GAMBAR Hiasan
Suriany Awaludin

SAYA seorang suri rumah berusia 35 tahun dan sudah lapan tahun berumah tangga. Sejak usia kian meningkat, saya sangat mudah terasa hati sekiranya suami marah walaupun disebabkan perkara kecil.

Malah, sikapnya bertambah teruk. Apabila tidak berpuas hati, dia akan memanggil saya dengan gelaran seperti ‘anjing’, ‘sial’ serta terjerit-jerit sambil menyumpah.

Anak sulung yang berusia lapan tahun juga pernah bertanya, kenapa saya selalu menangis. Perbuatan suami menyebabkan saya tidak tahan dan hilang sabar.

Ketika pulang ke kampung, suami tidak bermalam, sebaliknya hanya menghantar saya dan anak sahaja.

Kemudian dia akan pulang ke rumah orang tuanya. Namun, keluarga saya sudah faham dengan perangainya dan tidak mahu masuk campur.

Dalam keadaan hati seorang isteri yang sudah terluka, apakah nasihat dan cara yang boleh diamalkan supaya saya diberi kekuatan berdepan ujian suami yang bersikap sedemikian.

Lin, Johor Bahru

Fitrah kejadian wanita dikurniakan sifat dan jiwa sensitif, kelembutan serta kasih sayang yang sangat kompleks.

Wanita atau ibu adalah orang paling layak di sisi syarak untuk menjaga anaknya yang masih belum mumayyiz.

Namun, sifat kelembutan dan kasih sayang itu ada kalanya disalah guna oleh lelaki sehingga menyebabkan wanita menjadi mangsa kezaliman.

Dalam perkahwinan, sekiranya wujud perbuatan tidak selari dengan kehendak syarak dan menyebabkan isteri berasa terkilan, kecewa dan tidak dapat meredai perbuatan suami, maka ia termasuk salah satu bentuk kezaliman.

Kekecewaan dan kesedihan ditanggung wanita yang menjadi mangsa dapat diterjemah dengan ekspresi wajah dan tingkah lakunya.

Tidak kurang juga wanita yang memiliki tahap kesabaran tinggi lalu menganggap perkara yang dialaminya itu sebagai ujian bagi meningkatkan tahap keimanan serta kedudukannya di sisi Allah SWT.

Antara hak isteri yang digariskan syarak adalah untuk dilayan dan digauli dengan baik serta penuh kasih sayang.

Suami tidak boleh menyakiti hati isterinya, tidak mengeluarkan perkataan menghina, apatah lagi memaki hamun.

Hak itu wajib ditunaikan suami. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, ayat 19 yang bermaksud: “…. dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara baik.”

Rasulullah SAW juga menganjurkan perkara sama mengenai tatacara menggauli isteri kerana di sana terdapat hak dan kewajipan suami isteri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berpesan-pesanlah kamu dengan kebaikan tentang perempuan (para isteri). Sesungguhnya mereka itu adalah khas untuk kamu (para suami). Kamu tidak mempunyai milik sesuatu pun ke atas diri mereka itu selain daripada yang sedemikian, kecuali apabila mereka itu melakukan kekejian yang nyata.

“Jika mereka lakukan, maka pulaukanlah mereka di tempat tidur atau pukullah mereka itu dengan pukulan yang tidak melukakan. Dan jika mereka patuh dan taat, maka kamu tidak ada hak membuat tindakan ke atas diri mereka itu. Sesungguhnya kamu mempunyai ke atas isteri-isterimu dan isteri-isterimu mempunyai hak ke atas dirimu.”

Justeru, selagi isteri tidak melakukan perkara bertentangan dengan syarak atau melanggar hak suaminya, maka wajib bagi suami menunaikan hak ke atas isteri iaitu melayani mereka dengan baik.

Merujuk kepada masalah puan, sememangnya tindakan suami memberi kesan, apatah lagi berlaku di hadapan anak-anak.

Bukan sahaja menjadi contoh tidak sihat bagi perkembangan psikologi anak, malah tindakan itu boleh memberi tekanan emosi yang lama-kelamaan menjadi barah sehingga merosakkan seluruh anggota atau institusi rumah tangga.

Banyak kes penderaan serta kezaliman berlaku terhadap wanita hari ini dilakukan suami daripada latar belakang institusi keluarga yang tidak berpandukan ajaran ditetapkan Islam terutama dalam perkara menunaikan hak suami atau isteri.

Anak yang membesar dalam situasi itu berkemungkinan besar mengulangi atau mencontohi tindakan tidak baik itu.

Sebagai isteri yang mencari rahmat dan syurga Allah daripada perkahwinan, puan perlu mengambil tindakan bagi mem-
perbaiki keadaan itu.

Antara kaedah sesuai dalam mempertahankan rumah tangga adalah menegur sikap suami berkenaan.

Biarpun memberi teguran itu satu perkara yang amat berat dan sukar, ia wajar dilakukan. Puan adalah mangsa yang mengalami kekecewaan akibat sikap suami.

Teguran yang dimaksudkan bukan sebagaimana teguran seorang ibu terhadap anaknya, tetapi lebih kepada rakan kongsi.

Sentuhan dan pujian boleh meredakan ketegangan. Mulakan teguran dengan sentuhan emosi, memuji serta menyebut segala kebaikan dilakukan suami.

Paling utama, puan perlu memanjatkan doa serta penggantungan kepada Allah SWT supaya usaha itu dipermudahkan dan berjaya diselesaikan.

Penulis adalah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 9:59 AM