REBUTLAH peluang dengan membaca al-Quran, solat malam, berdoa dan mohon keampunan-Nya. FOTO REUTERS
Fadly Samsudin

ANTARA rangkaian ibadat yang dianjurkan Rasulullah SAW pada bulan Ramadan adalah melakukan iktikaf.

Ulama menyatakan, iktikaf khususnya pada 10 hari terakhir Ramadan adalah ibadat yang disyariatkan Rasulullah SAW.

Iktikaf bermakna berdiam atau tinggal di masjid dengan adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat ibadat serta bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ibn hazm berkata, iktikaf adalah berdiam di dalam masjid dengan mendekatkan diri kepada Allah pada waktu tertentu pada siang atau malam hari.

Ia juga dalam rangka kita mencari lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Terdapat perbezaan pendapat ulama berhubung tempoh melaksanakan iktikaf.

Ada pendapat mengatakan iktikaf tidak boleh kecuali dilaksanakan 10 atau sembilan hari penuh, sehari semalam penuh serta terdapat pendapat, iktikaf boleh dilakukan pada sebahagian malam atau siang.

Berdasarkan pendapat itu, maka dibolehkan paling kurang umat Islam beriktikaf di masjid semalam pada waktu siang atau malamnya.

Contoh, bagi mereka yang bekerja siang, maka selepas pulang kerja sebelum waktu Maghrib dia masuk ke masjid dan keluar pada waktu Subuh.

Pendapat itu dikuatkan lagi apabila Umar al-Khattab RA pernah berkata kepada Rasulullah SAW, beliau pernah bernazar pada zaman jahiliah mahu beriktikaf semalam di Masjidilharam, lalu Rasulullah SAW mempersilakan Umar melakukannya.

Maka, penuhi peluang beriktikaf dengan melaksanakan ibadat seperti membaca al-Quran, solat malam dan memperbanyakkan doa memohon keampunan serta rahmat daripada Allah SWT.

Jika ada yang hanya berkesempatan membaca al-Quran satu helaian sekalipun kemudian dia tidur, maka tidurnya itu turut beroleh pahala.

Kita boleh memilih melakukan iktikaf terutama pada malam ganjil kerana perkara itu disarankan oleh Rasulullah SAW.

Berdasarkan hadis daripada Aisyah menyatakan: “Rasulullah SAW beriktikaf pada 10 hari terakhir pada bulan Ramadan dan baginda berkata yang bermaksud: ‘Carilah malam lailatulqadar pada malam ganjil iaitu pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.’” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, sesiapa yang beribadat penuh pada 10 malam terakhir, pasti dia akan dapat lailatulqadar.

Sememangnya, malam itu berhak dicari. Ketika beriktikaf, pastikan kita memberi penumpuan sepenuhnya kepada ibadat.

Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lataif al-Ma’arif menyebut, hakikat iktikaf itu adalah memutuskan segala hubungan dengan makhluk dalam usaha untuk menyambung hubungan dan ibadat kepada pencipta.

Pelaksanaan iktikaf kurang sempurna sekiranya kita menghabiskan masa bersembang kosong serta membalas mesej serta komen di WhatsApp, Facebook, Instagram dan sebagainya.

Iktikaf hendaklah dilaksanakan di masjid. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib) dan janganlah kamu setubuhi isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Begitu juga boleh dilakukan di surau yang didirikan solat Jumaat sehingga orang beriktikaf itu tidak perlu meninggalkan tempat iktikafnya pergi ke masjid lain untuk menunaikan solat Jumaat.

Selain itu, perkara lain yang disunatkan ketika beriktikaf adalah bertasbih, beristighfar, selawat ke atas Nabi SAW, mengadakan majlis ilmu, berbincang perkara ilmiah serta menelaah buku tafsir, hadis dan sirah.

Dalam tempoh beriktikaf, seseorang boleh keluar dari tempat iktikafnya bagi membersihkan tubuh badan, keluar membuang air, makan, minum dan semua perkara yang tidak mungkin dapat dilakukan di masjid, namun perlu segera kembali selepas menyelesaikan keperluannya.

Manakala hal yang membatalkan iktikaf pula sekiranya seseorang meninggalkan masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar, murtad, hilang akal atau mabuk, haid atau nifas dan bersetubuh dengan isteri.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 9:13 AM