GAMBAR Hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

DARIPADA Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, apabila berbuka dia gembira dan apabila bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan puasanya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kegembiraan umat Islam ketika berbuka puasa boleh dikongsi bersama rakan bukan Islam.

Ia adalah satu ibadat yang dapat mempamerkan satu bentuk budaya hidup seorang Islam.

Berbuka puasa juga boleh menjadi perantara yang sangat baik bagi menjalinkan hubungan kejiranan dan kasih sayang tanpa mengira agama dan bangsa selain memberi gambaran sebenar terhadap sifat keramahan Islam.

Umat Islam berpuasa dengan menahan diri daripada makan, minum serta perbuatan yang membatalkan puasa se-
mata-mata untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Salah satu sunah berpuasa adalah bersegera ketika berbuka. Daripada Sahl bin Saad RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya mendapat kebaikan yang berterusan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengikut Irsyad Fatwa Khas Ramadan yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan, hukum menjemput orang bukan Islam berbuka puasa adalah harus dalam Islam.

Bagaimanapun, pada masa sama terdapat adab dan nilai murni yang perlu dipatuhi dalam majlis berbuka puasa itu.

Penulis ingin berkongsi pengalaman berhubung empat orang bukan Islam iaitu tiga keturunan Cina dan seorang keturunan India yang pernah menghadiri satu majlis berbuka bersama kami sebelum ini.

Keempat-empat mereka merasakan itu adalah pengalaman yang sangat baik dan dia mengakui mula memahami bagaimana cara umat Islam berbuka puasa.

Selain itu, apabila berpeluang berbuka puasa bersama, dia turut mengakui umat Islam sangat mudah mesra dan mereka sanggup berkongsi pengalaman untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai ibadat itu.

Pengalaman itu memberikan gambaran mengenai Islam itu bersifat inklusif dan sejagat.

Jemputan berketurunan India memberitahu, dia sering diajak rakan-rakannya yang beragama Islam untuk turut serta dalam aktiviti berbuka puasa.

Menurutnya, apabila tiba Ramadan, dia tidak menyembunyikan perasaan gembiranya kerana mendapat peluang untuk berbuka bersama.

Namun, apa yang lebih bermakna dia dapat belajar serta merasai pengalaman berpuasa.

Dia percaya, aktiviti berbuka puasa bersama-sama itu adalah usaha yang dapat memperkukuh serta menyuburkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan kepercayaan di negara ini.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 9:47 AM