TINGKATKAN amal ibadat pada bulan Ramadan.
Mohd Rizal Azman Rifin

CEPAT betul masa berlalu kerana bulan Ramadan yang lepas masih segar dalam ingatan kita semua.

Begitulah kedudukan perjalanan masa pada zaman mutakhir ini.

Apa yang lebih penting adalah kesedaran untuk merenungi apa yang sudah kita laksanakan sepanjang Ramadan lalu.

Kemungkinan ada dalam kalangan kita yang berbelanja secara boros semata-mata untuk menyediakan hidangan berbuka dan bersahur.

Saban tahun, tatkala tiba bulan Ramadan kita mengeluarkan belanja lebih tinggi daripada bulan lain.

Kita tidak pernah menganggap perkara itu tidak dianjurkan oleh agama dan terus mengamalkan pembaziran.

Malah, beberapa hari sebelum Ramadan lagi kita sudahpun membuat perancangan dan menyusun atur menu untuk berbuka dan bersahur.

Tidak kurang juga ada dalam kalangan suri rumah mula membelek buku masakan semata-mata mahu menyediakan menu hidangan yang menepati cita rasa ahli keluarga.

Apakah keadaan seumpama itu akan berterusan lagi pada tahun ini sedangkan ada perkara lain yang sewajarnya kita rancang.

Sepatutnya, kita perlu muhasabah diri supaya setiap perkara negatif ketika Ramadan pada tahun yang lalu tidak kita ulangi pada tahun ini.

Kita perlu menghayati intipati falsafah sebenar ibadat puasa pada Ramadan ini supaya apa yang diamalkan tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Ramadan adalah bulan pendidikan atau ‘Syahru at-Tarbiyah’ iaitu bulan yang mendidik kita dalam pelbagai perkara.

Ramadan sepatutnya mendidik kita belajar bersabar dan tidak mudah marah apabila berdepan sesuatu permasalahan.

Ramadan adalah bulan yang mendidik kita supaya bijak mengurus kos sara hidup agar tidak berlaku pembaziran.

Marilah kita berlaku jujur pada diri sendiri dengan bertanya apakah perbelanjaan sara hidup pada Ramadan yang lalu benar-benar menepati kehendak agama.

Kalau gaya perbelanjaan kita boros, maka kita wajib memperbetulkan sikap buruk itu semata-mata untuk menjadikan ibadat puasa pada Ramadan tahun ini lebih bermakna di sisi agama.

Dalam urusan tanggungan kos sara hidup ketika Ramadan, bagaimana pula dengan aspek peribadi kita?

Adakah kita masih bersikap negatif dengan tidak tunduk dan patuh kepada perintah Allah agar umat Islam sentiasa bertutur kata yang baik dan tidak menunjukkan sikap buruk.

Apakah budaya hidup yang berselitkan amalan mengumpat, menghina dan memfitnah masih kita lakukan ketika bulan Ramadan?

Sedangkan Allah SWT sudah memberikan amaran keras terhadap sesiapa sahaja yang berpuasa bahawa ganjaran pahala ibadat puasa dihitung sebagai ‘sifar’ sekiranya tidak menjaga tutur kata.

Tidakkah Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud: “Barangsiapa yang tidak mahu meninggalkan perkataan kotor ataupun perbuatan keji, maka Allah tidak perlu kepada usaha dia untuk meninggalkan makan dan minumnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Dalam sabda lain, Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan perkara sama antaranya: “Setiap amalan anak Adam itu untuk dirinya sendiri kecuali ibadat puasa kerana puasa adalah untuk-Ku dan Aku sendirilah yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai. Apabila suatu hari salah seorang antara kalian berpuasa, maka janganlah dia berkata kotor dan jijik. Apabila ada seseorang yang mencelanya atau memusuhinya, maka hendaklah dia berkata, ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Hadis Muttafaqun ‘Alaihi)

Syariat puasa itu tidak terhad kepada bentuk menahan makan minum dan kehendak nafsu syahwat semata-mata, ibadat puasa turut memberi makna kita menahan lidah daripada bercakap perkara bertentangan dengan nilai agama.

Rasulullah SAW pernah memberitahu umatnya dengan sabdanya yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, akan tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya itu kecuali hanya rasa lapar dan dahaga sahaja. Dan berapa ramai orang yang solat malam, akan tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada solat malamnya itu kecuali hanya terbatas kepada berjaganya sahaja.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan disahihkan oleh Al-albani)

 Kita seharusnya memberi perhatian mengenai peringatan Rasulullah SAW itu sekiranya tidak mahu ibadat puasa yang kita laksanakan hanya mendapat rasa lapar dan dahaga sahaja, sedangkan di sisi Allah ia tidak memberikan apa-apa makna.

Justeru, puasa pada bulan Ramadan adalah platform pendidikan terbaik dalam memperbetulkan sikap dalaman diri kita.

Puasa Ramadan selama sebulan dalam setahun ini adalah ujian untuk Allah SWT menilai sama ada puasa kerana ikut-ikutan semata-mata atau kita tunaikannya dengan sepenuh taat dan sentiasa menjunjung tinggi etika dan adab ketika berpuasa.

Itu baru sekadar beberapa perkara negatif yang mungkin sudah kita lakukan sepanjang Ramadan lalu.

Masih banyak aspek lain lagi yang kita benar-benar perlu renungkan supaya ibadat puasa Ramadan tahun ini berada dalam kategori puasa yang diberkati dan diredai Allah SWT.

“Ya Allah, panjangkanlah umur kami semoga kami dapat bertemu Ramadan tahun ini dan seterusnya beribadat kepada-Mu, Ya Allah.”

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 10:43 AM