GAMBAR Hiasan
AL-FIQH

Seorang makmum secara tidak sengaja rukuk sedangkan imam masih belum rukuk. Apabila menyedari dia berbuat demikian, dia segera bangun dan selepas itu dia rukuk mengikuti imam. Persoalannya, rukuk yang manakah dikira sebagai rukun solat sama ada yang pertama atau kedua bersama imam?

Rukuk yang pertama sekiranya sudah sempurna dikira sebagai rukun. Adapun rukun yang kedua bersama imam itu hanya dikira sebagai menyempurnakan ikutan bersama imamnya.

n Sekumpulan jemaah masuk ke dalam masjid lalu mendapati, jemaah lain sedang mengerjakan solat.

Jika mereka ikut bersama jemaah yang sedang solat, mereka hanya akan mendapat sebahagian fadilat jemaahnya kerana yang selebihnya akan mereka sempurnakan secara bersendirian.

Atau mereka dirikan solat jemaah lain sesama mereka yang mana salah seorang antara mereka menjadi imam dan mereka akan memperoleh fadilat jemaah dari awal hingga akhir.

Manakah yang lebih baik?

Sekiranya masjid itu besar dan luas, orang yang masuk ke masjid mengerjakan solat silih berganti dan waktu solat masih banyak, maka lebih baik dikerjakan secara berjemaah pada segala solatnya.

Bagaimanapun, dalam solat jemaah semakin ramai bilangan jemaahnya, maka semakin banyak pula pahala berbanding pahala jemaah dilakukan beberapa orang di tempat yang sama.

n Bagaimana jika seorang makmum bermazhab Syafi’i bersolat di belakang imam bermazhab Hanafi?

Adakah dapat pahala berjemaah? Adakah itu dikira makruh? Sekiranya makruh, adakah setiap perbuatan makruh itu ada pahalanya?

Dia tetap akan mendapat pahala berjemaah walaupun antara imam dan makmum itu berlainan mazhab.

Sepertimana yang dihukumkan oleh Asbab bahawa mengikut imam bagi solat jemaah yang sedikit makmumnya adalah lebih baik daripada mengikut imam bagi solat jemaah yang ramai makmumnya sekiranya terdapat perbezaan pendapat antara imam dan makmum pada perkara yang membatalkan solat pada iktikad makmum.

Mengikut pendapat Kamal Ibn Abi Syariff, itulah yang akrabnya walaupun ia termasuk dalam hukum makruh (tanzih) kerana setiap yang makruh tidak menafikan fadilat dan kelebihannya.

Sumber: Kitab Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 8:42 AM