GAMBAR hiasan.
Sedetik Rasa

KETIKA bersolat berjemaah, seorang makmum tidak terkecuali berada dalam keadaan menjadi makmum muafik atau masbuk.

Sehubungan itu, penting sekali seseorang makmum mengetahui keadaan dirinya sama ada berada dalam keadaan makmum masbuk atau muafik.

Ini kerana apabila seseorang itu tidak pasti atau tidak melaksanakan solat berdasarkan keadaan yang sepatutnya, dibimbangi solat itu tidak sah kerana kejahilan mengenai dua hukum berkenaan.

Makmum muafik adalah mereka yang berjemaah bersama imam dan sempat menghabiskan bacaan surah al-Fatihah di dalam qiam imamnya.

Bacaan al-Fatihah makmum itu tidak diukur berdasarkan bacaan dirinya atau imam, namun berdasarkan kadar bacaan bagi kebanyakan orang ramai iaitu tidak terlalu cepat atau lambat.

Penting untuk makmum muafik mengetahui, dia dimaafkan sekiranya ketinggalan di belakang imam sehingga tiga rukun yang panjang iaitu rukuk, dua sujud.

Manakala iktidal serta duduk di antara dua sujud dikira rukuk pendek. Contohnya, ketika makmum sedang menghabiskan bacaan al-Fatihah pada rakaat pertama, imam melakukan rukuk, iktidal, sujud pertama, duduk di antara dua sujud dan sujud kedua.

Sebelum imam berdiri untuk rakaat kedua, lalu makmum rukuk, maka dia dikira mendapat rakaat berkenaan.

Contoh lain, bagi makmum yang syak sama ada sudah membaca Fatihah atau belum, lalu imam rukuk, maka makmum itu mesti menghabiskan bacaan al-Fatihahnya. Dia juga dimaafkan ketinggalan tiga rukun yang panjang.

Manakala makmum masbuk pula adalah seorang solat berjemaah bersama imam, tetapi ketika qiam, dia tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah.

Contohnya, seorang makmum lewat berjemaah sedangkan imam sudah hampir selesai membaca surah al-Ikhlas dan makmum berkenaan tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah, maka itu dinamakan makmum masbuk.

Berbeza sekiranya makmum mendapati imam baru sahaja memulakan solat dengan bacaan surah ad-Dhuha, maka itu dinamakan makmum muafik kerana ketika imam dalam keadaan berdiri, dia sempat menghabiskan bacaan al-Fatihahnya mengikut kadar bacaan orang ramai yang sederhana bacaannya.

Bagi kategori makmum masbuk, sama ada dia sempat membaca sebahagian dari surah al-Fatihah atau tidak sempat membaca keseluruhannya, maka bacaan al-Fatihah itu ditanggung oleh imam.

Makmum berkenaan hendaklah rukuk bersama imam. Jika dia rukuk bersama imam pada kadar tamakninah di dalam rukuknya, maka dia dikira mendapat rakaat berkenaan.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa mendapatkan rukuk dalam solat, bererti dia sudah mendapatkan satu rakaat solat.” (Hadis Sahih Muslim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 8:55 AM