GAMBAR Hiasan
Sedetik Rasa

Ulama mengatakan mati itu adalah satu perpindahan.

Dalam hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Kubur adalah tempat turun pertama dalam menuju ke alam akhirat. Siapa selamat di situ, maka alam-alam selepas itu lagi senang buatnya. Siapa dalam kubur tidak selamat, maka alam-alam lain akan lebih teruk.”

Ibn Qayyim dalam kitabnya, Ar-Ruh menyatakan, roh yang hidup di alam barzakh ada dua jenis.

Pertama, mun’amah iaitu roh yang hidup mendapat nikmat.

Ada roh yang hidup di alam barzakh mendapat nikmat lebih hebat daripada hidupnya ketika di dunia.

Sebabnya, dia dapat menjawab soalan Munkar dan Nakir dengan lancar kerana banyak melakukan amal ibadat termasuk pahala solat, sedekah jariah dan derma.

Malah, dalam satu hadis panjang yang boleh juga dirujuk menerusi kitab Ar-Ruh ada menyatakan, bagi orang yang boleh menjawab soalan Munkar dan Nakir dan di akhir sekali malaikat itu akan berkata, “Tidurlah kamu sepertimana tidurnya pengantin.”

Tidur pengantin itu adalah simbolik kepada roh yang diberi nikmat dan dia tidak akan diganggu.

Golongan yang kedua adalah roh mu’azzabah iaitu roh yang akan mendapat seksaan kubur. Golongan itu akan dipukul dan dipalu dengan pukulan yang amat dahsyat.

Sehinggakan dalam satu riwayat menyatakan, apabila sekali malaikat Munkar dan Nakir memukul, maka akan terbenam ke dalam tanah.

Maka, ulama membuat kesimpulan di alam barzakh ada roh yang selamat dan tidak selamat.

Jika di alam barzakh sudah tidak selamat, maka di alam berikutnya sudah pasti roh itu lebih sengsara.

Daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus RA, daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Kita perlu sentiasa merancang untuk mendapatkan pahala berterusan walaupun sudah meninggal dunia.

Pahala berpanjangan itu boleh diraih dengan mudah antaranya dengan cara mengajak orang lain melakukan kebaikan.

Contoh, jika kita ada rakan yang tidak solat, maka kita cuba berusaha mengajaknya melaksanakan kewajipan itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya
yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 71)

Sama juga halnya apabila diri kita menjadi penyebab orang lain melakukan dosa, maka dosa itu akan kita tanggung bersamanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (Surah Az-Zalzalah, ayat 7)

Tugas mengajak sama manusia lain melakukan kebaikan itu menandakan terbitnya iman di dalam hati seseorang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sepatutnya ada di antara umat yang dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya daripada perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit saja iaitu orang-orang yang Kami selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu menitikberatkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.” (Surah Hud, ayat 116)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:42 AM