REBUTLAH peluang membuat kebaikan sepanjang bulan Ramadan.
Fadly Samsudin

RAMADAN yang kita lalui pada setiap tahun pastinya ada perbezaannya. Perbezaan paling nyata sudah pasti usia kita kian meningkat ketika menyambut Ramadan pada tahun berkenaan.

Apabila usia semakin tua, maka semakin dekat pula kita kepada kematian. Semua orang berasa takut untuk menghadapi kematian kerana merasakan amalan masih banyak kekurangan.

Namun, Allah SWT kurniakan kita kesempatan untuk bertemu Ramadan bagi menggandakan pahala amalan serta diampunkan dosa kita yang lalu.

Pahala ibadat fardu yang dilakukan pada Ramadan akan ditingkatkan sehingga berpuluh kali ganda.

Contohnya, satu solat fardu yang kita lakukan akan ditingkatkan sebanyak 70 kali ganda. Kemudian 70 pahala itu belum lagi digandakan 27 apabila kita menunaikan solat secara berjemaah.

Bermakna, satu solat fardu yang dilaksanakan secara berjemaah, kita mampu memperoleh sebanyak 1,890 pahala.

Begitulah betapa besarnya ganjaran pahala Allah SWT sediakan kepada hamba-Nya hanya pada bulan Ramadan.

Maka, pastikan Ramadan ini kita berusaha untuk melaksanakan ibadat terpenting itu secara berjemaah.

Selain itu, Allah SWT menjanjikan pada setiap tahun apabila masuk bulan Ramadan, kita bakal mendapat pengampunan dosa yang lalu.

Sebagaimana hadis diri wayatkan sebilangan ahli hadis termasuk Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dalam keadaan beriman dan ikhlas (kepada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.”

Bayangkan jika tiada bulan Ramadan, apa akan jadi dengan dosa yang kita lakukan selama ini?

Perkara yang menghalang diri kita begitu berat melakukan amal ibadat adalah disebabkan ‘himpunan’ dosa kita itu.

Sepatutnya, setiap kali Ramadan kita layak mendapat pengampunan serta membersihkan diri kita daripada dosa.

Antara tanda dosa seseorang itu diampunkan selepas berakhirnya Ramadan adalah dia semakin rajin dan dapat merasai kemanisan dalam beribadat.

Kita perlu takut dengan doa Nabi Muhammad SAW iaitu celakalah mereka yang masuk bulan Ramadan tetapi tidak mendapat pengampunan.

Daripada Ka’ab bin ‘Ujrah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu Baginda menaiki anak tangga mimbar dan berkata: Amin.

“Ketika naik ke anak tangga kedua, Baginda berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, Baginda berkata lagi: Amin.

“Ketika Baginda turun dari mimbar kami pun bertanya: “Ya Rasulullah, kami mendengar sesuatu daripada tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.”

Lalu Baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibrail AS membisikkan (doa) kepadaku, katanya: “Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadan tetapi dosanya tidak juga diampuni.”

“Lalu aku pun mengaminkan doa itu.” Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: “Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan selawat ke atasmu.

“Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga ketiga, dia berkata lagi: “Celakalah orang yang mendapati ibu bapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.” (Hadis riwayat Al-Hakim)

Dalam hadis itu dinyatakan, tiga golongan yang akan mendapat kecelakaan serta dijauhkan daripada rahmat Allah SWT.

Ini termasuk mereka yang berpeluang bertemu bulan Ramadan, tetapi dosanya tidak diampuni Allah SWT.

Sehubungan itu, pada Ramadan ini, tekadkan azam untuk mencapai matlamat sebenar berpuasa.

Puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi kita berusaha ‘menjinakkan’ hawa nafsu.

Alangkah rugi sekiranya kita tergolong dalam kalangan mereka yang tidak memanfaatkan kehadiran Ramadan.

Lebih teruk apabila ada yang merasakan kehadiran Ramadan itu memberi kesusahan pada diri mereka.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 11:00 AM