GAMBAR Hiasan
AL-FIQH

1. Sebelum puasa bulan Ramadan diwajibkan, adakah Rasulullah SAW berpuasa?

Sebelum diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan, Baginda SAW sudah pun berpuasa Ayyamul Bidh iaitu puasa hari-hari putih pada tanggal 13,14, dan 15 setiap bulan Islam.

Ada pula pendapat lain mengatakan Baginda berpuasa pada hari Asyura iaitu pada tanggal 10 Muharam. Walau bagaimanapun, semua puasa ini dimansuhkan dengan kewajipan puasa pada bulan Ramadan.

2. Mengikut kata ulama, disyaratkan niat itu mesti dalam hati. Tidak memadai jika hanya disebut dengan lidah sahaja.

Apakah hukum jika seseorang itu bangun bersahur pada waktu malam, makan dan minum dengan tujuan supaya tidak lapar dan dahaga pada esok harinya. Adakah itu sudah memadai sebagai niat atau tidak?

Memadai niat yang demikian itu jika ada terlintas dalam hatinya yang ia akan berpuasa esok hari pada bulan Ramadan dengan sifatnya yang wajib dinyatakan baginya kerana bergantung setiap sesuatu itu dengan niat hendak berpuasa.

3. Adakah boleh jika seseorang itu berniat berpuasa esok hari atau beriktikaf ketika dia sedang mengerjakan solat dan membatalkan niat jika datang junub atau makan?

Memadai niat untuk berpuasa atau beriktikaf walaupun ketika sedang mengerjakan solat dan tidak memutuskan niat puasanya oleh makan, minum atau jimak sekalipun.

Melainkan murtad, maka seseorang itu dikehendaki supaya mengulangi niatnya semula apabila dia kembali kepada Islam.

4. Adakah diwajibkan niat berpuasa pada setiap malam atau hanya memadai dia berniat sekali sahaja pada malam pertama awal bulan yang dia hendak berpuasa sepanjang bulan Ramadan?

Mengikut Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi, wajib berniat pada setiap malam. Tetapi jika dia berniat untuk berpuasa sebulan pada bulan Ramadan, maka memadai pada pertamanya sahaja, tetapi disunatkan supaya dia berniat pada tiap-tiap malam.

Ditakdirkan jika dia terlupa berniat pada satu malam, maka bolehlah ditaklidkan kepada Mazhab Maliki yang mengatakan memadai sekali sahaja niat iaitu pada malam pertama sahaja.

Hal itu sama seperti disunatkan berniat pada waktu siang jika dia terlupa berniat pada waktu malam dengan bertaklidkan kepada mazhab Imam Abu Hanifah yang mengatakan sah niat pada siang hari.

Adapun diwajibkan niat pada setiap malam (mengikut Mazhab Syafie) kerana ia adalah ibadat yang berasingan dengan sendirinya yang memerlukan niat pada setiap malam untuk berpuasa pada hari yang berlainan kerana maksud dan tujuan sebenarnya adalah untuk menahan diri dan mematahkan nafsu syahwat, maka sebab itu dihubungkan dengan perbuatan.

Sumber: Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud Abdullah al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 8:35 AM