GAMBAR Hiasan
Fadly Samsudin

SYUKUR pada hari ini, seluruh umat Islam dapat meraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.

Aidilfitri adalah perayaan yang besar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Selepas kita melalui proses panjang dalam bulan Ramadan al-Mubarak, Allah SWT menjadikan beberapa proses untuk memperbaiki perjalanan hidup kita.

Perjalanan hidup kita memang bersimpang-siur. Sehinggakan ada dalam kalangan kita sering berasa keliru.

Namun, Ramadan yang kita lalui sebelum ini adalah untuk menyusun semula perjalanan hidup kita.

Bermula dengan waktu sahur, kemudian kita melaksanakan solat Subuh. ‘Jadual’ yang disusun itu sebenarnya mengajak umat Nabi Muhammad SAW supaya bersiap sedia untuk keluar mencari nikmat berupa rezeki dunia.

Kemudian, Allah SWT menjadikan waktu berbuka puasa bertujuan supaya kita mengetahui sudah berakhirnya waktu kita untuk urusan dunia berkenaan.

Walau sibuk atau sebanyak mana sekalipun tugas yang terpaksa kita hadapi pada hari itu, waktu Maghrib itulah yang terbaik bagi kita mengakhiri urusan dunia, seterusnya menjadikan perjalanan hidup kita lebih tersusun.

Selain itu, puasa yang kita laksanakan pada Ramadan lalu bukan sahaja menjadikan diri kita sihat dari sudut fizikal semata-mata.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat.”

Berpuasa sebenarnya bukan sahaja menjadikan kita sihat pada zahir sahaja, malah yang lebih besar daripada itu adalah sihat dalaman.

Jiwa manusia sememangnya sering dan mudah diresapi penyakit hati. Lalu Allah SWT turunkan al-Quran sebagai penyembuh hati manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya...” (Surah al-Israa’, ayat 82)

Allah SWT juga memilih bulan Ramadan untuk diturunkan al-Quran ketika kita sedang mengosongkan perut.

Betapa sayangnya Allah SWT kepada hamba-Nya, apabila setiap kali hadirnya bulan Ramadan Allah SWT akan mengikat dan membelenggu syaitan.

Bagaimanapun, selepas kita mendengar takbir raya berkumandang pada Aidilfitri ini, syaitan mula dilepaskan semula dan kita mula merasakan satu suasana lain.

Begitulah sifat dan keadaan manusia yang sangat mudah digoda dan dikelirukan. Sebab itu, ramai dalam kalangan manusia mudah terpedaya dengan gangguan syaitan.

Allah SWT menyatakan dalam al-Quran tatkala menceritakan satu suasana yang akan berlaku di padang mahsyar nanti.

Ketika itu, ada manusia mula menuduh kerana syaitan yang menyebabkan mereka terpedaya dalam hidup ini.

Lalu, Allah SWT menyatakan, syaitan pada ketika itu akan menyebut, jangan cela atau salahkan mereka, tetapi celalah diri sendiri kerana manusia sendiri yang membuka ruang untuk syaitan memperdayakan mereka dalam kehidupan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu: “Sesungguhnya Allah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu, maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri...” (Surah Ibrahim, ayat 22)

Sepanjang berada dalam bulan Ramadan, kita diajar supaya membersihkan diri daripada dosa sehinggakan Allah SWT memberikan kemenangan kepada kita pada hari ini.

Aidilfitri ini bermaksud kita kembali dalam keadaan bersih daripada segala dosa. Tiada lagi dosa sekiranya kita benar-benar bertaubat kepada Allah SWT dalam bulan Ramadan dan pada malam-malam terakhirnya.

Malah, Ramadan yang kita tinggalkan itu tidak sama dengan Ramadan sebelumnya atau yang akan datang.

Mungkin juga Ramadan lalu adalah yang terakhir buat diri kita. Namun, diharap ia akan menjadi saksi di padang mahsyar kelak tatkala kita berdiri di hadapan Allah SWT kelihatan diri kita sudah bersih daripada kejahatan dan dosa.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 11:31 AM