempunyai keimanan tinggi.

Nabi SAW juga ada menyatakan, orang yang dekat dengannya pada hari kiamat kelak adalah orang yang berakhlak mulia.

Oleh itu, janganlah kita mengabaikan sifat memaafkan ini. Ulama menyatakan, perkara paling memudahkan seseorang masuk ke dalam syurga selepas perkara tauhid adalah memiliki akhlak yang mulia.

Begitulah sebaliknya, perkara yang memudahkan seseorang itu masuk ke neraka selepas syirik kepada Allah adalah golongan berakhlak jelik dan buruk.

Apabila mampu memaafkan kesalahan orang lain, maka seseorang itu sudah mencapai darjat ihsan.

Pastinya kita pernah melalui pengalaman mungkin pernah dihina atau dimalukan sehingga menjatuhkan maruah.

Jika hendak diikutkan perasaan, mahu sahaja dibalas semula perlakuan itu. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, apabila tiba-tiba ia terlintas di fikiran membuatkan diri rasa tidak senang hati.

Bagaimanapun, sebagai seorang Muslim yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kita digalakkan untuk memaafkan terutama apabila individu yang melakukan kesalahan itu menghulurkan kemaafan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha penyayang.” (Surah an-Nuur, ayat 22)

Jangan bertangguh untuk bermaafan selain buang sifat ego masing-masing. Harus berlapang dada untuk memaafkan.

Dalam satu sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang didatangi saudaranya yang hendak meminta maaf, hendaklah memaafkannya, apakah ia berada di pihak yang benar atau yang salah, apabila tidak melakukan hal itu (memaafkan), nescaya tidak akan mendatangi telagaku (di akhirat).” (Hadis Riwayat al-Hakim)

Jadilah kita seorang pemaaf. Apabila itu berlaku, pastinya tiada perasaan seseorang untuk membalas dendam.

Bukan juga termasuk dalam kategori pemaaf seandainya sudah memberi maaf, namun di hati masih bersarang rasa kesal dan benci.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 133-134)

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik untuk menggambarkan sifat pemaaf. Sifat itu dipamerkan menerusi ucapan atau tindakan Baginda.

Terdapat satu kisah berlaku selepas Perang Uhud yang menunjukkan bagaimana sikap pemaaf Nabi SAW.

Sebahagian sahabat meminta Baginda mendoakan kecelakaan ke atas golongan kafir Quraisy. Ketika itu, wajah Nabi luka dan sebatang giginya patah.

Baginda SAW menolak permintaan sahabat itu lalu berkata: “Sesungguhnya saya diutus bukan sebagai tukang laknat. Tetapi saya diutus untuk menjadi pendakwah dan penyebar kasih sayang. Ya Allah, ampunilah kaumku. Sesungguhnya mereka tidak punya pengetahuan.” (Al-Jami’ ash- Sahih, 1/176)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 8:18 AM