GAMBAR Hiasan
Mohd Shahrizal Nasir

HARI ini umat Islam mula menunaikan ibadat puasa Ramadan. Nikmat itu wajib disyukuri kerana kita terpilih untuk berada dalam bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini.

Ramadan datang dengan ruang cukup besar bagi umat Islam melakukan ibadat sama ada wajib mahupun sunat.

Masjid dan surau akan penuh dikunjungi umat Islam bagi menunaikan solat sunat Tarawih. Kemudian disambung pula dengan tadarus al-Quran secara berkumpulan dan ada yang menghidupkan malam dengan qiamullail.

Suasana pada awal Ramadan biasanya berlaku di semua tempat. Ketika menyaksikan umat Islam ramai memenuhi rumah Allah SWT untuk menunaikan ibadat, kita merasai kebenaran ayat Allah SWT yang menyatakan Islam adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi-Nya.

Allah SWT menyempurnakan Islam dengan ketetapan terkandung dalam al-Quran serta ditambah dengan huraian hadis daripada Rasulullah SAW.

Sebab itulah Islam menjadi tinggi kerana umatnya mengutamakan agama daripada urusan dunia. Segala-galanya dapat disaksikan pada awal Ramadan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Ma’idah, ayat 3)

Ramadan berlangsung selama sebulan. Biasanya fenomena masjid dan surau dipenuhi jemaah hanya pada awal puasa.

Menjelang akhir Ramadan, kebanyakan tempat berlaku penyusutan bilangan jemaah yang sangat ketara.

Mungkin pada awal Ramadan ini kita perlu bincang faktor berlakunya fenomena sedemikian.

Tujuannya supaya ia menjadi ingatan untuk diri manusia yang sememangnya bersikap pelupa.

Selain itu, ia juga bertepatan dengan peringatan Allah SWT berkenaan masa yang ramai manusia tergolong dalam kalangan orang rugi.

Pesanan dan peringatan perlu diberikan supaya kita terselamat daripada menjadi orang yang rugi.

Antara sebab ramai umat Islam tidak istiqamah melakukan ibadat seperti berlaku pada awal Ramadan ialah kerana diri tidak beramal berlandaskan ilmu yang benar.

Budaya ikut-ikutan dalam beribadat perlu dihindari. Sebaliknya, ibadat perlu dilakukan atas dasar ilmu.

Ilmu pula mesti bersumberkan dalil sahih, bukan yang palsu. Terlalu banyak dalil membuktikan Ramadan dipenuhi dengan keberkatan.

Apatah lagi penghujung Ramadan disediakan satu malam amat istimewa.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jika umat Islam memahami panduan ini, tidak mungkin mereka gagal melawan nafsu untuk terus istiqamah menghidupkan hari-hari dalam Ramadan dengan amalan yang dianjurkan Islam.

Faktor lain yang mungkin menyebabkan umat Islam tidak istiqamah memperbanyakkan amalan seperti berlaku pada awal Ramadan disebabkan faktor sekeliling yang tidak menyokong.

Orang ramai rata-rata semakin aktif membuat persiapan hari raya. Lagu raya mula berkumandang, promosi hebat barangan ditawarkan di pusat beli- belah, maka topik perbualan harian juga bertukar fokus kepada hari raya.

Hal itulah yang membuatkan ramai terleka sehingga tidak berasa rugi apabila tidak ke masjid untuk menunaikan ibadat.

Malah, ada yang sanggup mengatakan: “Tak mengapa tidak ke masjid, Tarawih itu sunat sahaja.”

Ingatlah, Ramadan berserta segala tuntutannya terutama puasa dapat menjadi sebab diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diampuni segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Faktor berkaitan keimanan terhadap perkara yang menjadi rahsia Allah SWT juga tidak dinafikan mempengaruhi tahap istiqamah seseorang hamba melakukan ibadat.

Memang manusia tidak diperlihatkan melalui mata kasar tentang pahala. Itu antara ujian yang perlu didepani setiap Muslim.

Mereka tidak nampak pahala namun percayalah ia adalah sesuatu yang benar. Setiap amalan baik yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT pasti akan beroleh ganjaran pahala.

Orang yang menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa akan mendapat pahala seperti mana pahala diterima oleh orang berpuasa tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang berpuasa itu.

“Sesiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Malah, istimewanya ganjaran orang yang berpuasa dalam Ramadan apabila Allah SWT yang memberi ganjaran kepada hamba-Nya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Semua amal bani Adam (manusia) akan digandakan kebaikan sepuluh kali sampai tujuh ratus kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, kecuali puasa, maka ia untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan pahalanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, beribadatlah kepada Allah SWT sepanjang Ramadan tanpa merosot prestasinya. Buatlah amalan bersandarkan ilmu yang benar, usah teruja dengan hari raya selagi belum tiba masanya.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 11:57 AM