JEMAAH berhimpun sebelum memasuki Muzium Masjid Nabawi.
Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


KITA biasa dengar kisah balasan yang diterima orang yang melakukan dosa ketika berada di Tanah Suci Makkah.

Hal itu menyebabkan, ada segelintir individu terasa takut atau was-was untuk menunaikan umrah.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW menjanjikan dosa-dosa akan dihapuskan sepanjang tempoh ibadat umrah yang dilakukan orang berkenaan.

Perkara itu dijelaskan menerusi sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ibadat umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan (syurga).” Riwayat Al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Pengarah Urusan Munajat Travel & Tours, Muhammad Hafiz Ikram Che Hassan berkata, di Makkah, tempat paling istimewa adalah Kaabah al-Musyarrafah.

Menurutnya, ulama menceritakan bagaimana di langit ribuan malaikat sentiasa bertawaf di bawah Arasy Allah SWT.

“Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya menghadiahkan makhluk-Nya Kaabah di bumi untuk kita beribadat dan bertawaf di sekelilingnya.

“Allah SWT juga menghiasinya dengan kemuliaan sangat tinggi sehinggakan solat di sana digandakan melebihi 100,000 kali ganda berbanding masjid-masjid lain,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa yang dipelawa ke Tanah Suci Makkah, tidak pernah terasa puas dan sentiasa bercita-cita untuk datang lagi.

“Ini kerana keberkatan luar biasa Allah SWT berikan kepada bumi Haramain. Satu analogi yang biasa saya kongsi bersama jemaah adalah, andai kita ikhlas menjemput saudara atau sahabat ke rumah kita, semestinya kita akan berusaha memberi layanan terbaik kepada mereka.

“Cuba bayangkan, Allah SWT yang Maha Kaya dan Pengasih kepada hamba-Nya mengajak kita ke rumah-Nya di Baitullah.

“Hadiah paling indah dan bernilai apabila kita ke sana ialah hidayah dan kebahagiaan. Bayangkan dahulu kita jauh dengan masjid tetapi di sana, Allah SWT ‘jinakkan’ hati kita dengan masjid.

“Orang yang pergi Makkah, insya-Allah akan rasa sangat bahagia,” katanya.

Menceritakan pengalamannya sepanjang membawa jemaah, Muhammad Hafiz Ikram berkata, pernah sekali dia membimbing seorang jemaah lelaki yang menunaikan umrah buat kali pertama.

“Apabila dibawa masuk ke Masjidilharam dan melihat Kaabah, dia terus menangis. Saya kira hampir keseluruhan jemaah mengalirkan air mata. Namun, dia menangis teresak-esak sehingga selesai menunaikan umrah,” katanya.


MUHAMMAD Hafiz (dua dari kiri) bersama ahli keluarga yang sama-sama mengerjakan umrah.

Menurutnya, satu lagi pengalaman yang tidak boleh dilupakan berlaku pada 2016.

“Pada waktu itu, saya membimbing sekumpulan jemaah umrah. Ada guru lelaki bawa bersama ibu bapanya.

“Setiba di sana, dia diuji apabila ibu bapanya hilang ingatan dan jadi tidak waras. Ketika di tanah air, kesihatan ibu bapanya sangat baik, malah tidak mempunyai sejarah sakit mental.

“Apa yang kami pelajari daripada kisah ini adalah bagaimana guru lelaki itu tetap berbakti pada orang tuanya. Jelas dia melayan ibu bapanya dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.

“Tidak pernah sekalipun dia merungut walaupun niatnya untuk beribadat dan beriktikaf di masjid terbatas,” katanya.

Katanya, bagi melancarkan serta memperkemaskan barisan mutawif, pihaknya kerap mengadakan perjumpaan dan taklimat.

“Setiap perjumpaan akan dikongsikan ilmu pelaksanaan ibadat umrah, persediaan dan tip yang perlu diketahui setiap jemaah.

“Perjumpaan juga akan memfokuskan tiga ilmu iaitu sebelum, semasa dan selepas pulang dari Tanah Suci Makkah.

“Kami percaya, untuk meraih umrah mabrurah, tiga fasa itu perlu dilalui dengan ilmu dan niat yang betul oleh setiap jemaah.

“Segala ibadat dan amal soleh dilakukan sepanjang di Tanah Suci Makkah seharusnya berterusan walaupun mereka sudah pulang dari bumi Haramain.

“Mutawif juga mesti dalam kalangan mereka yang mempunyai latar belakang pengajian agama yang betul.

“Berdasarkan pengalaman, setiap mempunyai hati dan jiwa yang bersedia untuk dibimbing. Peranan seorang mutawif amat penting kerana itu peluang keemasan untuk mendidik dan berdakwah kepada jemaah ke arah yang lebih baik dan soleh,” katanya.

Beliau berkata, cabaran utama yang perlu mutawif lalui adalah memastikan setiap jemaah fokus dalam beribadat.

“Tempoh yang lama di Haramain kadangkala menjadikan sebahagian jemaah berbalik ke perangai lama.

“Pada awal ketibaan di sana, mereka masih menjaga lidah dan tutur kata. Namun, lama-kelamaan mereka jadi kurang berhati-hati.

“Di situ, peranan mutawif amat penting untuk menasihati mereka. Faktor kesihatan juga menjadi cabaran besar kerana suhu dan cuaca di Tanah Suci Makkah berbeza dengan Malaysia.

“Tugasan mutawif lebih mencabar kerana perlu bijak mengatur masa serta menjaga jemaah yang sakit. Pada masa sama, jemaah yang sihat juga memerlukan perhatian dalam melaksanakan ibadat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 8:02 AM