Dalam hidup ini, kita berhadapan dua pilihan. Pilihan pertama, Allah SWT dan Rasul suka, hawa nafsu tidak suka.
Sebarkan Bahagia bersama Fatimah Syarha Mohd Noordin

Dalam hidup ini, kita berhadapan dua pilihan. Pilihan pertama, Allah SWT dan Rasul suka, hawa nafsu tidak suka.

Pilihan kedua, hawa nafsu suka, Allah SWT dan Rasul tidak suka. Bagaimana kita memilih?

Posisi pilihan hidup kita ada pengaruh cinta seperti dinyatakan dalam Surah al-Taubah, ayat 24 yang bermaksud: Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”

Berdasarkan ayat itu, Abdullah Nasih Ulwan dalam al-Hub fil Islam menyatakan, adanya cinta tinggi, cinta pertengahan dan cinta rendah.

Cinta tinggi adalah cinta kepada Allah SWT, Rasul dan berjihad di jalan-Nya. Cinta pertengahan pula cinta kepada bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluarga, harta, perniagaan dan tempat tinggal.

Cinta rendah pula adalah melebihkan cinta pertengahan di atas cinta tinggi. Bagaimana tingkatan cinta itu mempengaruhi hidup kita?

Tafsir Jalalain mengatakan: “Sehingga kamu tidak berhijrah dan berjihad kerana sebab itu.”

Tafsir Quraish Shihab pula mengatakan: “Sehingga kamu tidak menolong Rasul. Maka, tunggulah hukuman yang akan menimpamu yang tidak terdaya dilawan.”

Demikian juga cintakan Allah SWT dan cinta kerana Allah SWT mengajar kita meletakkan-Nya sebagai keutamaan.

Cinta selain Allah SWT membawa kita mengejar dunia sedangkan dunia itu bersifat sementara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Wajah-Rabbmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan” (Surah al-Rah-
man, ayat 26-27)

Dengan cinta, Allah SWT masukkan kita ke dalam ‘kursus’ khas setiap tahun bagi melatih kekuatan membuat pilihan dengan integriti takwa.

Kenapa kita mampu berkata tidak kepada fitrah yang sangat dekat dengan hidup kita seperti nafsu makan, minum dan hubungan suami isteri pada siang hari Ramadan?

Bukan sebab orang tidak nampak, tetapi kerana kita sudah dilatih untuk bertakwa. Takwa itu hati-hati melalui hidup kerana takutkan Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan objektif Ramadan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ayat itu menyebut tiga perkara penting iaitu iman, puasa dan takwa.

Ketika bapa melaungkan azan dan iqamat di telinga bayinya di dalamnya ada kalimah tauhid dan iman.

Kata Ibnu Qayyim rahimahulullah: “Biar ucapan yang pertama masuk ke dalam telinga manusia adalah kalimah yang mengungkap kebesaran Allah, keagungan-Nya dan syahadah yang menjadi syarat sah masuk Islam.”

Ibu pula sering mendodoikan anaknya dengan zikir la ilaha illallah. Nabi SAW memang mengajarkan ibu bapa memulakan ajaran kepada anak dengan la ilaha illallah dan ketika meninggal dunia ditalkinkan dengan la ilaha illallah.

Puasa pula adalah ‘proses’ yang mempunyai matlamat jauh (visi) dan matlamat dekat (misi).

Jika manusia tidak dibentuk dalam orientasi secara berkala, ia sukar dibentuk. Visi puasa ialah melatih takwa dan misinya ialah supaya kita menyempurnakan bilangan puasa, mengagungkan Allah SWT dan bersyukur.

Prof Dr Quraish Shihab menyebut: “Saudara, umum orang menyebut bahawa Allah mewajibkan kita berpuasa untuk meraih takwa. Itu benar kerana memang ayat yang berbicara tentang kewajipan berpuasa menyatakan ‘laallakum tattaqun’.

Allah SWT menyatakan supaya manusia menyempurnakan bilangan puasa 29 atau 30 hari supaya mengagungkan Allah SWT atas petunjuk yang diberikan supaya kita bersyukur.

Dengan demikian, ada dua matlamat utama selain takwa iaitu menyedari dan mengagungkan petunjuk Ilahi serta pada akhirnya mensyukuri nikmat-Nya.

Ibadat puasa melatih kita dengan konsep dan kesedaran yang jelas. Apabila berniat, kita dilatih dengan kekuatan mental dan tidak hanya lafaz di lidah.

Kita berpuasa kerana Allah SWT. Itulah visi jauh kita. Bagai menanam biji kacang, dapatlah pokok tauge.

Niat yang diprogram awal akan menentukan apa yang bakal kita dapat dalam ‘kursus’ puasa ini.

Jika kita berpuasa kerana tiada makanan, manusia akan memberontak sebagaimana terjadi di negara miskin.

Apabila perut kosong, manusia memang mudah berperang merebut sumber asas yang terbatas.

Nabi SAW mengingatkan, ada orang berpuasa namun yang dia sekadar berlapar dan dahaga. Lebih hebat daripada itu, ada agenda pembentukan disiplin diri, cakna terhadap keluarga dan masyarakat.

Jika kita berpuasa sekadar merebut pahala khusus pada bulan Ramadan, bagaimana kita boleh mempraktikkan latihan itu di luar Ramadan.

Kita sendiri tidak tahu amalan kita diterima atau kosong pahalanya. Maka, fokus utama kita bukan pada sesuatu yang menjadi kerja Allah SWT iaitu pahala.

Hakikatnya, fokus kita adalah beribadat dengan ikhlas kerana-Nya dan mencapai objektif takwa.

Analoginya, apabila kita masuk ke universiti untuk meraih Anugerah Dekan, anugerah itu wujud sekadar di universiti sahaja.

Namun apa yang lebih penting, ilmu dan kemahiran diraih itu berfungsi dan memberi manfaat sepanjang hidup.

Kedua, puasa melatih disiplin diri. Ia berkait dengan masa. Kita akan berada dalam situasi prihatin dengan masa kerana masa menentukan bila boleh dan tidak boleh kita melakukan sesuatu.

Ada waktu sahur dan waktu berbuka yang ditunggu. Ia juga berkait dengan disiplin makan yang seimbang.

Makan saat lapar dan berhenti sebelum kenyang. Kita boleh memprogramkan waktu makan kita sehingga badan memberi body clock ketika lapar. Usah makan terlalu banyak terutamanya ketika sudah kenyang.

Ketiga, menginsafi kehidupan orang miskin yang sangat sukar. Mudah-mudahan kita dengan rela hati berkongsi rezeki, bersyukur dan tidak membazir makanan yang kita ada.

Zakat fitrah pada bulan Ramadan antara cara kita dilatih berkongsi rezeki dengan orang lain. Begitu juga dengan cara memberi makanan kepada orang berbuka puasa.

Kesimpulannya, sangat hebat orientasi tahunan yang Allah SWT sediakan buat kita. Itulah antara cara supaya kita dilatih menjadi umat terbaik.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 8:53 AM