GAMBAR Hiasan
Mohd Rizal Azman Rifin

Allah SWT menciptakan seluruh makhluk itu berpasang-pasangan. Begitu juga dengan kehidupan yang kita lalui hari ini akan ada pengakhirannya iaitu kematian.

 Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap jiwa yang hidup pasti akan merasai mati. Sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Kehidupan di dunia itu hanyalah kehidupan yang mempedayakan.”

Ayat Allah SWT itu sudah cukup buat menginsafkan kita bahawa kehidupan di dunia bersifat fana. Kita diberi peluang untuk bermukim di dunia hanya seketika sahaja.

Tiba saatnya kita pasti dijemput Allah berpindah ke alam seterusnya, alam barzakh. Bersedia atau belum untuk kita berangkat ke sana, tidak perlu diperhitungkan.

Cukup tempohnya, ia tidak akan ditangguhkan lagi meskipun sesaat. Hakikat itu sekiranya kita sedari mampu membangkitkan rasa waspada dalam setiap perbuatan kita dalam hidup seharian.

Kita bimbang pada hayat terakhir nanti kita melanggar perintah Allah SWT dan lupa ajaran Rasulullah SAW. Kehidupan yang kita susuri sepanjang hari pasti terjana pada landasan kehidupan beragama yang luhur sebagaimana ditunjukkan Baginda SAW.

Kita seharusnya sedar dunia ini bukan diciptakan buat kita hidup berseronok-seronok. Sebaliknya, Allah SWT hadirkan diri kita di sini untuk hidup beramal serta menjalani kehidupan yang diredai-Nya.

Dalam Surah al-Mukminun, ayat 115, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah kamu menyangka bahawa Kami (Allah SWT) menjadikan kamu dengan sia-sia sahaja tanpa sebarang hikmat daripada penciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?

Amat beruntung buat setiap Mukmin yang sentiasa mengingatkan dirinya dunia yang sedang dilaluinya itu adalah medan ujian Allah untuk melihat siapa antara hamba-Nya paling baik amalannya dan bertakwa.

Ia selari dengan apa yang difirmankan Allah menerusi Surah Al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud: “Dialah Allah SWT yang menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Setiap diri kita pastinya akan merasai saat perpisahan dengan insan yang kita cintai. Andai masa hidup anak isteri, kaum kerabat, jiran tetangga dan sahabat taulan adalah mereka yang kita sayangi.

Kalau ketika hayat masih di kandung badan, setiap kudrat kurniaan Allah kita perlu gunakan untuk memperbanyakkan harta duniawi, namun tatkala nafas terakhir ditarik malaikat maut, segalanya kita tinggalkan di dunia.

Semuanya akan menjadi milik insan yang kita tinggalkan. Kita tidak membawa sebarang harta hasil perit keringat kita ketika hidup di dunia.

Sebaliknya, kita hanya berbekalkan sehelai kain kafan. Ketika di dunia kita mampu lelapkan mata tidur di tilam empuk yang penuh keselesaan, namun apabila jazad diturunkan ke liang lahad, kita menjadi penghuni kubur yang sempit iaitu hanya muat untuk diri kita sahaja.

Seandainya kita ketika hidup di dunia ini, hidup dalam suasana terang- benderang dengan cahaya lampu, di dalam kubur kelak kita akan berada dalam keadaan gelap-gelita.

Cuba kita fikirkan sejenak situasi sedemikian yang bakal kita tempuhi. Tidakkah ia begitu menggerunkan? Insya-Allah, dengan izin-Nya, keadaan kubur kita bakal diterangi cahaya bergemerlapan hasil ‘bekalan’ amalan baik yang kita lakukan ketika hidup.

Kita juga mampu memperluaskan ruang kubur seandainya kita mempamerkan akhlak serta beramal sebagaimana yang diajarkan Nabi Muhammad SAW.

Bertakwa kepada Allah adalah bekalan yang bakal memberikan keselesaan ketika di alam sana nanti. Justeru, selagi hidup segeralah memperbanyakkan amal ibadat dan amalan baik untuk menempuh alam kematian kelak.

Jangan menunda waktu untuk bertaubat kerana sehebat mana sekalipun diri kita ketika di dunia, kita pasti tidak terlepas melakukan dosa dan juga kesalahan.

Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah untuk sentiasa istiqamah menjadi seorang Mukmin yang patuh dan taat kepada-Nya.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 9:50 AM