GAMBAR hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

SEHARI lagi umat Islam akan menyambut ketibaan Aidilfitri. Meskipun sekarang kita masih dalam bulan Ramadan namun perkongsian ini ingin mengajak pembaca mengulangkaji perkara yang dianjurkan untuk dilakukan pada hari raya nanti.

Rasulullah SAW menyambut Aidilfitri selepas sebulan menunaikan ibadat puasa. Pastinya terdapat tatacara yang ditunjukkan Baginda SAW untuk menyambut hari raya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa itu adalah hari kalian berpuasa dan Aidilfitri adalah hari kalian berbuka…” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Abu Dawud)

Hadis itu menjelaskan, pada tanggal 1 Syawal umat Islam dilarang berpuasa kerana itu masa untuk menunjukkan Ramadan sudah berlalu dan tuntutan Ramadan sudah berakhir.

Beruntunglah bagi sesiapa yang berjaya memanfaatkan kehadiran Ramadan dengan melakukan banyak amal kebajikan.

Kedatangan hari raya menjadikan umat Islam dapat bergembira atas segala nikmat kurniaan daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Tatkala umat Islam berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan, mereka akan berasa gembira.

Kegembiraan merujuk kepada rasa syukur kerana berpeluang menunaikan perintah Allah SWT.

Bukan kegembiraan itu kerana dapat lari daripada larangan makan dan minum pada siang hari.

Bagi menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan menyambut Aidilfitri nanti, umat Islam perlu meraikannya dengan mengikuti jejak langkah serta sunah yang dianjurkan Rasulullah SAW.

Itulah semangat yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. Antara sunah Rasulullah SAW ketika hari raya ialah sentiasa mengagungkan Allah SWT dengan ungkapan takbir, tasbih dan tahmid.

Apabila terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan, perbanyakkanlah mengingati Allah SWT sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan-Nya.

Hal itu tidak semudah yang disangkakan kerana ketika menjelang satu Syawal, masing-masing akan sibuk.

Ketika memasak, membersih serta menghias rumah, sentiasa basahkan lidah dan hidupkan hati dengan takbir memuji Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Selain itu, jangan lepaskan peluang menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, surau atau tempat lapang yang mengadakan solat sunat berkenaan.

Itu bukti kita mendahulukan Allah SWT daripada perkara lain. Menunaikan solat sunat hari raya serta mendengar dua khutbahnya antara sunah yang dianjurkan pada hari raya.

Sebelum keluar rumah, umat Islam disunatkan makan atau sekurang-kurangnya menjamah makanan terlebih dahulu.

“Rasulullah tidak keluar (menuju ke tempat solat) pada hari Aidilfitri sehingga Baginda makan...” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Lihatlah betapa rapinya sunah yang ditinggalkan Rasulullah SAW. Baginda mengajar umatnya, ibadat dalam Islam berasaskan sumber yang berautoriti.

Tidak ada kelebihan bagi orang yang meneruskan puasa pada 1 Syawal, malah perbuatan itu diharamkan.

Rasulullah SAW juga menuju ke tempat solat Aidilfitri dan pulang ke rumah melalui jalan yang berbeza.

Daripada Jabir bin ‘Abdullah, beliau berkata: “Rasulullah membezakan jalan (ketika pergi menunaikan solat dan pulang ke rumah) ketika Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Mesej yang ingin disampaikan Baginda cukup jelas. Apabila melalui jalan yang berbeza, Baginda dapat menemui ramai orang seterusnya dapat mengeratkan silaturahim, mengetahui khabar berita serta perihal kebajikan orang lain.

Sahabat Rasulullah SAW turut saling mendoakan kebaikan sesama mereka ketika bertemu pada hari raya.

Daripada Jubair bin Nufair, beliau berkata: Sahabat Rasulullah apabila bertemu pada hari raya, mereka mengucapkan antara satu dengan yang lain: “Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu”.

Itulah hasil tarbiah Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda sehingga mereka termasuk dalam kalangan generasi terbaik.

Setiap Muslim juga perlu menjauhi dosa dan maksiat ketika meraikan hari raya.

Jauhilah pembaziran, percampuran lelaki dan perempuan, berjabat tangan dengan orang yang bukan mahram, membuka keaiban orang lain, menyebarkan fitnah dan keburukan, menunjuk-nunjuk kemewahan diri dan sebagainya.

Syawal perlu disambut dengan penuh kesyukuran supaya ia mengundang nikmat berterusan daripada-Nya.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 9:37 AM