GAMBAR Hiasan
Fatimah Syarha Mohd Noordin

CARA hidup wanita generasi terbaik adalah mereka yang hidup pada zaman Nabi SAW. Tokoh wanita pada zaman Nabi SAW itu ramai dalam kalangan mereka terbabit dengan aktiviti sosial kemasyarakatan.

Antaranya, mereka terbabit dengan kegiatan di masjid. Wanita pada zaman Nabi SAW pergi ke masjid untuk pelbagai aktiviti termasuklah aktiviti ibadat dan kemasyarakatan.

Mereka menunaikan solat fardu di masjid. Aisyah RA berkata: “Perempuan-perempuan Mukmin ikut hadir bersama Rasulullah SAW untuk melaksanakan solat Subuh dengan menyelimutkan pakaian-pakaian mereka. Kemudian mereka kembali ke rumah setelah menunaikan solat, sementara tidak seorang pun yang dapat mengenali mereka kerana suasana terlalu gelap.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bukan sahaja solat fardu, wanita juga ke masjid untuk menunaikan solat gerhana. Daripada Asma binti Abu Bakar, dia berkata: “Matahari gerhana pada masa Nabi SAW. Aku menunaikan hajat, kemudian datang dan masuk ke masjid. Aku melihat Rasulullah SAW. Maka, akupun ikut berdiri bersamanya…” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, wanita juga melakukan iktikaf pada zaman Nabi SAW. Aisyah RA, isteri Nabi SAW berkata bahawa Nabi SAW melakukan iktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan sehingga Baginda dipanggil oleh Allah SWT. Kemudian isteri-isteri Baginda tetap melakukan iktikaf setelah kewafatan Baginda.” (Riwayat Bukhari)

Bahkan, ada banyak lagi riwayat sahih menunjukkan pembabitan wanita dengan masjid.

Ada wanita merawat pejuang Islam yang cedera dalam masjid, misalnya dalam peristiwa Khandak.

Terdapat juga riwayat daripada Abu Hurairah mengatakan, seorang wanita hitam bermukim di masjid meninggal dunia.

Nabi SAW bertanya tentangnya, maka sahabat menjawab dia sudah meninggal dunia.

Maka, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Mengapa kalian tidak memaklumkan kepadaku? Tunjukkanlah kepadaku kuburnya.” Baginda pergi ke kuburnya dan bersolat di atasnya.

Dari segi cabaran wanita ke masjid, ia wujud sejak zaman Nabi SAW lagi namun Nabi SAW tetap melarang suami dan wali daripada menghalang wanitanya ke masjid.

Dalam hadis diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam sunannya yang diriwayatkan oleh Alqamah bin Wa’il al-Kindi daripada ayahnya menyebut: “Sesungguhnya terdapat seorang wanita keluar (dari rumahnya) pada zaman Nabi SAW (kerana) mahu mengerjakan solat di masjid. Lalu seorang lelaki menemuinya di tengah jalan lalu menindih dan merogolnya serta melampiaskan hajat nafsunya.

Lantas wanita itu bertempik lalu perogolnya melarikan diri. (Selepas itu) seorang lelaki menemui wanita itu, lalu berkata, “Sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atasku perkara demikian (yakni merogolnya).”

 Kemudian wanita itu bertemu pula sekumpulan orang-orang Muhajirin lantas berkata, “Sesungguhnya lelaki itu melakukan ke atasku (perkara) demikian (yakni merogolnya).”

Lalu mereka terus beredar dan menangkap lelaki yang disangka oleh wanita itu bahawa dia yang memperkosanya, lantas mereka membawanya kepada wanita itu seraya dia berkata, “Ya, dialah orangnya (yang telah merogolku).”

Mereka terus membawa lelaki tadi kepada Rasulullah SAW. Tatkala Baginda SAW memerintahkan supaya lelaki itu direjam, bangun seorang lelaki yang (sebenarnya) merogol wanita itu sambil berkata, “Wahai Rasulullah, akulah orangnya (yang merogol wanita itu).”

