GAMBAR Hiasan
Suriany Awaludin

Baru-baru ini, berlaku pergaduhan di antara saya dan isteri dalam bilik kami di rumah mentua.

Selepas itu, saya keluar dari rumah bersama adik ipar untuk menenangkan fikiran kerana jika dibiarkan berlarutan dibimbangi akan menyebabkan berlakunya pergaduhan lebih besar.

Sebaik pulang ke rumah, saya tidak masuk ke bilik, sebaliknya tidur di ruang tamu.

Pada keesokan harinya, saya jumpa isteri. Ketika itu saya tegur dia seperti biasa kerana keadaan sudah kembali baik, namun isteri mendakwa saya ada sebut kepadanya, “Saya bukan lagi suami awak” pada malam sebelum itu.

Sebenarnya saya tidak ingat sama ada benar atau tidak saya ada menyatakan lafaz sedemikian.

Katanya, memang ada saya lafazkan kata-kata itu. Adakah ia dikira saya cenderung menceraikan isteri atau lafaz itu tidak menjejaskan talak?

Suami Keliru, Kuala Lumpur

Kuasa talak diberikan kepada lelaki kerana beberapa faktor. Antaranya, suami adalah pemimpin bagi wanita dan memegang tanggungjawab besar dalam rumah tangga.

Suami adalah orang yang diwajibkan menyediakan nafkah buat isteri termasuk pemberian mahar, seterusnya segala bentuk nafkah untuk isteri seperti tempat tinggal, pakaian, makan minum dan kebajikannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Ayat itu menjelaskan, suami adalah orang yang berkuasa menjatuhkan talak terhadap isterinya.

Walau bagaimanapun, dalam mensabitkan gugurnya sesuatu talak, ia perlu memenuhi rukun talak.

Talak dianggap sah apabila menepati lima rukun talak iaitu suami yang menceraikan, sighah (lafaz yang digunakan), isteri yang diceraikan, wilayah (kuasa talak) dan qasad (ada kesengajaan).

Jenis lafaz talak pula terbahagi kepada dua jenis iaitu lafaz yang jelas (sarih) atau tidak jelas (kinayah).

Lafaz yang jelas itu disepakati ulama iaitu kesannya menggugurkan talak apabila dilafazkan oleh suami.

Lafaz sarih menggunakan perkataan cerai atau talak itu sendiri atau dengan lafaz membawa maksud cerai.

Dalam kitab Hashiah I’anat al-Talibin, juz 4, halaman 13 ada menyebutkan maksud lafaz sarih seperti berikut:

“Talak jatuh dengan lafaz sarih iaitu sesuatu lafaz yang pada zahirnya tidak membawa maksud lain selain talak seperti lafaz mushtaq talak sekalipun ia diucapkan oleh orang bukan Arab yang mengetahui bahawa lafaz itu berkaitan dengan meleraikan ikatan perkahwinan atau ia mengetahui lafaz itu adalah mengenai memisahkan dia daripada isterinya sekalipun dia tidak mengetahui maksud sebenar lafaz berkenaan, sebagaimana yang difatwakan oleh sheikh kami.

Begitu juga lafaz mushtaq firaaq (cerai) dan saraah (lepas) kerana ia disebut berulang-ulang di dalam al-Quran seperti suami berkata “aku talakkan engkau”, “aku ceraikan engkau”, “aku lepaskan engkau atau isteriku” dan seperti suami berkata “engkau tertalak”, “engkau ditalakkan”, “engkau diceraikan” dan “engkau dilepaskan”.

Adapun kata-kata terbitan (masdar) seperti suami berkata “engkau talak” atau “engkau cerai” dan “engkau lepas” adalah lafaz kinayah.

Dalam kitab sama ada menyebutkan maksud talak kinayah dan syaratnya seperti berikut:

Jatuh talak dengan lafaz kinayah iaitu suatu lafaz mengandungi maksud talak dan maksud selain talak sekiranya lafaz itu dengan niat pada permulaan lafaz untuk menjatuhkan talak.

Takrif kinayah itu diperincikan lagi di dalam kitab berkenaan iaitu lafaz kinayah adalah lafaz yang membawa maksud talak dan juga maksud selain talak.

Tetapi kemungkinan makna talak adalah lebih kuat daripada makna lain. Pada lafaz selain musytaq (sebab kenapa ia dianggap lafaz kinayah) kerana ia memenuhi ciri-ciri kinayah. Ia lafaz yang maksudnya lebih hampir kepada perceraian, tetapi bukan lafaz digunakan oleh syarak.

Pensabitan gugurnya talak dengan lafaz kinayah memerlukan kepada niat suami. Jika suami mengeluarkan lafaz membawa maksud cerai dan berniat menceraikan isterinya, maka gugurnya talak.

Dalam isu kali ini, apabila suami melafazkan “saya bukan lagi suami awak” adalah lafaz kinayah yang perlu dihuraikan dengan pernyataan niat suami.

Suami mendakwa ketika itu dia tidak sedar sama ada benar melafazkan perkataan itu juga akan diambil kira dalam siasatan mahkamah.

Sekiranya suami ada membuat lafaz berkenaan, ia masih memerlukan penjelasan mengenai niatnya iaitu adakah suami berkata sedemikian dengan maksud menceraikan isteri atau sebaliknya.

Mahkamah akan melihat kepada kelima-lima rukun talak yang digariskan syarak.

Secara dasarnya, rukun talak iaitu suami, isteri dan wilayah sudah sempurna. Hanya rukun berkaitan qasad dan sighah sahaja yang akan diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sekiranya didapati kedua-dua rukun sempurna, maka ia menjejaskan serta mengurangkan jumlah talak.

Penulis adalah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 9:07 AM