Lantas Baginda SAW bersabda kepada wanita itu, “Pergilah, sesungguhnya Allah telah mengampunkanmu (kerana wanita itu menuduh orang yang tidak bersalah).”

Baginda seterusnya berkata kepada lelaki (yang didakwa oleh wanita itu sebagai orang yang merogolnya) dengan kata-kata yang baik.

Seterusnya Baginda SAW bersabda kepada lelaki berkenaan, “Rejamlah dia” sambil bersabda, “Sesungguhnya dia telah bertaubat kepada Allah dengan taubat yang jika seluruh penduduk Madinah bertaubat seperti itu, nescaya diterima (Allah) daripada mereka (taubat itu).”

Hadis itu diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam Sunannya dalam Kitab al-Hudud, bab Ma Ja’a Fi al-Mar’ah Iza Ustukrihat ‘Ala al-Zina dan beliau berkata, hadis itu hasan gharib sahih. (Sunan Tirmizi, jillid 6, halaman 35)

Selain cabaran perjalanan subuh yang gelap sehingga ada Muslimah yang pernah dirogol, Asma berkata, “Aku telah mendengar Nabi SAW bersabda: ‘Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat maka jangan mengangkat kepala sehingga kami mengangkat kepala kami. Ini kerana Baginda takut terlihat aurat lelaki-lelaki disebabkan kecilnya kain mereka. Mereka ketika itu menjadikan kain yang diperbuat daripada bulu kambing ini sebagai kain.”

Apa maksud kata-kata Aisyah RA itu? Timbul persoalan apabila ada pihak melarang atau tidak menggalakkan wanita ke masjid berdalilkan kata-kata Aisyah RA, “Jika Rasulullah SAW mengetahui apa yang berlaku pada wanita, nescaya Baginda akan menghalang mereka daripada pergi ke masjid seperti dihalangnya wanita Bani Israel.”

Menurut Profesor Jasser Audah, kata-kata Aisyah itu pada hakikatnya tidak mengingkari asal hukum (sunat dan digalakkan wanita ke masjid), walaupun dia berinteraksi dengan realiti berdasarkan prinsip yang terkenal di sisi sarjana usul fiqh iaitu saddu azzari’ah (menutup pintu fitnah).

Ini kerana keadaan baru muncul pada zamannya terhadap wanita yang bermudah-mudah terhadap batasan syarak ketika menziarahi masjid.

Saidatina Aisyah tidak bermaksud membatalkan keharusan atau galakan (sunat) yang merupakan hukum asal menyerupai kaedah sebagaimana difahami sebahagian fuqaha.

Tokoh fiqh di Madinah tidak berpendapat larangan Aisyah menukar hukum asal. Kata Imam Ahli Madinah, Malik ibnu Anas (yang datang selepas zaman Aisyah beberapa dekad), ketika ditanya berkenaan larangan wanita untuk keluar ke masjid: “Jangan dihalang mereka untuk ke masjid.”

Kata Ibnu Hajar, ‘Sesetengah daripada mereka berpegang dengan pendapat Aisyah menghalang wanita secara mutlak daripada pergi ke masjid.

Pendapat itu perlu diteliti semula kerana ia menyebabkan bertukarnya hukum asal. Ini juga kerana beliau menyangkutkan hukum itu kepada syarat yang tidak wujud seperti disangkanya.

 Beliau berkata, “Jikalau Nabi melihat perkara ini, tentu Baginda akan menghalang…” dimaksudkan dengan ungkapan itu, Nabi tidak melihat perkara berkenaan.

Maka, Baginda tidak menghalang. Tambahan pula, peristiwa atau perlakuan yang berlaku itu adalah daripada segelintir wanita, bukan keseluruhan mereka.

Jika ingin dihalang juga mereka, maka perlulah melarang pada mereka melakukannya sahaja. Utamanya adalah kita memerhatikan perkara yang ditakuti wujud daripada kerosakan, maka dengan itu ia dapat dijauhi.

Itulah yang difahami daripada syarat Nabi terhadap larangan memakai wangi-wangian berlebihan dan mendedahkan perhiasan batin (aurat). Begitu juga pendapat Ibnu Hazm.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 9:19 AM